Persatuan Kesihatan IKRAM (IKRAM Health), yang merupakan institusi kesihatan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil pendirian menyokong ketegasan dan langkah konsisten Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan Vape seperti mana rokok dan produk tembakau lain kerana kesan buruk seperti ketagihan, keracunan, kesihatan jangka panjang dan keselamatan kepada masyarakat umum.
IKRAM Health juga menyokong langkah terkini Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertindak melalui Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Bahaya 1952 untuk mengawal penjualan Vape yang bernikotin. Bagaimanapun, IKRAM Health menggesa agar Kerajaan Malaysia mengharamkan penggunaan vape dan produk tembakau secara menyeluruh (TOTAL BAN) pada masa akan datang.
IKRAM Health akan menyokong langkah-langkah dan usaha-usaha ini dengan jalinan serta kerjasama melalui agensi-agensi Kerajaan, Swasta dan NGO-NGO lain yang berkaitan.
IKRAM Health pada dua minggu lepas telah menubuhkan Unit Bantuan Berhenti Rokok & Vape untuk berkempen bagi membentuk sebuah generasi baru bebas daripada rokok dan vape di Malaysia yang dikenali sebagai GenBRV: Generasi Bebas Rokok & Vape.
Kempen ini akan disebar luaskan ke seluruh tanah air secara berperingkat dan ia dijalankan melalui cara yang hikmah, kasih sayang dan rahmah dengan pendekatan kesedaran dan pendidikan serta advokasi yang berkesan bukannya dengan mencela dan menghukum.
IKRAM Health mengajak umat Islam agar menghormati fatwa tentang pengharaman rokok dan vape yang telah dibincangkan dan diputuskan secara syarak. Muzakarah ke-37 Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 Mac 1995 telah memfatwakan merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan. Manakala Mufti Wilayah Persekutuan melalui Isryad Fatwa ke-63 pada 21 Oktober 2015 telah mengharamkan pengunaan rokok elektronik atau ‘vapor’.
Dengan demikian, IKRAM Health mengajak dan menyeru warga Malaysia dari segenap lapisan tidak mengira latar belakang politik, agama, bangsa dan ideologi, dengan menggunakan segala potensi yang ada, untuk turut serta bersama-sama IKRAM Health agar usaha ini dapat dijayakan bersama.
Layari www.facebook.com/GenBRV
Prof Madya Dr Oteh bin Maskon
Pemangku Yang DiPertua
Persatuan Kesihatan IKRAM (IKRAM Health)