Isu 3R: Jernihkan Kekeliruan, Perkukuh Perpaduan

Isu 3R: Jernihkan Kekeliruan, Perkukuh Perpaduan | IKRAM

Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya.

Sejarah telah membuktikan bahawa perbezaan ini mampu menjadi aset yang mengukuhkan perpaduan, namun jika tidak diurus dengan bijaksana, ia juga boleh menjadi bara yang menyalakan ketegangan. 

Baru-baru ini, tercetusnya kontroversi melibatkan isu 3R telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini menggambarkan kepekaan tinggi rakyat terhadap perkara yang menyentuh soal agama, bangsa dan budaya. 

Dalam menghadapi situasi sebegini, menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersikap rasional, mengawal emosi, memahami konteks sebenar sesuatu peristiwa serta mencari penyelesaian yang dapat meredakan keadaan tanpa menambahkan ketegangan.

Melangkah maju dengan sejarah sebagai panduan

Sejarah telah membuktikan bahawa keutuhan sebuah negara bukan hanya bergantung pada kemajuan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga pada kestabilan sosial yang berpaksikan nilai perpaduan, toleransi dan keadilan.

Justeru, dalam menghadapi cabaran masa kini termasuk isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan institusi diraja, masyarakat harus kembali kepada prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara sebagai panduan dalam setiap tindakan dan keputusan. 

Rukun Negara bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi suatu kompas moral yang mengajar kita untuk berfikir secara matang, bertindak dengan penuh hikmah serta mengutamakan keharmonian berbanding perpecahan.

Sebagaimana nenek moyang kita berjaya membina kehidupan bersama meskipun berbeza latar belakang, generasi hari ini juga harus meneruskan legasi tersebut dengan mengamalkan sikap keterbukaan, kesederhanaan dan saling memahami. Inilah jalan terbaik untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai tanah air yang aman, sejahtera dan diberkati.

Merajut keharmonian dengan hikmah dan kesantunan

Dalam Islam, penyelesaian konflik dianjurkan untuk dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana firman Allah SWT:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl: 125)

Ayat ini menegaskan bahawa dalam menangani konflik, seorang Muslim hendaklah menggunakan pendekatan yang berlandaskan kebijaksanaan, nasihat yang baik dan komunikasi yang penuh adab. Islam mengutamakan penyelesaian secara damai, menghindari kekerasan serta menanamkan sikap sabar dan toleransi dalam setiap perbincangan.

Oleh itu, sebarang persengketaan harus diuruskan dengan bersikap matang dan berhemah, bukan mengeruhkan keadaan dengan kenyataan atau tindakan yang boleh mengundang ketegangan. 

Apa-apa tindakan mengenai isu ini haruslah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, berpaksikan fakta dan kefahaman yang benar serta mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Komunikasi yang berlandaskan keilmuan, kesantunan, hikmah, kasih sayang dan semangat perpaduan perlu diutamakan agar penyelesaian yang dicapai bukan sahaja menghindarkan permusuhan tetapi juga membawa kepada keharmonian dan persaudaraan yang lebih kukuh.

Memperkasa JK HARMONI sebagai benteng perpaduan

Perpaduan adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Jika masyarakat berpecah-belah, negara akan menjadi lemah dan mudah dieksploitasi oleh pihak luar. Sebaliknya, jika rakyat bersatu padu, negara akan lebih kukuh dan berdaya saing. 

Namun, perpaduan bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi amanah bersama yang perlu dipikul oleh setiap individu, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat. 

Sebarang polemik yang menyentuh isu 3R (agama, bangsa, dan institusi diraja) harus segera ditangani dengan pantas, bijaksana dan bersepadu menerus pendekatan yang mendamaikan, agar ia tidak menjadi api dalam sekam yang membakar keharmonian negara.

Salah satu langkah yang wajar diberi perhatian ialah usaha memperkasakan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Jawatankuasa ini, yang dianggotai oleh pemimpin pelbagai agama dan kaum, memiliki potensi besar untuk menjadi jambatan perpaduan yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. 

Dengan peranan yang lebih proaktif, jawatankuasa ini dapat meredakan ketegangan serta merintis solusi yang adil dan membawa ketenangan dalam masyarakat dalam menangani sebarang isu yang berpotensi menggugat perpaduan negara.

Pada masa yang sama, perlu ada usaha berterusan dalam memperkukuh dialog antara agama dan budaya, menyebarkan naratif yang mendidik serta mempromosikan pemahaman silang budaya juga perlu diperkasakan. 

Dengan pendekatan sebegini, kita dapat membina kesedaran yang lebih mendalam tentang keunikan kepelbagaian di Malaysia, seterusnya mengukuhkan nilai saling menghormati dan semangat kebersamaan.

Sebagai masyarakat yang cintakan keharmonian, wajar bagi kita semua untuk terus mendukung inisiatif yang menyatupadukan, menyemarakkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan negara. 

Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan sendiri, tetapi hasil usaha generasi terdahulu dalam membina kehidupan bersama dengan semangat tolak ansur dan kebijaksanaan. 

Maka, marilah kita bersama-sama menghayati nilai-nilai ini, memastikan setiap isu yang berpotensi memecah-belahkan masyarakat ditangani dengan penuh hikmah, kesabaran dan kefahaman yang mendalam agar Malaysia kekal sebagai tanah air yang aman, sejahtera dan diberkati. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

 

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia