Dalam jalan dakwah yang panjang, perubahan kemampuan adalah sebahagian daripada perjalanan. Yang perlu direnungkan ialah bagaimana menyesuaikan langkah tanpa kehilangan tarbiah, istiqamah dan arah.
Ketika mula melangkah dalam dakwah pada usia muda, banyak perkara mungkin terasa lebih mudah. Masa lebih lapang, tenaga masih banyak dan tanggungjawab belum bertindih-tindih. Ada program, kita hadir. Ada tugasan, kita lakukan. Hujung minggu pula mudah diluangkan untuk aktiviti bersama. Beres.
Tetapi kehidupan berubah. Anak-anak membesar, kerjaya membawa amanah yang lebih besar, ibu bapa semakin berusia dan kesihatan mula mempunyai batas. Perkara yang dahulu boleh dilakukan tanpa banyak berfikir mungkin perlu dipertimbangkan semula.
Apa yang dahulu boleh dilakukan dengan mudah mungkin tidak lagi dapat dilakukan dengan cara yang sama. Pada ketika ini, mula disedari bahawa langkah sudah tidak selaju dahulu.
Namun, persoalan yang lebih penting bukanlah mengapa langkah menjadi perlahan. Perubahan rentak adalah sebahagian daripada perjalanan hidup. Persoalannya ialah bagaimana untuk terus istiqamah apabila fasa kehidupan berubah.
Yang perlu dijaga adalah agar perubahan keadaan tidak sedikit demi sedikit mengubah arah perjalanan. Kemampuan mungkin tidak lagi seperti dahulu, tetapi tujuan dan jalan yang dipilih tetap harus dipelihara.
Peringatan Mustafa Masyhur
Mustafa Masyhur mengingatkan bahawa “jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang.” Jalan ini memerlukan kesabaran, pengorbanan dan “usaha dan kerja yang berterusan”.
Pendakwah tidak semestinya akan melihat hasil daripada apa yang dilakukan. Kata beliau, “kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya.”
Mustafa Masyhur menulis tentang “Lima Puluh Tahun di Atas Jalan”, satu perjalanan yang melalui perubahan usia, keadaan, tanggungjawab dan peranan. Namun perjalanan itu tetap jalan yang sama iaitu jalan dakwah yang satu.
Beliau menyebut tentang usaha meneruskan jalan dakwah “tanpa penyelewengan dan pertukaran.” Inilah yang membezakan antara perubahan rentak dengan perubahan kompas hidup.
Dahulu seseorang mungkin banyak berada di lapangan. Apabila usia dan tanggungjawab berubah, mungkin lebih banyak masa digunakan untuk membimbing orang lain. Dahulu menguruskan program, kemudian membantu generasi muda memahami cara menguruskan amanah.
Dahulu mempunyai masa yang luas, kemudian masa semakin sedikit tetapi pengalaman semakin bertambah. Bentuk sumbangan boleh berubah, tetapi proses membina diri tidak boleh berhenti.
Dalam bukunya, “Jalan Dakwah”, Mustafa Masyhur menekankan “perbaiki dirimu kemudian serulah orang lain” dan menyebut tiga perkara yang perlu berjalan bersama: “iman amiq”, “takwin daqiq” dan “amal mutawasil” iaitu iman yang mendalam, pembentukan yang rapi dan amal yang berterusan.
Kaedah ini penting kerana dakwah bukan sekadar kerja yang dilakukan terhadap masyarakat. Ia juga sepatutnya membentuk orang yang melakukan kerja tersebut.
Semakin lama berada dalam dakwah, sepatutnya ada perubahan pada cara du’at melihat diri sendiri dan orang lain. Kita belajar menerima teguran, menahan marah, mengakui kesilapan, bersabar dengan manusia dan tidak terlalu cepat merasakan diri kita penting dalam sesuatu usaha.
Namun perubahan itu tidak datang hanya kerana seseorang sudah lama berada dalam dakwah. Ia memerlukan tarbiah.
Peringatan Fathi Yakan
Fathi Yakan dalam penulisannya, “Bahtera Penyelamat” memberikan penekanan yang sangat jelas. Beliau membicarakan sifat-sifat yang perlu ada pada seorang dai supaya menjadi “golongan Rabbani, mampu menghadapi sebarang cabaran dan dapat mengatasinya dengan berkat pertolongan Allah.”
Peribadi rabbani bukan sekadar mempunyai ilmu agama atau banyak pengalaman dalam dakwah. Ia berkait dengan hubungan seseorang dengan Allah dan bagaimana hubungan itu mempengaruhi seluruh kehidupannya.
Fathi Yakan memberikan peringatan yang keras tetapi penting, “Kalau dai tidak abid dan tidak bersifat rabbani, tidak ada ertinya sama sekali walau bagaimana tinggi sekalipun ilmu dan pencapaian ilmiahnya.”
Peringatan ini menunjukkan bahawa lama berada dalam dakwah tidak semestinya menjadikan seseorang semakin dekat dengan Allah, pengalaman yang luas tidak semestinya melahirkan kesabaran, manakala ilmu yang banyak tidak semestinya membawa kepada ketundukan.
Yang lebih penting ialah perubahan yang berlaku pada diri sepanjang perjalanan itu. Ada yang semakin kurang berada di lapangan kerana tanggungjawab kehidupan, tetapi ibadah, ilmu dan akhlaknya terus berkembang. Ada pula yang masih aktif, tetapi kurang memberi perhatian kepada pembentukan dirinya.
Fathi Yakan mengingatkan bahawa “orang yang tidak memiliki sesuatu pasti tidak akan dapat memberikan apa-apa.” Bekal seorang dai bukan hanya ilmu dan pengalaman. Hatinya juga perlu sentiasa diberikan perhatian.
Beliau menyebut bahawa hati perlu sentiasa diberikan “santapan dan bekal rohani sehingga menjadi rabbani, jernih dan cerah.”
Sesuaikan dengan kehidupan
Ada ketika kemampuan berubah dan peranan perlu disesuaikan dengan keadaan kehidupan. Mustafa Masyhur mengingatkan keperluan “menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa meninggalkan tuntutan amal.” Perubahan keadaan tidak seharusnya membawa kepada terputusnya amal atau renggangnya hubungan dengan Allah.
Tidak lagi mampu melakukan sebanyak dahulu bukan bererti terhenti daripada memberi. Dalam perjalanan yang panjang, bentuk amal dan peranan boleh berubah mengikut keadaan. Yang berubah ialah rentak dan cara menyumbang, bukan arah perjalanan.
Di sinilah istiqamah menemukan maknanya iaitu terus berada di atas jalan dalam kemampuan dan keadaan yang berbeza, sambil memastikan tarbiah, amal dan hubungan dengan Allah tidak terabai.
Dalam perjalanan yang panjang ini, yang paling perlu dijaga bukan sekadar langkah, tetapi peribadi yang sedang dibentuk sepanjang perjalanan supaya ilmu, amal dan pengalaman akhirnya melahirkan seorang insan yang rabbani.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




