SIBU – Wanita IKRAM kawasan Sibu mengadakan Mothers Against Pornography (MAP) pada 20 dan 22 Oktober yang lepas masing-masing bertempat di SK Nanga Bena dan SMK Semop. Mothers Against Pornography ini merupakan julung-julung kalinya diadakan di Sarawak merupakan satu gerakan yang dilaksanakan oleh Wanita IKRAM seluruh untuk membanteras pornografi dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia hingga akhirnya menyebabkan salah laku seksual.
MAP di SK Nanga Bena dihadiri oleh 56 orang pelajar dan warga staff sokongan sekolah tersebut. Manakala MAP di SMK Semop pula dihadiri oleh 152 orang peserta yang terdiri daripada pelajar harian dan pelajar asrama yang berumur dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun.
Penceramah dan fasilitator adalah terdiri dari kalangan sukarelawan yang telah terlatih dalam pelbagai bidang. Objektif program ini adalah untuk membincangkan satu modal yang menjurus ke arah memperlengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai diri dari segi fizikal, emosi dan spiritual dalam membentuk jati diri sahsiah yang utuh. Program ini amat penting bagi menyediakan peserta dalam menghadapi cabaran masalah gejala sosial terutama mengenai masalah pornografi yang kini semakin hebat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Justeru, program ini dirancang dan diharapkan dapat membantu remaja agar lebih bersedia dalam menghadapi cabaran masyarakat pada masa kini dan akan datang.
Program ini dikendalikan dalam bentuk ceramah interaktif, permainan dan kerja berkumpulan. Antara slot yang diadakan dalam ceramah interaktif ialah membincangkan tujuan hidup individu, pendedahan kepada sentuhan selamat dan tidak selamat, pengetahuan tentang masalah sosial terutama masalah pornografi dan membincangkan dengan peserta taktik-taktik untuk menjaga diri daripada ancaman pornografi.