Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap keharmonian negara, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menganjurkan satu perbincangan meja bulat mengenai isu pengiktirafan UEC sebagai syarat am kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 14 Julai 2018.
Perbincangan telah dihadiri oleh 10 orang wakil IKRAM dan 16 orang mewakili pertubuhan-pertubuhan pendidikan Cina (Dong Zong, Jiao Zong, LLG Centre, Centre for Malaysian Chinese Studies, KLSCAH dan Gabungan Lembaga-lembaga Sekolah-sekolah Cina Selangor & Kuala Lumpur).
IKRAM menganjurkan perbincangan ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai UEC serta mengenal pasti titik-titik pertikaian dan persefahaman tentang isu pengiktirafan UEC. IKRAM yakin pendekatan perbincangan tertutup seperti ini boleh membuahkan kesefahaman dan merintis jalan penyelesaian yang lebih harmonis.
Wakil Dong Zong telah memberi penerangan mengenai sistem pendidikan Cina dan peperiksaan UEC yang mereka kendalikan. IKRAM pula menyuarakan keprihatinan dan kegusaran masyarakat Melayu Muslim terhadap pengiktirafan UEC.
IKRAM meminta aktivis pendidikan Cina untuk mengambil kira perkara-perkara tersebut dalam usaha mendapatkan pengiktirafan kepada sijil UEC sebagai syarat am kemasukan ke IPTA. IKRAM juga mencadangkan beberapa jalan penyelesaian yang diharapkan boleh diterima oleh semua pihak.
Walaupun belum ada kata sepakat, perbincangan merumuskan bahawa perkongsian sebegini perlu diteruskan untuk merapatkan jurang kefahaman dan persefahaman antara satu sama lain. Juga dipersetujui untuk melibatkan lebih banyak pihak di dalam perbincangan yang akan datang.
Perbincangan memohon semua pihak berpegang kepada sikap bertolak ansur dan mengambil langkah yang memberi kemaslahatan terbaik kepada pembangunan peradaban sejahtera di tanah air.
Sebagai langkah proaktif, aktiviti-aktiviti kokurikulum berbentuk silang budaya dan pemerkasaan Bahasa Melayu ditingkatkan di antara Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan sekolah-sekolah lain. Dalam hal ini, aktiviti silang budaya yang dipelopori oleh sekolah-sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH boleh dijadikan contoh.
Prof. Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM