Indeks Rasuah Merosot: Apa Tindakan Kerajaan?

Indeks Rasuah Merosot: Apa Tindakan Kerajaan? | IKRAM

Kita pernah dikejutkan dengan skandal 1MDB yang begitu sensasi diulas oleh orang politik di Malaysia. Bukan itu sahaja, awal tahun ini satu tangkapan telah dilakukan oleh SPRM terhadap beberapa pegawai tertinggi syarikat dan eksekutif muda kerana didakwa terlibat dengan rasuah.

Ya, tidak sanggup untuk kita senaraikan kes yang lain. Korupsi, mungkin janggal bagi sebahagian orang untuk ambil tahu tentangnya. Namun, bagi sebahagian yang lain, ia mungkin menjadi rutin kebiasaan demi memuaskan nafsu peribadinya. 

Semakin ralat apabila majoriti orang Melayu yang beragama Islam juga terlibat dalam jenayah yang kotor ini. Agama mengajar untuk mengangkat nilai integriti dan amanah, tetapi mungkin saranan ini hanya menjadi satu laungan semata-mata tanpa amalan. Benarkah? 

Jenayah korupsi, rasuah dan salah laku ini langsung tidak mengenal agama, bangsa, pangkat dan umur. Jenayah kotor ini tanpa segan dan silu sudah membiak merata di pelbagai peringkat di dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta.

Kita juga mungkin boleh terjebak dengan jenayah ini jika tidak berhati-hati atau tidak memahami definisi rasuah itu sendiri. Apatah lagi jika anda berstatus pengarah syarikat atau mempunyai kuasa meluluskan kontrak-kontrak yang besar. 

Laporan oleh Dr Muhammad Mohan, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.

Tambahnya, skor Malaysia pada tahun 2021 menurun kepada skor 48 daripada skor 51 pada tahun sebelumnya. Indikatornya iaitu skor 0 (paling korup) hingga skor 100 (paling bersih).

Skor itu  menjadikan buat pertama kalinya sejak 2012, negara kini dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100.

Bagaimana Indeks Ini Boleh Menurun? 

Selain daripada rasuah, skop yang termasuk dalam pengiraan indeks ini adalah persepsi terhadap penyalahgunaan dana kerajaan, kebolehan negara untuk menguatkuasakan mekanisme integriti, perlindungan terhadap pendedah maklumat dan buat pertama kali, CPI kali ini juga mengambil kira keberkesanan hak asasi manusia yang tersedia dalam sebuah negara.

Hal ini berlaku kerana tindakan yang sangat terhad daripada pihak kerajaan sedia ada dan kerajaan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia. Faktor kestabilan sesebuah kerajaan juga memainkan peranan yang mustahak dalam memastikan agenda ini tercapai. 

Kerajaan banyak mengumumkan pelbagai inisiatif dan pelan untuk membanteras rasuah baik pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Kita mahukan pendekatan yang komprehensif dan seimbang dan bukan hanya dengan menukar kulit buku muka hadapan semata-mata. 

Tambahan lagi, hal yang sama berlaku kepada draf RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dilonggarkan kepada mod yang kurang efektif dan dijenamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC). 

Perbahasan mengenai RUU ini juga sudah beberapa kali ditangguhkan di Dewan Rakyat. Terkini pada sidang bulan Mac 2022 yang lalu. 

Bukan itu sahaja, komitmen kerajaan dalam rejuvenasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti yang pernah dicadangkan dahulu menjadi salah satu sebab kepada penurunan skor ini. 

Namun begitu, perkara ini sebenarnya mampu terlaksana jika kerajaan dan pembangkang berlapang dada melakukan kerjasama dwipartisan untuk menyegerakan hal ini.

Gambar Rajah 1: Indeks Persepsi Rasuah bagi enam negara teratas (Sumber: transparency.org)

Gambar Rajah 2 : Indeks Persepsi Rasuah bagi tujuh negara terakhir (Sumber: transparency.org)

Merujuk kepada gambar rajah 1 di atas, Denmark, Finland dan New Zealand mengungguli carta dengan skor tertinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021.

Kita boleh simpulkan bahawa mereka mempunyai jumlah kes korupsi dan salah guna kuasa yang agak minimum berdasarkan pendekatan dan polisi strategik yang mereka laksanakan. 

Namun begitu, Indeks Persepsi Rasuah 2021 kali ini lebih menonjolkan elemen interaksi sesebuah negara dengan asas demokrasi dan hak asasi manusia.

