Isu Palestin: Perjuangan yang Takkan Pernah Sirna 

Isu Palestin: Perjuangan yang Takkan Pernah Sirna | IKRAM

Apabila Hamas melakukan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, seluruh dunia terkejut. 

Bagaimana mungkin sebuah gerakan kecil yang hanya menguasai sejalur tanah sekitar 41 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar dapat mengalahkan “negara haram” Israel yang dikatakan memiliki angkatan tentera antara yang terkuat di dunia?  

Serangan tersebut telah menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan 250 orang menjadi tebusan, menurut sumber Tel Aviv. 

Tidak sanggup menanggung malu, Zionis Israel terus bertindak balas dengan melancarkan serangan bertalu-talu ke atas bumi Palestin, terutamanya Gaza, dan tidak terkecuali Tebing Barat. 

Dari satu sudut lain, Perdana Menteri Zionis Israel Benjamin Netanyahu dikatakan mahu membuktikan kepada rakyatnya bahawa dialah hero yang akan dapat menghapuskan Hamas, sebuah gerakan Islam yang diasaskan asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pada 1973 dan sangat digeruni oleh Israel. 

Israel menggunakan kelebihan menyerang dari udara untuk mengebom seluruh pelosok bumi Palestin termasuk lokasi-lokasi awam yang tiada kaitan dengan Hamas.  

Pada hari keenam peperangan, Israel memaksa 2.3 juta penduduk Kota Gaza mengosongkan utara Gaza dan berpindah ke selatan dengan alasan Kota Gaza akan dikepung dan dibedil. 

Sebahagian penduduk mematuhi arahan tersebut manakala sebahagian lagi bertekad untuk kekal di kediaman masing-masing.

Malangnya dunia menyaksikan beberapa insiden penduduk yang sedang bergerak ke selatan itu pun dibom oleh tentera Zionis tanpa rasa bersalah. Sebab itu tentera Israel digelar pengecut kerana berani hanya pada penduduk awam yang tiada kekuatan senjata.  

Pada 17 Oktober 2023, jet pejuang Israel mengebom Hospital al-Ahli al-Arabi di utara Gaza yang menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh. Alasan mereka ialah di bawah bangunan hospital tersebut terdapat pintu laluan ke terowong bawah tanah yang menjadi markas pejuang Hamas.  

Siapakah yang mengatakan alasan seperti itu menjadikannya halal untuk membunuh orang awam? Orang awam itu pula merupakan para pesakit, kakitangan hospital dan penduduk yang berkumpul di situ untuk berlindung daripada peperangan.

Walhal sekalipun tentera Israel benar-benar melihat seorang pemimpin Hamas berlari memasuki hospital tersebut, mereka tiada hak untuk menyerang hospital, apatah lagi mengebomnya secara semberono. 

Palestin terus digasak oleh tentera Zionis. Ledakan bom di sana sini menghancurkan bangunan, ladang dan segala kemudahan prasarana rakyat. Bilangan kematian penduduk terus meningkat.  

Sehingga Ahad 28 Januari 2024, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bilangan kematian akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu meningkat kepada 26,422, dengan 65,087 cedera. 

Keadaan Palestin yang sesetengahnya ibarat “padang jarak padang tekukur” tidak melemahkan semangat mujahidin Hamas, bahkan mereka terus memberikan tentangan yang cukup sengit.

Selepas 114 hari peperangan, dipercayai cuma 20 peratus terowong yang menjadi nadi teknikal kekuatan Hamas terkesan oleh serangan Israel, manakala 80 peratus lagi dipercayai masih utuh, demikian menurut The Wall Street Journal (WSJ). 

Hamas tetap Hamas dengan segala keyakinan dan keimanannya dalam mempertahankan bumi suci Palestin. Persoalannya, apa pula pendirian dan tindakan kita, khususnya umat Islam dan negara-negara umat Islam dalam menghadapi isu ini? 

Tidak dinafikan majoriti umat Islam di seluruh dunia mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. Mereka mengecam keras tindakan zalim Zionis Israel yang telah membunuh puluhan ribu penduduk Palestin dengan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.  

Pihak luar yang dilihat membantu Gaza secara langsung dalam peperangan ialah kumpulan Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman. Kedua-dua kumpulan ini diketahui berfahaman Syiah, dengan Hizbullah memang dari dulu dikenali sebagai proksi Iran. 

Di manakah negara-negara Islam “Sunni” yang sepatutnya lebih ke hadapan membela saudara-saudara Palestin mereka? 

Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi memang bagaikan sudah diikat kaki dan tangan daripada membantu secara lebih fizikal kerana sehingga 2020, enam negara ini telah menormalisasi hubungan mereka dengan Israel. 

Normalisasi hubungan dengan Israel bererti sebuah negara mengakui Israel sebagai negara merdeka dan berdaulat, serta menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.  

Dengan melakukan normalisasi hubungan dengan Israel, negara Arab harus memperlakukan Israel sebagaimana negara lainnya, tanpa meminta pertanggungjawaban atas penindasan pada masa lalu dan akan datang terhadap rakyat Palestin. 

Turkiye yang pada suatu ketika menjadi harapan sebagai pembela umat pula sedang mengalami masalah kewangan dan dikatakan mempunyai perjanjian ekonomi dengan Israel sebagai salah satu jalan untuk keluar dari kemelut masalah. 

Negara jauh seperti Malaysia dan sudah acap kali mendesak Israel menghentikan serangan dan gencatan senjata sepenuhnya dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban. 

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke negara-negara Arab dan Turkiye dalam usaha menghasilkan tindakan yang lebih aktif ke atas isu Palestin. 

Bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia termasuk dari negara-negara umat Islam cuba memasuki Gaza tetapi kebanyakannya disekat oleh Israel. Hanya sebahagian kecil sahaja misi bantuan dari luar sampai ke sasaran.  

Selain usaha negara dan umat Islam, warga dunia yang bukan beragama Islam turut dilihat aktif membantah kekejaman Israel dan menuntut peperangan Israel-Hamas segera ditamatkan.

Tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di Amerika Syarikat, Britain, Itali dan banyak tempat lagi di seluruh dunia. Antara alasan popular yang diberikan ialah mereka tidak rela wang cukai yang dibayar kepada kerajaan digunakan untuk membiayai tentera Israel untuk membunuh rakyat Palestin. Kesedaran dunia terus memuncak. 

Pada 29 Disember 2023, Afrika Selatan menjadi negara pertama yang berani memfailkan saman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meminta injunksi terhadap Israel atas alasan bahawa serangan Israel ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Menurut kerajaan Afrika Selatan, tindakan Israel itu sebagai “genosid” dan perbuatan sedemikian dilakukan dengan niat untuk menghapuskan lebih ramai rakyat Palestin di Gaza. 

Pendengaran awam dalam dalam kes ini berlangsung di ICJ, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di The Hague, Belanda pada 11 dan 12 Januari lalu.  

Ia adalah kali pertama rejim Zionis diheret ke mahkamah dunia berhubung dengan operasi ketenteraannya di Gaza. 

Peguam yang mewakili pasukan Afrika Selatan mengemukakan lima bukti bahawa Israel sememangnya melakukan genosid iaitu:

1. Mengebom kawasan yang diisytiharkan selamat di Gaza dengan bom seberat 900 kilogram sehingga tiada yang selamat termasuk bayi dan kanak-kanak.

2. Memaksa lebih daripada satu juta penduduk di utara Gaza berpindah ke selatan dalam masa yang singkat, juga mengerahkan hospital-hospital berpindah dalam masa 24 jam tanpa bantuan mengangkut pesakit dan ubat-ubatan.

3. Menyekat makanan dan bekalan air di Gaza sehingga berlaku kebuluran dan menafikan hak penduduk untuk mendapat tempat tinggal, pakaian, peralatan tempat tidur dan barangan bukan makanan kritikal yang lain.

4. Menyerang sistem penjagaan kesihatan Gaza sehingga tidak mampu menampung jumlah orang yang cedera dan memerlukan rawatan untuk menyelamatkan nyawa.

5. Menghalang rawatan menyelamatkan nyawa yang diperlukan untuk kelahiran bayi, yang bermaksud menghalang kelahiran di Gaza.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza selaras dengan kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid. 

Mahkamah juga mengarahkan Israel memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid. 

ICJ juga memutuskan bahawa Israel mesti membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza bagi menangani kesan buruk pada kehidupan di Gaza. 

Israel mesti menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah itu dalam tempoh sebulan. 

Malaysia menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel tersebut. 

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pendirian Malaysia supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, disokong berikutan keputusan penting ICJ pada Jumaat lepas. 

“Malaysia menantikan prosiding seterusnya yang akan meneliti dakwaan genosid yang dilakukan oleh Israel, dan akan terus menyokong permohonan Afrika Selatan di ICJ,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu. 

Malaysia mengulangi gesaannya agar Palestin diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan bedaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. 

Alangkah baiknya kalau ada banyak negara lagi yang berani, empati dan proaktif seperti Afrika Selatan. Malaysia mungkin boleh mengambil iktibar daripada keadaan ini.  

Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang tidak akan pudar selamanya. Allah memberkati Palestin sebagai bumi kelahiran ramai nabi. Allah mempunyai Qudrat dan Iradat untuk memelihara Palestin dengan cara yang tidak terfikir oleh akal manusia.

Tugas kita ialah bersama-sama mempertahankan bumi yang di atasnya terletak masjid ketiga paling suci, Masjid al-Aqsa daripada terus dinoda oleh Zionis Israel pada bila-bila masa sekalipun. 

A Ralim M Yassen
Editor

Rujukan:
1. Puluhan ribu tunjuk perasaan serata dunia sokong Palestin, kecam Israel 
2. 5 bukti genosid ke ICJ 
3. Kes Genosid Israel: Malaysia sambut baik keputusan ICJ 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia