Cabaran Istiqamah Perjuang, Pertahan Kebenaran

Cabaran Istiqamah Perjuang, Pertahan Kebenaran | IKRAM

Dunia yang sedang kita diami dan akan kita tinggalkan ini, menuntut diri kita supaya istiqamah memperjuangkan hal-hal kebenaran.

Kerana kelak, apa yang kita perlakukan di dunia ini akan dihitung dan dikira oleh Tuhan di mahkamah yang diadili oleh Sang Pencipta keadilan, yakni Allah SWT.

Atas nama kebenaran, manusia wajib bangkit dan mempertahankan prinsip ini meksipun ia terpaksa dibayar dengan kepenatan, kata-kata cemuhan dan sebagainya.

Apabila kita berbicara soal istiqamah, dalam Tahzib Madarij as-Salikin, Imam Ibnu Qayyim menukilkan kata-kata Umar al-Khattab r.a. yang bermaksud:

“Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang.”

Perkataan ini nampaknya seperti ringkas tetapi membawa makna yang cukup besar dalam hidup diri seorang Muslim.

Inilah juga prinsip yang wajib dipegang kuat oleh kita sebagai seorang Muslim, bersikap telus dan jujur pada kebenaran, tidak teragak-agak dan takut untuk katakan yang benar sekalipun berada di hadapan orang-orang besar dan berkedudukan.

Tugas mempertahankan kebenaran secara istiqamah bukanlah sesuatu usaha dan tanggungjawab yang mudah.

Walau hari ini kita melihat begitu ramai para penceramah dalam pelbagai medium, bercakap dan berbicara soal betapa pentingnya berdiri teguh atas nama kebenaran, tetapi belum tentu yang bercakap itu mampu melakukan apa yang diperkatakannya. 

Ada sebahagiannya memperjuangkan dan mempertahankan kebenaran bukan kerana niatnya yang teguh, sebaliknya kerana perjuangannya itu menguntungkan koceknya dan mampu menaikkan pasaran dirinya.

Kebenaran adalah kekal selamanya kebenaran. Tidak akan sama sekali kebenaran berubah menjadi kebatilan hanya kerana habuan dan pulangan yang lumayan. 

Tanpa mengambil peduli akan nasib untung rugi dirinya, kebenaran akan tetap dipertahankan meskipun jutaan cemuhan, fitnah dan hemburan kata nista datang menerpa dan menyapa.

Allah Azzawajalla menjanjikan ganjaran yang lebih besar dan lumayan kepada mereka yang istiqamah berada atas jalan kebenaran. Dalam Surah Fussilat ayat 30, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka istiqamah (tetap teguh diatas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang, dan janganlah kamu bersedih, dan terimalah berita gembira bahawa kamu beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Bagi mereka yang sentiasa istiqamah mempertahankan kebenaran, bersama mereka adalah bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT sama ada ketika di dunia apatah lagi di negeri akhirat sana.

Sambungan daripada firman di atas, Allah SWT berfirman dalam Surah Fussilat ayat 31 yang bermaksud:

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat ; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”

Oleh kerana sukarnya untuk berdiri teguh di bawah panji kebenaran, dan dek kerana kelamnya mata dengan habuan duniawi semata, ramai orang telah binasa menolak kebenaran sesudah hal itu mereka ketahui.

Bukan soal mereka tidak tahu kebenaran, tetapi kerana ketamakan nafsu durjana, kebenaran tetap ditolak meskipun kebenaran telah sampai ke pengetahuan mereka. 

Dalam al-Quran, menerusi Surah al-Baqarah ayat 40, Allah mengingatkan Bani Israel yang mana mereka telah pun mendapat kebenaran namun menolaknya. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai Bani Israel ! Kenanglah kamu akan segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian Ku dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu berasa gerun.”

Setelah Allah memberikan mereka nikmat kebenaran melalui utusan-Nya, Nabi Musa a.s., namun setelah itu mereka tetap enggan mengikut kebenaran, menolak malah tidak tahu bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada kaum mereka.

Sikap ini adalah menjadi pedoman kepada kita semua agar sentiasa mencari dan mempertahankan kebenaran. Setelah yang benar telah diketahui, maka pertahankanlah hal tersebut dengan seteguh mungkin.

Melihat pada dunia hari ini, perubahan cara fikir orang zaman sekarang yang lebih terbuka tanpa sempadan telah banyak menguji kita untuk membawa kebenaran.

Pasti ada sahaja hujah dan dalil untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Pada mereka kebenaran itu mutlak pada puak mereka, bukan pada isi kandungannya. Asalkan mereka puak kita, maka kita akan pertahankan dengan nama kebenaran.

Tidak kurang juga bagi mereka yang sangat berpegang kuat pada kepercayaan tradisi turun-temurun, menjadi pak turut lakukan apa sahaja yang dibuat oleh orang terdahulu tanpa menyemak akan kebenarannya.

Hal itu membuatkan kita sukar untuk menentukan sesuatu kebenaran. Tipu daya dan fitnah telah pun bermaharajalela. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Ahmad, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sebelum kiamat, adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat.”

Demikianlah sukarnya kita untuk sentiasa bercakap benar, jujur pada kehidupan dan telus pada pendirian.

Sifat istiqamah dalam mempertahankan kebenaran memerlukan kita untuk bersikap berani, cekal jiwa dan perasaan dan sedia berkorban demi makna sebuah kebenaran. 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, seorang sahabat Nabi bernama Sufyan bin Abdillah r.a. bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau. “Jawab Nabi SAW, “Katakan, aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah.”

Mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan untuk terus menerus berada dalam kebenaran seterusnya mempertahankannya walau pelbagai onak duri dan cabaran yang bakal ditempuh kelak.

Selain sukarnya untuk bertarung dengan diri sendiri, sukar jugalah untuk istiqamah mempertahankan kebenaran. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita untuk istiqamah di jalan kebenaran.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia