Isteri Untuk Dihormati, Bukan Ditakuti

Penciptaan seorang wanita adalah suatu anugerah terbesar Allah kepada kaum lelaki. Hakikatnya, Allah SWT telah menjadikan manusia itu hidup berpasangan daripada jenis manusia itu sendiri.

Hidup akan menjadi saling melengkapi antara satu sama lain atas nama berpasang-pasangan. Seperti kehidupan yang lain, haiwan juga berorientasikan hidup berpasang-pasangan.

Oleh itu, secara asasnya, wanita dan lelaki sememangnya dicipta untuk hidup berpasang-pasangan bertujuan melengkapi dan saling menyempurnakan sebuah makna kehidupan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Sesungguhnya kewujudan kaum wanita yang dijadikan sebagai pasangan hidup adalah untuk dihormati, dikasihi dan selainnya yang membawa kepada perkara yang baik.

Pun begitu, realiti yang ada pada hari ini seolah-olah telah wujud satu kempen untuk memberikan gambaran bahawa adalah normal seorang suami takut kepada isterinya.

Keadaan ini secara tidak langsung mengajak masyarakat untuk berfikir bahawa seorang suami yang baik adalah mereka yang perlu takut dan taat pada isteri, sedangkan para suami adalah pemimpin dan ketua keluarga yang mesti berani memimpin bahtera kekeluargaannya.

Keadaan ini merupakan satu fenomena yang tidak sihat dan tidak selari dengan kehendak syariat. Ia bermula dengan gurauan “beras kita beli”“geng takut bini”, kemudian muncul pula kandungan hiburan dalam pelbagai platform media sosial yang menunjukkan seolah-olah para suami hendaklah takut kepada para isteri.

Hakikatnya, suami diberikan kedudukan lebih tinggi berbanding isteri dengan satu kelebihan darjat oleh Allah SWT. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah ini secara tidak langsung menggambarkan betapa tinggi dan mulianya kedudukan seorang suami yang perlu ditaati oleh para isteri.

Perhatikan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Dengan kelebihan seorang suami terhadap seorang isteri, Allah SWT telah memerintahkan para isteri untuk mentaati suami dalam semua perkara baik menurut syarak. 

Hal ini bermakna para isteri perlulah taat dan patuh kepada suami selagi mana perkara tersebut tidak bertentangan dengan syarak. 

Arahan untuk para isteri taat kepada suaminya ini bukanlah arahan daripada manusia kepada manusia tetapi arahan Allah untuk hamba-Nya sesuai dengan kehendak dan tuntutan syarak. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 34 yang bermaksud:

“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.”

Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Majmu’ al-Fatawa, beliau telah menyatakan bahawa ayat tersebut menunjukkan wajibnya seorang isteri taat kepada suami dalam hal berbakti kepadanya, ketika bepergian bersamanya dan lain-lain. 

Secara asasnya, Islam memerintahkan agar para isteri taat dan patuh kepada arahan suaminya dan bukan sebaliknya. 

Selain itu, ketaatan kepada suami juga dilihat sangat mustahak dan begitu besar nilainya sehinggakan Nabi SAW menyebut dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad yang dinilai sahih li ghairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia, nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”

Mengulas hadis ini, Imam al-Syaukani dalam kitab Tuhfaz al-Ahwazi menyatakan bahawa makna hadis ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya.

Maka, berdasarkan apa yang diungkapkan oleh Imam al-Syaukani ini, para suami seharusnya dipandang sebagai seorang pemimpin yang ditaati dan bukannya diminta untuk mentaati isterinya. 

Malangnya, rata-rata masyarakat hari ini dihidangkan dengan kandungan media sosial yang menggambarkan suami mesti takut kepada isteri dengan mentaatinya. Perkara ini dengan jelas tidak selari dengan syariat Islam. Allah SWT tidak pernah memerintahkan atau mewajibkan para suami untuk taat kepada isteri mereka.

Perlu difahami bahawa meskipun para suami tidak dituntut untuk taat dan takut pada isteri, Allah SWT menyuruh para suami untuk menyantuni para isteri dengan penuh kebaikan, sepertimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 13 (maksudnya):

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Menurut Imam Mujaddid dan ulama besar India, Syah Waliyullah al-Dahlawi, mereka menyebutkan bahawa tiga makna bergaul dengan baik itu ialah menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik.

Syeikh Muhammad Abduh ketika menjelaskan lagi maksud berinteraksi dengan baik itu termasuklah berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik.

Demikianlah Islam meletakkan kedudukan isteri sebagai harga diri yang mesti dihormati, dikasihi dan disayangi serta diisi setiap ruang jiwanya dengan limpahan dan curahan kasih dan sayang. Tidak pernah agama Islam menyuruh suami untuk takut kepada isteri.

Mustahak untuk dijelaskan kepada masyarakat, budaya suami takut isteri ini meskipun barangkali gurauan semata-mata, namun hal tersebut tidak disuruh dalam agama. Perkara seperti ini seharusnya dihentikan agar masyarakat tidak dididik dengan kefahaman yang salah. 

Keberadaan isteri adalah untuk dihormati dan dimuliakan dengan kasih dan sayang. Menjadi kewajipan para isteri sebelum bergerak keluar rumah untuk terlebih dahulu meminta izin suaminya sebagai tanda taat.

Begitupun, tidaklah wajib bagi suami meminta izin isterinya untuk keluar ke mana-mana. Namun, termasuk dalam perkara yang baik dan menghormati isterinya jika si suami memberitahu si isteri untuk keluar ke mana-mana.

Tujuan pemberitahuan tersebut bukanlah bermaksud perlu meminta izin tetapi dikira sebagai sebahagian kebaikan si suami terhadap isterinya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia