Ikhlas memberi, jujur meminta

Semangat membantu dalam kalangan rakyat Malaysia sangat dikagumi bukan sahaja di peringkat negara malah di mata antarabangsa.

 

Kemurahan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa telah membuktikan sebenarnya kita mampu bersatu tatkala negara berdepan dengan isu getir dan pilu. Kita sewajarnya berbangga dengan sikap pemurah rakyat Malaysia.

 

Kini, kempen bendera putih telah menjadi simbolik kepada tingginya kesedaran rakyat untuk saling bantu-membantu.

 

Namun di sebalik sifat pemurahnya rakyat Malaysia, segelintir masyarakat kadangkala dilihat tidak jujur dan tidak bercakap benar ketika meminta bantuan. Malah, ada juga yang telah mengambil barang yang bukan hak keperluannya.

 

Keadaan ini amatlah menyedihkan. Bercakap tidak benar dengan memberi maklumat yang tidak tepat, kononnya tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, walhal pernah diberi bantuan itu dan ini.

 

Ketika meminta sesuatu yang bukan hak kita, ingatlah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

 

Berdasarkan ayat diatas, Allah Azzawajalla dengan penuh ketegasan melarang orang-orang beriman daripada mengambil atau memakan harta secara batil atau salah. Termasuklah dalam perkara batil dan salah itu ialah dengan cara menipu demi mengaut keuntungan dan membolot bantuan.

 

Sikap sebegini sepatutnya dijauhi oleh kita semua dan berpada-padalah dengan bantuan yang telah kita terima. Adapun jika tidak cukup, berkatalah yang benar dan bukannya mendakwa tidak pernah menerima apa-apa bantuan.

 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Siapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpahnya, maka Allah menentukan neraka baginya dan mengharamkan syurga baginya. Ada seorang lelaki bertanya, “Walaupun itu adalah sesuatu yang sangat sederhana wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Walaupun sebatang kayu siwak daripada pohon arak.”

 

Barangkali ada dalam kalangan kita beranggapan mengambil hak yang bukan milik kita adalah sesuatu hal yang remeh. Tetapi berdasarkan hadis tersebut, Allah memberikan ancaman kepada golongan ini dengan menentukan neraka bagi mereka dan di diharamkan syurga.

 

Ia suatu ancaman yang sangat serius dan berat yang Allah janjikan pada golongan ini. Oleh itu, kepada kita yang barangkali sedang berada dalam kesusahan, mohonlah bantuan dengan kejujuran. Jangan menafikan bantuan lain sekiranya ada. Ambillah sikap sederhana dalam meminta-meminta.

 

Kepada pemberi bantuan pula, kita hanya mampu menilai keadaan penerima dengan apa yang terzahir pada dirinya sahaja. Kita tidak diminta untuk membuka aib penerima, bahkan Islam melarang kita membuka aib orang lain. 

 

Sepertimana dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmidzi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”

 

Dalam hadis yang lain, riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.”

 

Demikianlah sabda Nabi SAW yang melarang kita daripada membuka aib. Lebih-lebih lagi dalam konteks kita memberi bantuan, berilah dengan ikhlas tanpa mengungkit dan tanpa kita membuka aib si penerima bantuan.

 

Sikap membantu tersebut sangatlah baik dan mulia. Namun, janganlah kita cemarinya dengan sikap yang terkeji sepertimana yang telah kita sebutkan.

 

Adapun untuk menyedarkan penerima tentang kelemahannya, barangkali mereka tidak solat, cukuplah dengan sekadar memberi nasihat yang membina dan bukannya menghemburkan kata-kata nista menghina.

 

Kita seharusnya sedar bahawa segala apa yang kita miliki ini pun semuanya datang dengan izin Allah. Dengan sikap Maha Pemurah, Tuhanlah yang memberikan kita sedikit kelebihan untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

Sikap memberi dengan niat ingin membantu mengeluarkan orang lain daripada kesusahan bukanlah sikap orang biasa, bahkan inilah sikap orang luar biasa. Ganjaran pahalanya juga luar biasa.

 

Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”

 

Demikian betapa tinggi dan mulianya kedudukan bagi mereka yang membantu memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Cuma, janganlah kita rosakkan amal pemberian kita ini dengan sikap keji, suka mengungkit kembali, membuka aib penerima dan lain-lain.

 

Marilah sama-sama kita ambil ruang dan peluang ini untuk berkhidmat memberikan bantuan dengan keikhlasan dan mengharapkan ganjaran disisi Tuhan. Semoga Allah membimbing kita semua menuju jalan Nya yang lurus.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia