Skor CPI 2023 Naik: Rasuah Masih Gagal Dibendung?

Masihkah wujud amalan “duit kopi” atau “pengeras” untuk mendapatkan sesuatu? Ia merangkumi tujuan untuk mendapatkan keutamaan, perhatian, kelonggaran istimewa atau apa-apa kepentingan bagi kepentingan tertentu secara pintas atau mengikut jalan belakang.

Jika situasi ini masih berlaku, sebenarnya tidak banyak yang berubah walaupun kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat apabila mencapai 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata sebelumnya daripada keseluruhan skor sebanyak 100 mata dalam pengumuman yang dibuat oleh Transparency International Malaysia pada 30 Januari lalu. 

Peningkatan ini menaikkan Malaysia berada di tangga ke-57  bagi 2023 berbanding kedudukan 61 pada tahun 2022.

Pada satu sisi, kita berasa gembira kerana ada peningkatan, yang bermaksud perubahan baik sedang berlaku dalam negara untuk membanteras gejala rasuah. 

Namun dari sisi lain, peningkatan tiga mata ini memberikan isyarat bahawa masih banyak lagi kerja keras yang perlu dilakukan dengan tekad yang kuat. 

Hakikatnya, sejak sedekad yang lalu, kedudukan Malaysia dalam CPI berlegar di sekitar skor purata 49.  Data-data ini bukan sekadar angka statistik tetapi menggambarkan tahap rasuah yang kritikal di negara ini. Suatu ketika dulu, gejala rasuah ini pernah memasyhurkan Malaysia di arena global menerusi skandal 1MDB. 

Umumnya, gejala rasuah diketahui sebagai punca kebinasaan kerana ia kunci yang membuka jalan kepada jenayah lain terutamanya apabila melibatkan isu penguatkuasaan undang-undang atau prosedur.

Selagi kitaran rasuah terpelihara dan sistem mekanisme “check and balance” (semak dan imbang) tidak dapat ditegakkan, selagi itu rantaian rasuah akan terus menyubur dan sukar dibanteras.

Seorang ahli kriminologi Amerika Syarikat, Dr Donald R Cassey pernah memperkenalkan hipotesis (1953) penting, merumuskan tiga faktor utama berlakunya jenayah penipuan (termasuk jenayah rasuah) iaitu peluang, tekanan dan rasionalisasi.

Peluang

Faktor peluang didorong oleh rasa ada kemampuan untuk melakukannya dengan keyakinan bahawa perbuatannya tidak dikesan, ditangkap atau hukumannya terlalu ringan. Peluang ini timbul apabila ada penguatkuasaan yang lemah dan kegagalan sistem semak dan imbang untuk berfungsi.

Tekanan

Tekanan mewujudkan desakan untuk melakukan rasuah. Kesempitan kewangan, keinginan diri atau konflik hidup adalah antara punca tekanan yang menimbulkan dorongan memberikan atau menerima rasuah.

Rasionalisasi

Rasionalisasi melibatkan usaha untuk meyakinkan diri bahawa penipuan adalah perbuatan yang wajar atas alasan seperti “hanya meminjam” atau menggantikan bonus yang sepatutnya diterima. Hal ini merupakan unsur penipuan yang paling kompleks untuk difahami dan ditentukan. 

Menurut Francois Valerian, pengerusi bagi Transparensi Antarabangsa, rasuah akan terus mengakar hingga sistem keadilan mampu menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan yang dilanggar dan kerajaan dapat dikawal melalui keutuhan sistem semak dan imbang. 

Tambahnya, apabila keadilan dibeli atau dihalang oleh campur tangan politik, rakyat akan menderita. Beliau mengatakan, pemimpin harus komited sepenuhnya untuk menjamin kemerdekaan institusi yang menegakkan undang-undang dan menangani rasuah.

Terbukti sudah bahawa negara yang mempunyai kadar korupsi yang tinggi akan mengalami masalah ekonomi dan sosial yang kritikal. Bahkan, sistem terbaik juga akan gagal apabila rasuah berleluasa kerana undang-undang tidak dihormati, penguatkuasaan lemah dan masyarakat sudah hilang nilai murni. 

Keazaman politik yang kuat diperlukan jika Malaysia mahu dikenali sebagai negara yang disegani kerana integriti. 

“Strategi Antirasuah Nasional 2024-2029” yang bakal dilancarkan harus dipastikan dapat berjalan dengan baik dan efektif agar berkesan mencegah rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran awam dan syarikat berkaitan kerajaan.

Undang-undang seharusnya dapat bertindak untuk mencegah jenayah daripada berleluasa. Justeru, penggubalan dan pindaan undang-undang berkaitan rasuah seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Rasuah 2010 dilihat perlu bagi memperbaiki kelemahan yang wujud dan menutup lompong yang ada untuk mencapai tujuan ini.

Idea untuk mewujudkan mahkamah khas untuk perbicaraan kes rasuah ada kepentingannya bagi meningkatkan kecekapan usaha menangani gejala yang serius ini.

Tidak dapat dinafikan, rasuah telah lama membelenggu negara ini sehingga telah berakar umbi dengan kukuh dalam segenap peringkat.

Tentunya gejala ini memerlukan masa yang panjang untuk diperangi tetapi perlu juga ada tindakan yang  mampu memberikan impak yang besar serta membawa perubahan yang signifikan. 

Reformasi yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mengubah nilai dalam masyarakat. Persepsi dan sensitiviti masyarakat terhadap rasuah meliputi pemimpin, pihak berkuasa dan masyarakat awam. 

Apabila rasuah menjadi sesuatu yang dinormalisasikan, golongan rentan akan tertindas kerana mereka mempunyai akses yang terhad kepada keadilan. Sebaliknya golongan kaya dan berkuasa mengekang dan memegang sistem keadilan sehingga mengorbankan kepentingan bersama.

Sayangi negara dan generasi kita. Ayuh bersama lakukan perubahan dengan berkata tidak kepada rasuah. Kita boleh hentikan rasuah!

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia