Isu Inflasi: Faktor, Contoh Dan Pengajaran Utama

Isu Inflasi: Faktor, Contoh Dan Pengajaran Utama | IKRAM

Salah satu daripada masalah ekonomi yang menyulitkan kehidupan masyarakat adalah masalah kenaikan harga barangan yang mendadak.

Bukan sahaja ramai rakyat yang akan sengsara, bahkan suasana kacau-bilau boleh berlaku apabila rakyat merusuh akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi dan tidak mampu membeli barang-barang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

Setakat ini, masalah inflasi di Malaysia belum lagi serius. Kadar purata dari tahun 2011 sehingga tahun 2021 adalah 1.9 peratus. Namun data terkini di Malaysia berdasarkan kepada indeks harga konsumer (consumer price index atau CPI), menunjukkan kenaikan sebanyak 2.3 peratus pada bulan April 2022.

Penyumbang utama ialah kenaikan harga barang makanan. Namun ia masih rendah berbanding beberapa negara lain. Sebagai contoh, kadar inflasi baru-baru ini di Sudan ialah 194 peratus, di Zimbabwe adalah 92 peratus, di Iran adalah 39 peratus, sementara di Turki adalah 17 peratus. 

Walau bagaimanapun, jika pihak berkuasa negara kita tidak berhati-hati, masalah inflasi boleh menjadi tidak terkawal.

Faktor Isu Inflasi

Untuk memahami kenapa kemungkinan ini boleh berlaku, kita kena sedar bahawa sistem perbankan moden boleh mencipta mata wang dengan sangat mudah. 

Wang kertas dan syiling mudah dicipta oleh bank pusat sementara yang selebihnya boleh dicipta dengan mudah apabila sesebuah bank komersial memberi pinjaman kepada pelanggan bank.

Wang yang dicipta ini hanyalah dalam bentuk data elektronik dalam sistem komputer bank, yakni ia tidak wujud secara fizikal.

Ini sangat berbeza dengan keadaan pada zaman dahulu di mana mata wang tidak mudah dicipta kerana ia berbentuk fizikal, biasanya dalam bentuk emas atau perak. 

Jika jumlah mata wang yang dicipta terlampau banyak sama ada oleh bank pusat atau bank komersial, kadar inflasi akan meningkat dengan mendadak.

Contoh Di Zimbabwe

Satu contoh ekstrem ialah negara Zimbabwe di mana pada tahun 2004 hingga 2008, ia telah mengalami kadar inflasi sebanyak 79,600,000,000 peratus sehinggakan pada November 2008 sahaja harga barangan meningkat setiap beberapa jam.

Punca utamanya ialah bank pusat Zimbabwe telah mencipta wang dengan banyak untuk membantu kerajaan Zimbabwe menyelesaikan masalah hutang kerajaan. 

Keadaan menjadi lebih teruk kerana sektor pertanian negara tersebut tidak mampu mengeluarkan output yang tinggi kerana kebanyakan ladang diusahakan oleh pihak-pihak yang telah merampas ladang-ladang daripada pemilik asal berbangsa Eropah.

Akhirnya rakyat Zimbabwe sendiri enggan menggunakan mata wang Zimbabwe dan oleh itu, kerajaannya terpaksa membenarkan rakyat menggunakan pelbagai mata wang asing yang lebih stabil nilainya, terutamanya Dolar Amerika. 

Pengajaran Daripada Zimbabwe

Pengajaran utama daripada kes Zimbabwe ialah, jika langkah kerajaan menyelesaikan masalah kewangan adalah dengan mencipta wang yang banyak untuk membiayai perbelanjaannya, maka kadar pertambahan mata wang yang jauh lebih tinggi berbanding kadar pertambahan barangan (terutama sekali makanan dan keperluan asas) akan menghasilkan keadaan inflasi yang parah.

Inflasi yang teruk juga boleh berlaku apabila bank pusat menurunkan kadar bunga. Ini akan membolehkan industri perbankan memberi pinjaman dengan banyak kepada sektor korporat dan isi rumah. Kenaikan permintaan kepada barangan dan perkhidmatan akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan cepat.

Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ramai pihak mengandaikan harga barangan akan naik pada masa akan datang dan bertindak segera untuk memperolehi barangan tersebut dalam kuantiti yang banyak melalui cara berhutang kerana tertarik dengan kadar pembiayaan yang rendah.

Keadaan akan menjadi lebih parah jika terdapat pihak berkepentingan yang sengaja menyorokkan barang-barang keperluan untuk mempengaruhi harga. Apabila harga barangan menjadi mahal, mereka akan menjual semula barangan tersebut.

Dengan cara ini, mereka akan mendapat keuntungan yang lumayan. Sudah tentu ini adalah amalan keji dan dikutuk oleh agama Islam.

Keadaan inflasi yang teruk adalah zalim kepada rakyat kerana ia akan mengakibatkan kecurian nilai kepada harta yang disimpan dalam bentuk mata wang. Ini kerana kuasa beli simpanan mereka akan semakin hari semakin berkurangan.

Di samping itu, bagi rakyat yang tidak mempunyai peluang atau tenaga untuk mencari pendapatan seperti golongan fakir miskin dan warga tua, kehidupan mereka akan sengsara. 

Golongan yang menerima pendapatan dalam bentuk pencen bulanan yang tetap dan tidak berubah juga akan sengsara kerana kuasa beli pencen mereka akan jatuh.

Ekonomi negara akan turut terjejas kerana keadaan inflasi biasanya akan diikuti oleh kejatuhan nilai mata wang berbanding mata wang asing (biasanya adalah Dolar Amerika).

Kemerosotan nilai mata wang yang mendadak akan menakutkan pihak pelabur asing. Mereka juga mungkin akan cenderung untuk mengeluarkan pelaburan mereka daripada dalam negara. 

Tindakan ini akan membuatkan kejatuhan nilai mata wang menjadi semakin serius. Kejatuhan nilai mata wang juga akan memberi kesan yang teruk kepada sektor yang banyak mengimport barangan dari luar negara kerana harga semua barangan import akan naik melambung.

Jika banyak keperluan asas seperti makanan dan petrol diimport, maka ramailah yang akan sengsara terutamanya golongan berpendapatan rendah. Keadaan ini boleh mengakibatkan ekonomi merudum dan banyak syarikat akan terpaksa membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi.

Keadaan ekonomi yang merudum bermakna pendapatan cukai kerajaan juga akan jatuh. Untuk terus membiayai perbelanjaan, kerajaan mungkin akan terus meminjam daripada sektor kewangan atau meminta bank pusat mencipta mata wang untuk membantunya.

Pertambahan jumlah mata wang ini malangnya akan membuat keadaan inflasi menjadi bertambah teruk lagi. Kitaran ini jika berterusan, sudah tentu akan meranapkan ekonomi negara. 

Kesan kejatuhan nilai mata wang hanya akan menguntungkan sektor yang banyak mengeksport output kerana harga eksport mereka di pasaran antarabangsa akan menjadi murah berbanding harga yang ditawarkan oleh pesaing mereka.

Jika mereka menerima bayaran dalam bentuk mata wang asing (seperti Dolar Amerika) yang semakin meningkat nilai berbanding mata wang negara mereka sendiri, ini bermakna nilai pendapatan daripada eksport akan terus meningkat, terutama sekali jika nilai mata wang negara sendiri terus merosot.

Contoh Di Venezuela

Ramai pihak mungkin akan mendesak kerajaan untuk mengawal harga bagi mengatasi masalah inflasi. Sebenarnya tindakan tersebut berisiko tinggi dan berpotensi memburukkan lagi keadaan.

Contoh terbaik adalah di Venezuela yang telah mengalami hiperinflasi pada kadar 65,000 peratus setahun pada tahun 2018.

Punca utama masalah Venezuela ialah apabila kerajaan ingin mengekalkan populariti dengan melaksanakan kaedah kawalan harga untuk makanan dan ubat-ubatan.

Namun demikian, harga yang dimandatkan adalah terlampau rendah sehingga memaksa banyak syarikat, terutamanya dalam bidang pertanian kerugian dan terpaksa menghentikan operasi mereka. Keadaan ini sekali gus mengurangkan jumlah makanan dalam negara.

Pada awalnya kerajaan Venezuela mengatasi masalah tersebut dengan menggunakan dana daripada hasil minyaknya untuk mengimport makanan dan ubat-ubatan. Malangnya pada tahun 2014, harga minyak di pasaran antarabangsa telah jatuh menjunam dan menjejaskan pendapatan kerajaan dengan teruk.

Untuk mengatasi masalah kehabisan wang tunai, bank pusat Venezuela mula mencetak mata wang dengan banyak. Akibatnya berlakulah masalah hiperinflasi di negara tersebut.

Akhirnya Venezuela terpaksa berhutang daripada institusi kewangan luar untuk mengimport makanan dan ubat-ubatan untuk rakyatnya.

Pada bulan November 2017, majalah The Economist menganggarkan hutang Venezuela adalah berjumlah USD105 bilion dan telah meningkat kepada USD156 bilion pada tahun 2018.

Pada bulan Januari 2019, Venezuela telah mengisytiharkan kegagalan untuk membayar hutang seperti yang dijanjikan. Dengan kejatuhan ekonomi yang berterusan, Venezuela tidak mungkin mampu membayar balik hutangnya.

Pada masa yang sama, masalah hiperinflasi masih berterusan sehingga kini. Pada tahun 2021, kadar inflasi tahunan Venezela adalah sebanyak 2,700 peratus.

Kini nilai mata wangnya sangat rendah di pasaran antarabangsa. Ekonominya juga ranap dengan masalah pengangguran yang teruk.

Pengajaran Utama

Pengajaran utama yang boleh diambil adalah kita perlu sedar bahawa masalah inflasi adalah sangat sukar untuk dielakkan daripada berlaku dalam sistem kewangan yang berpaksikan industri hutang di mana mata wang dicipta dengan mudah oleh bank pusat dan bank komersial. 

Jika pihak bank pusat tidak berjaya mengawal tekanan untuk terus mencipta mata wang dengan banyak untuk membiayai perbelanjaan kerajaan, atau menurunkan kadar pembiayaan untuk menggalakkan industri perbankan memberi pinjaman dengan banyak untuk merangsangkan ekonomi, masalah inflasi negara akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Jika rakyat tidak faham punca masalah dan terus menekan kerajaan untuk berbelanja bagi membantu rakyat, dan kerajaan pula memaksa bank pusat mencipta wang dengan banyak untuk membantu menampung perbelanjaannya, maka masalah inflasi akan menjadi bertambah teruk.

Dalam suasana sedemikian, hanya golongan elit kewangan dan elit politik yang kaya yang mampu bertahan daripada masalah harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat.

Rakyat marhaen, terutamanya daripada kalangan yang berpendapatan rendah akan menanggung beban kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi.

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Unit Kemakmuran Ekonomi IKRAM Selangor

Sumber: IKRAM Selangor

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia