SuperMom, SuperDad perlu jadi qudwah untuk anak-anak

Ini merupakan sebahagian daripada siri program keluarga sakinah yang digerakkan oleh Wanita IKRAM Terengganu. Program yang disertai hampir 150 orang peserta ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Tuan Hj Wan Hasnan bin Abdullah.

Dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada penganjuran program bersama ini dan ianya wajar dikembangkan di dalam kegiatan-kegiatan yang lain juga. Beliau juga percaya IKRAM dan Petronita mampu menjayakan program-program yang bermanfaat khususnya kepada warga Petronas dan masyarakat amnya.

Seminar kali ini menampilkan seorang tokoh iaitu AJK Wanita IKRAM Pusat yang juga Pengerusi JK Pembangunan Keluarga IKRAM Kelantan iaitu Dr Hjh Hafidzah Mustakim. Beliau telah menyampaikan satu ceramah yang cukup bertenaga dan bermaklumat bertajuk “Perjalanan Hidupku” di selang seli dengan pengalaman hidup berkeluarga yang boleh dijadikan  panduan dan pedoman buat ibu bapa yang ingin berjaya mendidik anak-anak mereka berdasarkan peranan ibubapa 5 bintang yang beliau perkenalkan.

Beliau menekankan tentang kepentingan hidup bermatlamat dan Islam telah meletakkan matlamat yang jelas kepada manusia bahawa tugasan mereka di dunia ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan menjadi khalifah Allah yang mengurus dan memakmurkan bumi berdasarkan syariat-Nya.

Kehidupan di dunia termasuk mengurus dan memimpin diri dan seisi keluarga adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan kita berjaya mendapatkan husnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan layak memasuki syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Beliau mengajak para peserta khususnya ibu bapa untuk menghayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 124 yang menyeru para lelaki dan perempuan untuk membekalkan diri dengan amalan-amalan soleh ketika di dunia:

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan amal kebajikan, baik lelaki mahupun wanita sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun.”

Beliau juga mengajak semua agar memastikan seluruh isi keluarga dan keturunan kita berada di syurga berdasarkan surah at-Thur ayat 21 yang bermaksud :

“Dan orang-orang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Satu lagi program istimewa sempena seminar ini ialah Forum SuperMom SuperDad yang menampilkan panelis berpengalaman iaitu Ustaz Hj Mohd Lokman Dato’ Awang selaku YDP IKRAM Terengganu, Ustazah Hjh Samsiah Dato’ Awang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Dr Hjh Hafidzah Mustakim. Forum ini dikendalikan oleh moderator berpengalaman Ustazah Hjh Rosmawati Ahmad, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Daerah Kemaman.

Dalam forum tersebut, Ust Lokman selaku panelis pertama menekankan peri pentingnya asas kejayaan ibu bapa diletakkan kepada pandangan dan tasawwur Islam itu sendiri. Konsep supermom superdad sebenarnya berasaskan kepada keperluan ibu bapa menjadi qudwah (teladan) yang terbaik, lantas wajar digelar ibubapa mithali. Beliau juga menegaskan peri pentingnya menjaga keluarga agar tidak terjerumus ke dalam api neraka sebagaimana yang diberi amaran oleh Allah subhanahu wataala dalam surah at-Tahrim.

Ustazah Hjh Samsiah berkongsi pengalaman beliau mendidik anak-anak beliau seramai sembilan orang pada masa yang sama menjadi wanita yang berkerjaya. Beliau menekankan peri pentingnya memberikan masa yang berkualiti terutama bagi ibu yang bekerja di mana masa bercuti dengan anak-anak dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Celoteh beliau yang sarat dengan pengalaman berjaya mencuit hati para peserta yang hadir. Beliau juga menceritakan bagaimana perlunya kita berusaha membantu orang lain dengan keikhlasan hati berdasarkan pengalaman beliau selama 30 tahun bekerja di sektor kerajaan sehingga berjaya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Negeri yang pertama di kalangan wanita bukan sahaja di Terengganu, malah juga di Malaysia.

Dr Hafidzah pula menekankan betapa pentingnya bapa diletakkan sebagai figur utama di dalam mendidik anak-anak. Para isteri perlulah pandai meletakkan peranan bapa dan jangan sekali-kali merendah-rendahkan lelaki bergelar bapa di depan anak-anak mereka. Di sinilah letaknya peranan seorang isteri yang menghormati maruah suaminya khususnya bila berdepan dengan anak-anak.

Para ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu dan kemahiran semasa di dalam menghadapi suasana pendidikan anak-anak yang cukup mencabar dan berbeza dewasa ini. Beliau juga menampilkan beberapa contoh teladan menerusi sirah ar-Rasul sallallahu alaihi wasallam serta tokoh-tokoh ibu yang wajar dijadikan contoh di kalangan wanita hari ini.

Berdasarkan maklum balas peserta, program ini mendapat sambutan yang sangat positif dan ramai yang menyarankan agar program seumpama ini dilanjutkan sehingga sehari penuh kerana banyak perkara yang ingin ditanya oleh para peserta terutama dalam aspek pendidikan anak-anak.

Menurut Pengarah Program Hjh Noor Asyikeen Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu, program ini berjaya mewujudkan satu jalinan kerjasama yang strategik dengan organisasi wanita lain dan ini mampu menjadi pemangkin kepada ‘constructive engagement’ yang diusahakan Wanita IKRAM. Beliau juga bersyukur atas kejayaan penganjuran program ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam merancang dan melaksanakan program ini.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia