Dalam perkembangan terbaru bagi siri latihan ISK, 25 orang lagi penggerak dakwah Pemuda IKRAM Sabah daripada beberapa insitusi pengajian tinggi sekitar Kota Kinabalu telah berjaya melalui latihan ini di Indah Permai di sini. Latihan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemuda IKRAM Sabah.
Modul ISK adalah modul latihan baru anjuran IKRAM yang telah mula dilaksanakan sekitar lima tahun lalu di seluruh pelosok Malaysia. Program ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan para pelajar dan mahasiswa termasuk di negeri Sabah kerana ia dipersembahkan dengan konten dan fakta yang diteliti dan diadunkan dengan visual serta audio yang amat menarik.
Modul ini berorientasikan paparan sejarah dan nasib ummah melalui era kegemilangan bermula dari zaman Rasulullah s.a.w, pemerintahan Khalifah, dan tokoh-tokoh terdahulu. Ia kemudiannya diikuti pula dengan era kejatuhan dan kelesuan ummah akibat pelbagai masalah yang menimpa termasuk hilangnya keyakinan dan pegangan ummah terhadap Islam.
Akhirnya, modul ini mengajak audien untuk bersama-sama berfikir dan berusaha untuk mengembalikan khalifah dan kegemilangan yang hilang ini melalui usaha dakwah dan tarbiah.
Diharapkan modul ini dapat memberi kefahaman Islam yang sebenar dalam diri pemuda dan mengaplikasikannya dalam seluruh konteks kehidupan seorang Muslim.