i-phone 2012 atau nama penuhnya ‘Saya Pemimpin Harapan OSEM & Excellence’ adalah sebuah program kepemimpinan dan motivasi remaja yang dianjurkan bersempena seminggu cuti sekolah yang lepas. Objektif utama i-phone 2012 ialah untuk melatih para remaja berkenaan asas-asas kepemimpinan dan memberikan suntikan motivasi agar para remaja bersedia untuk menjadi pemimpin.
Penampilan istimewa dalam i-phone 2012 adalah Imam Muda Asyraf yang dijemput sebagai penceramah utama. Beliau menerangkan sifat-sifat dan ciri-ciri kepemimpinan Rasulullah. Penyampaian beliau yang menarik dan tersusun telah memberi impak semangat dan motivasi yang besar kepada para peserta dalam mencapai objektif program. Fokus utama Imam Muda Asyraf ialah sifat pemimpin yang berani dan mesra.
Dalam melatih dan merealisasikan teori kepemimpinan yang telah disampaikan itu, para peserta diminta melaksanakan satu slot praktikal. Mereka telah dibawa keluar ke sekitar Taman Suria KLCC untuk melaksanakan latihan praktikal sebagai pemimpin yang berani dan mesra. Respons dari peserta, mereka amat terkesan dan bersemangat setelah melalui sesi latihan praktikal tersebut.
i-phone merupakan program kepemimpinan bersiri yang akan dilakukan oleh Kelab Remaja IKRAMTeens. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan Masjid Asy-Syakirin KLCC yang sudi bekerjasama dalam menganjurkan program ini. Jutaan terima kasih juga buat jawatankuasa i-phone yang telah bekerja keras menjayakan program ini.