Isu tentang pembelian hartanah oleh pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB yang tersiar di laman sosial ketika ini mengundang pelbagai interpretasi.
Ada pihak melihat ini sebagai satu usaha “bail out” oleh pihak kerajaan yang sedang berusaha bagi melunaskan bebanan hutang yang tinggi oleh 1MDB.
Tanggapan negatif ini berlaku disebabkan oleh pelbagai tuduhan salah urus tadbir yang masih belum terjawab sehingga Laporan Audit Negara dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan kewangan 1MDB yang sebenar.
Oleh kerana LTH adalah sebuah organisasi besar negara yang menguruskan berbilion wang pendeposit, maka sudah tentu berita yang tersebar ini menimbulkan kegelisahan yang amat sangat di kalangan pendeposit.
Timbalan Pengarah Urusan Dan Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Dato’ Johan Abdullah, menegaskan bahawa pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.
Penegasan di atas sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan, namun hakikat di sebalik urusniaga dengan 1MDB ini masih belum dapat meyakinkan banyak pihak.
Pendedahan bahawa tiga orang peneraju Tabung Haji sebagai terkait dengan 1MDB, iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji juga Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Dato’ Johan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Pengarah Urusan Tabung Haji juga Pengerusi 1MDB Edra Energy Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB, dan Tan Sri Datuk Dr Abdul Samad Haji Alias, Ahli Panel Pelaburan Tabung Haji sebagai Ahli Panel Penasihat 1MDB, menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan pertembungan kepentingan (conflict of interest) di dalam proses jual beli tanah tersebut dan keraguan terhadap penjagaan kepentingan Tabung Haji dan pendepositnya dalam urusniaga berkenaan.
Bagi mengembalikan keyakinan pendeposit, khasnya dan masyarakat umumnya, maka pihak Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan ini menggesa pihak Kerajaan untuk mengambil langkah segera seperti berikut:
1. Dipercepatkan Laporan Audit Negara mengenai kedudukan kewangan sebenar 1MDB.
2. Dibekukan untuk sementara waktu semua transaksi kewangan antara TH dan 1MDB.
3. Diberhentikan dengan serta merta, jika ada, urusan pembelian aset 1MDB oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan(GLIC).
4. Menggantung tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Dan Ahli Panel Perlaburan yg nama tersenarai sehingga siasatan selesai bagi mengelakkan gangguan dalam siasatan.
5. Mengelakkan dari mengambil ahli politik menganggotai Lembaga Pengarah GLIC, selaras dengan pelan transfomasi Syarikat Berkaitan Kerajaan, iaitu memisahkan pengaruh politik dalam bisnes.
Setelah pihak Audit Negara membuat rumusan ke atas kedudukan kewangan 1MDB yang sebenar, barulah tindakan lanjut berurusan dengan 1MDB boleh dibuat dengan mengambil kira risiko yang telah diketahui secara jelas.
Sementara itu, IKRAM menyeru agar pendeposit Tabung Haji bertenang dan tidak terburu-buru mengeluarkan simpanan dalam Tabung Haji sehingga perkara yang lebih jelas diperolehi. Keutuhan Tabung Haji sebagai sebuah institusi penting Umat perlulah dipelihara sebaik mungkin.
Semoga segala perkara negatif yang tersebar akan dapat ditangani dengan hemat demi kelangsungan agenda pembinaan ekonomi Malaysia yang tercinta.
Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia