Baiturrahmah Hidayah Centre IKRAM (BHCI) Kuching ditubuhkan untuk menyediakan rumah penjagaan sementara kepada anak-anak saudara kita.
Ia mula beroperasi pada Januari 2014 di rumah wakaf yang diamanahkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak di Lot 1755 di Jalan Temenggung Haji Gobil dengan kapasiti seramai 15 orang penghuni.
Projek ini dilaksanakan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia negeri Sarawak atas keprihatinan terhadap kebajikan dan penjagaan anak-anak saudara kita untuk mendapatkan bimbingan dan pendidikan agama yang sewajarnya.
Selain itu, BHCI juga menyediakan kemudahan asas dan menanggung persekolahan para penghuni supaya dapat menimba ilmu dengan sempurna.
Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dalam menyantuni prospek masa depan rakyat Sarawak.
Ia juga membuka peluang untuk masyarakat agar sentiasa prihatin selain memberi sokongan dan bantuan yang terbaik dalam pengoperasian BHCI Kuching.