Kedua-dua elemen tersebut menjadi tunjang kepada penilaian yang dibuat oleh pengkaji dalam mendapatkan hasilnya dan kesan wabak Covid-19 juga mempengaruhi serba sedikit skor dalam indeks ini.  

Jika kita lihat negara-negara yang mempunyai konflik politik yang berterusan dan mengalami pemerintahan kuku besi, memiliki skor yang terendah seperti Yaman, Venezuela, Somalia, Syria dan Sudan.

Krisis yang mereka hadapi bukan sahaja tidak mampu mengangkat nilai integriti tetapi ia memberi kesan kepada sektor ekonomi tempatan, pembangunan pendidikan dan keharmonian setempat.

Senario sebegini yang boleh meragut masa hadapan anak bangsa untuk hidup dengan lebih baik jika tiada tindakan yang afirmatif oleh pemegang taruh yang berkaitan. 

Justeru itu, semua pihak yang berkepentingan termasuk NGO dan NGI harus menyatakan pendirian bagi memastikan kerajaan komited untuk memerangi rasuah yang semakin menebal di pelbagai peringkat, tanpa memilih bulu dan selektif kepada sebahagian golongan sahaja. 

Apa yang Denmark, Finland dan New Zealand laksanakan hingga boleh mengungguli carta Corruption Perception Index (CPI)? 

Sebuah kajian telah dilakukan oleh World Happiness Report 2021, bahawa tingkat kebahagiaan di Finland dan Denmark memang berada dalam keadaan yang paling tinggi berbanding dengan negara yang lain.

Malaysia pula jatuh ke tempat 81 dengan skor 5.384 dari skala penuh 10. Paling menyedihkan, tiada peningkatan yang signifikan setelah jatuh dari kedudukan 35 kepada 80 semenjak tahun 2019. Ada dinyatakan isu politik dan korupsi merupakan salah satu faktor kejatuhan skor bagi Malaysia.

Apa definisi bahagia yang digunakan dalam kajian ini? Mungkin bagi sesetengah orang, maksud bahagia itu berbeza-beza.

Tetapi apa yang diguna pakai dalam kajian ini lebih cenderung kepada kebahagiaan dalam aspek pendapatan, pekerjaan, migrasi dan persepsi mereka terhadap korupsi. Kajian ini melibatkan kurang lebih 1,000 responden meliputi 150 buah negara. 

Berdasarkan World Happiness Report, faktor-faktor yang banyak mempengaruhi kadar kebahagiaan sesebuah negara adalah tanggapan mereka terhadap jenayah korupsi. 

Denmark merupakan negara paling bersih berdasarkan Corruption Perception Index (CPI) kerana memiliki kesejahteraan sosial yang memuaskan, sistem pendidikan yang berkualiti dan pendekatan pentadbiran kerajaan mereka yang lebih telus berbanding dengan negara-negara yang lain. 

Kita boleh simpulkan bahawa semakin bahagia sesebuah negara, semakin berkurang kadar korupsi yang berlaku dan juga sebaliknya. Korupsi yang juga membawa kepada ketirisan dan salah guna dana awam akan menyebabkan masalah terhadap sektor ekonomi, pembangunan pendidikan dan keharmonian sosial.

Kestabilan politik, kos sara hidup yang tinggi, sistem semak imbang kerajaan yang tidak dilaksanakan dengan menyeluruh dan budaya kita boleh menjadi halangan untuk kita menjadi sebuah negara seperti Finland dan Denmark.  

Apa Kerajaan Malaysia Boleh Lakukan? 

Kerajaan boleh memperkasakan undang-undang sedia ada yang berkait dengan salah guna kuasa, integriti dan korupsi. Walaupun pelan antirasuah nasional telah pun ada, perlaksanaan dan penguatkuasaannya harus di perkasakan.

Selain daripada itu, semak imbang secara menyeluruh dalam sistem demokrasi negara perlu diperkukuhkan, juga sistem pendidikan sedia ada serta meningkatkan literasi melalui kepelbagaian diskusi mengenai hak asasi manusia di Malaysia.

Melalui kaedah ini, kita bukan sahaja boleh menurunkan kadar peratusan korupsi, tetapi kita boleh menjadi sebuah negara yang lebih bahagia pada masa akan datang.

Prof. Dr. Hanim Salleh
Naib Presiden,
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia