Indeks Persepsi Rasuah 2024 Kekal: Apa Langkah Membaikinya?

Indeks Persepsi Rasuah 2024 Kekal: Apa Langkah Membaikinya?

Di negara tercinta ini, terdapat satu tradisi yang membawa kebinasaan kepada kesejahteraan rakyat serta kemapanan negara, iaitu rasuah.

Amalan warisan ini telah berakar umbi dalam sistem pentadbiran dan sosial sehingga dianggap satu kebiasaan yang diterima. Bahkan dalam sesetengah keadaan, menjadi pelik sekiranya tidak memberi atau menerima rasuah sama ada secara sukarela atau terpaksa.

Lebih membimbangkan, rasuah di Malaysia bukan sahaja melibatkan jumlah kecil tetapi skandal besar bernilai jutaan dan bilion ringgit tanpa tiada pertanggungjawaban sepertimana yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Pushpan Murugiah. Ternyata, rasuah masih menjadi cabaran utama yang membelenggu pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang diterbitkan oleh Transparency International menunjukkan Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dengan skor 50 mata. Kedudukan ini masih jauh daripada sasaran negara untuk berada dalam 25 teratas menjelang 2033.

Hakikat bahawa kedudukan ini tidak berubah menunjukkan perlunya tindakan lebih agresif dan bersungguh-sungguh dalam membanteras rasuah. Kegagalan untuk mencapai kemajuan dalam menangani isu ini memberi gambaran bahawa usaha yang dilakukan masih belum mencukupi atau kurang berkesan.

Jika keadaan ini berterusan, matlamat Malaysia untuk mencapai kedudukan yang lebih baik dalam indeks ini akan terus menjadi impian yang sukar direalisasikan.

Menurut laporan CPI 2024, beberapa faktor menyumbang kepada kedudukan ini termasuk persepsi bahawa sektor perniagaan masih melihat rasuah sebagai isu utama yang belum dibendung sepenuhnya dalam sektor awam. 

Hal ini menjadi lebih jelas apabila kes-kes Liabiliti Korporat seperti Pristine Offshore pada tahun 2021 dan Hydroshoppe pada tahun 2023 masih belum menunjukkan perkembangan yang meyakinkan.

Organisasi komersial juga kurang mengambil berat mengenai kepentingan Panduan Tatacara Mencukupi, yang sepatutnya menjadi rujukan penting dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti. 

Keadaan ini menunjukkan bahawa reformasi institusi masih bergerak perlahan walaupun terdapat penekanan daripada pentadbiran semasa. Usaha untuk menstruktur semula institusi-institusi utama masih belum memberikan impak yang signifikan. 

Selain itu, semakan semula hukuman dan pengurangan denda bagi kes berprofil tinggi turut menimbulkan persepsi campur tangan politik dalam badan kehakiman. Tindakan ini menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat mengenai keadilan sistem kehakiman di negara ini.

Pada masa yang sama, bilangan kes DNAA atau Discharge Not Amounting to Acquittal yang tinggi bagi kes berprofil tinggi turut mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada keputusan-keputusan ini dipengaruhi oleh faktor politik atau sebaliknya.

Malaysia tidak boleh lagi bertangguh. Reformasi menyeluruh dalam sistem pentadbiran, institusi penguatkuasaan dan dasar negara amat diperlukan bagi menutup segala ruang yang memungkinkan berlakunya rasuah. 

Antara langkah yang perlu diambil termasuk meningkatkan keberkesanan sistem tadbir urus dalam perolehan awam. Usaha ini boleh dilakukan dengan menggunakan Piawaian Antarabangsa untuk Integrity Pact dalam perolehan kerajaan bagi projek mega.

Di samping itu, kerajaan perlu mewajibkan kelulusan parlimen bagi projek berskala besar dengan dokumen sokongan seperti Laporan Perancangan Awal serta Analisis Keperluan dan Faedah Kos didedahkan kepada umum.

Langkah ini bukan sahaja dapat memastikan ketelusan dalam perolehan awam, tetapi juga dapat mengelakkan pembaziran dan ketirisan dana negara. Ketelusan dalam setiap aspek pentadbiran kerajaan sangat penting bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dapat dikekalkan.

Selain itu, usaha meningkatkan transparensi dan akauntabiliti dalam agensi berkaitan kerajaan perlu dipertingkatkan.

Antara tindakan yang boleh diambil termasuk menghapuskan pelantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan bagi memastikan setiap pelantikan dibuat berdasarkan merit dan kelayakan, bukannya hubungan politik semata-mata. Kerajaan juga perlu menyediakan laporan yang lebih telus untuk projek yang gagal seperti projek Kapal Tempur Littoral. 

Kegagalan projek-projek mega seperti ini perlu didedahkan secara terbuka kepada rakyat bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. 

Di samping itu, penjawat awam perlu bertanggungjawab atas ketidakpatuhan dan salah laku berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara. Sebarang ketirisan yang dikesan dalam laporan tersebut harus disiasat dan diambil tindakan dengan segera. 

Dalam usaha meningkatkan ketelusan, kerajaan juga perlu mewajibkan pengisytiharan harta oleh semua pegawai awam dan ahli parlimen. Langkah ini penting bagi memastikan mereka yang terlibat dalam pentadbiran negara bebas daripada sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa.

Reformasi undang-undang dan institusi perlu dipercepat bagi memastikan sistem pentadbiran negara bebas daripada amalan rasuah.

Salah satu langkah penting ialah pembentangan Bil Ombudsman untuk menangani aduan terhadap agensi pusat. Ombudsman yang berfungsi secara bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak akan dapat memastikan setiap aduan ditangani dengan adil dan saksama. 

Selain itu, pembentangan Bil Perkhidmatan Parlimen perlu dilakukan bagi memastikan pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman benar-benar terjamin. Tanpa pengasingan kuasa yang jelas, kebarangkalian berlakunya campur tangan dalam sistem kehakiman akan tetap wujud. 

Kerajaan juga perlu membentangkan Bil Pembiayaan Politik untuk mengawal selia dana politik di Malaysia. Hubungan antara ahli politik, perniagaan dan pembiaya terus menjadi kabur tanpa undang-undang yang mengawal selia perkara ini.

Oleh itu, undang-undang yang lebih jelas dan tegas perlu diperkenalkan bagi memastikan semua sumbangan politik dilakukan secara telus dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. 

Di samping itu, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang dijadualkan dibentangkan pada Mac 2025 perlu disegerakan. Pemberi maklumat memainkan peranan penting dalam mendedahkan amalan rasuah, namun mereka perlu diberikan perlindungan yang secukupnya agar tidak menjadi mangsa akibat tindakan mereka. 

Begitu juga dengan pembentangan Bil Kebebasan Maklumat (FOI) demi ketelusan, yang dijadualkan pada Julai 2025. Undang-undang ini penting bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada maklumat yang relevan dan tidak disembunyikan atas alasan kepentingan politik atau peribadi.

Pendidikan antirasuah di sekolah juga perlu diperhebat agar nilai integriti menjadi budaya generasi muda. Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan pemikiran seseorang. Oleh itu, usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan integriti perlu bermula dari peringkat sekolah lagi. 

Dalam masa yang sama, kesedaran rakyat mengenai bahaya rasuah perlu ditingkatkan melalui kempen pendidikan yang berterusan. Rakyat perlu memahami bahawa rasuah bukan sahaja merugikan negara tetapi juga memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup mereka secara langsung. 

Selain itu, usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi perlu dipertingkatkan dengan menyediakan peluang pekerjaan yang adil dan menaikkan gaji penjawat awam ke tahap yang berpatutan. Jika penjawat awam menerima gaji yang setimpal dengan tanggungjawab mereka, kemungkinan mereka terlibat dalam amalan rasuah akan berkurangan.

Membanteras rasuah di Malaysia memerlukan reformasi struktur yang kukuh serta perubahan sistem ekonomi dan sosial yang menyeluruh. Tanpa reformasi segera, negara ini akan terus dibelenggu oleh ketidakcekapan pentadbiran, ketidakadilan ekonomi dan kemerosotan sosial.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, memperkukuh institusi penguatkuasaan serta mendidik masyarakat agar membenci dan menolak rasuah dalam apa jua bentuk. 

Semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan negara ini bebas daripada rasuah.

Rasuah ibarat ancaman halimunan yang merosakkan dari dalam, membusuk tanpa disedari tetapi memberi kesan buruk yang meluas. Ia seperti barah yang menghakis nilai kejujuran, merosakkan kualiti kehidupan dan membunuh kebaikan yang sepatutnya tumbuh dalam sesebuah masyarakat.

Hakikatnya, walau sehebat mana sesuatu sistem dirancang, ia akan runtuh tanpa mencapai matlamatnya jika rasuah berakar umbi dalam pelaksanaannya.

Masa depan negara bergantung kepada keberanian kita untuk melakukan perubahan ini tanpa berlengah lagi.

 

Profesor Dr. Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia