Mengapa namanya demikian?
Merenung Kembali Kepada Hakikat Ramadan
Ramadan umpama satu kem di mana orang-orang yang benar-benar menghidupkan Ramadan itu dilatih dan dididik untuk meningkatkan ibadah, memperbaiki diri dan membersihkan hati.
Sehingga apabila kita keluar daripada bulan Ramadan, lahirlah seseorang yang baru, bersih jiwanya dan kembali kepada fitrah yang hakiki iaitu menjadi hamba Allah SWT yang taat kepada perintah dan menjauhi larangan-Nya.
Justeru, Aidilfitri ini merupakan satu perayaan untuk kita meraikan mereka yang telah kembali kepada fitrah dengan berusaha bersungguh-sungguh menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah dan memperbaiki diri.
Ia merupakan perayaan khusus bagi mereka yang telah memperolehi takwa setelah kita melalui bulan Ramadan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, dengan harapan kamu akan memperolehi takwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Hari itu, kita diarahkan bergembira, memakai pakaian yang baru dan cantik, memakai bau-bauan yang wangi dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.
Mengapa Pentingnya Takwa?
Istilah takwa itu datang daripada kata akar yang bermaksud perisai. Perisai itu fungsinya ialah untuk melindungi diri kita. Jika kita kaitkan konsep perisai dengan takwa, kita dapat fahami bahawa kita inginkan takwa supaya kita dapat melindungi diri kita. Tapi, lindungi diri kita daripada apa?
Kita berharap dengan adanya takwa dalam diri kita, kita mampu melindungi diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang Allah larang. Dengan adanya takwa juga, tubuh badan kita merasakan ringan untuk melakukan amal kebajikan.
Itulah fungsi takwa.
Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat takwa setelah berlalunya Ramadan. Hal ini kerana takwa merupakan bekal terbaik bagi kita melalui bulan-bulan yang mendatang dengan penuh ketaatan kepada-Nya.