Bertempat di Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda, program ini berjaya menarik lebih daripada 150 orang yang menghadiri, terdiri daripada masyarakat setempat.
Program bermula dari pukul lapan pagi dengan kata-kata aluan daripada YDP IKRAM Daerah Batu, Saudara Hasan Unir dan diikuti oleh ucapan daripada TYDP IKRAM Wilayah Persektuan, Tn. Hj. Mohd. Khairudin Abdul Halim. Kemudian, Karnival Semarak Ramadhan 2015 telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Shaari Mustafa, Pengerusi Masjid Saidina Hamzah.
Seramai 30 orang asnaf menerima sumbangan wang zakat yang disampaikan oleh TYDP IKRAM Wilayah Persekutuan.
Program diserikan lagi dengan pertandingan mewarna yang disertai oleh 56 orang kanak-kanak bawah 10 tahun.
Manakala, ceramah “Ramadhan Discovery”- Sembang Ramadhan Bersama Da’i Milenia TV3, Saudara Azam al-Kankari mengumpul seramai 56 orang remaja berusia 11-16 tahun.
Di samping itu, lebih daripada 50 orang kaum ibu dan dewasa dihidangkan dengan ceramah bertajuk “Ramadhan di Rumahku” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Anisah Abdul Ghani.
Program karnival ini juga menyediakan gerai-gerai pameran seperti gerai Pameran Peduli Ummah, gerai MyCARE dan gerai Kempen “Mothers Against Pornography” serta gerai jualan buku-buku.
Peserta juga tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan mata, gigi, BMI, kadar gula dalam darah dan tekanan darah yang turut disediakan.
Program berakhir pada pukul satu tengahari selepas penyampaian hadiah dan cenderamata.
Semoga program sebegini mampu menyempurnakan amalan kita menuju Ramadhan yang mulia dan memberi semangat kepada kita untuk meraih ketaqwaan pada bulan Ramadhan nanti.