Dalam meniti kehidupan marcapada, sering kali kita mendengar kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak yang semakin hari semakin menjadi-jadi sehingga mencetuskan topik hangat dalam media massa kebelakangan ini.
Kejadian kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak seperti yang dilaporkan baru-baru ini telah meningkatkan kebimbangan masyarakat terutamanya yang bergelar ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika di rumah mahupun di luar rumah.
Misalnya, kes terbaharu yang melibatkan kanak-kanak autistik yang hilang di kediamannya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, yang kemudiannya ditemui meninggal dunia di sebatang anak sungai berhampiran kawasan rumahnya.
Selain itu, kes jenayah yang sering melibatkan kanak-kanak juga adalah kes jenayah seksual seperti kes rogol, amang seksual dan sebagainya. Contohnya, kes melibatkan enam orang termasuk lima beradik yang didakwa atas pertuduhan merogol serta melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik pada awal November lalu.
Di samping itu, kes penderaan juga adalah satu jenayah yang acap kali melibatkan kanak-kanak dan menjadi mimpi buruk kepada ibu bapa.
Sebagai contoh, satu kes melibatkan seorang pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang disyaki telah mendera seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya sehingga cedera di kepala dan tangan.
Kes jenayah tersebut bukan sahaja menjadi isu bualan dan perbincangan dalam kalangan masyarakat awam sahaja, bahkan ia juga telah dibawa ke persidangan parlimen bagi menemukan penyelesaian yang bernas dan relevan.
Namun demikian, kes-kes jenayah berkaitan kanak-kanak mutakhir ini sangat menjadi kegusaran kepada golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak seusia kanak-kanak tersebut.
Jadi, bagi mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kes jenayah, prakarsa utama dalam mendepani isu ini ialah menekankan lagi peranan ibu bapa terhadap anak-anak, khususnya berkaitan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di luar rumah.
Hal ini demikian kerana kebanyakan kes jenayah yang berlaku melibatkan kanak-kanak yang belum tahu dan belum pandai menilai situasi mereka sama ada selamat atau tidak. Justeru, ibu bapa perlulah sentiasa mengawasi dan memberi perhatian kepada anak-anak mereka sepanjang mereka berada bersama-sama, terutamanya ketika di luar rumah.
Kecuaian dan kelalaian disebabkan melihat telefon pintar dan sebagainya haruslah dielakkan kerana kebelakangan ini pelaku jenayah sangatlah licik dan bijak demi mencapai matlamat jijik mereka.
Ibu bapa mestilah sentiasa memimpin tangan anak-anak ketika berada di luar rumah. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka agar memberitahu atau memaklumkan jika ingin pergi ke mana-mana supaya dapat ditemani ibu bapa dan dapat mengelakkan diri daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Dalam pada itu, cara lain bagi memastikan keselamatan anak-anak di luar rumah terjamin adalah dengan mendedahkan mereka kepada seni mempertahankan diri. Dengan berbekalkan ilmu mempertahankan diri yang mereka pelajari, mereka boleh mempraktikkan apa yang dipelajari sekiranya mereka berada dalam situasi terancam dan bahaya.
Oleh itu, bimbingan yang baik dan mendalam oleh pengajar dapat membentuk jati diri anak-anak yang lebih berdisiplin dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ancaman keselamatan.
Ibu bapa juga seharusnya sentiasa cakna tentang kecanggihan teknologi pada masa kini yang boleh digunakan bagi menjejak anak-anak walau di mana mereka berada.
Gajet atau alat penjejak kanak-kanak pada masa kini telah direka dalam pelbagai bentuk dan mesra kanak-kanak seperti jam tangan, gelang dan rantai. Ibu bapa boleh memantau setiap pergerakan anak-anak mereka menerusi aplikasi yang disambungkan melalui telefon pintar.
Natijahnya, pemasangan alat penjejak ini dapat memberikan perasaan tenteram dan selamat kepada ibu bapa dan anak-anak serta sebagai salah satu langkah bersiap sedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Dengan berbuat demikian, ibu bapa dapat memantau pergerakan anak-anak mereka walaupun tidak berada bersama mereka dan anak-anak pula sedar pergerakan mereka sentiasa diawasi oleh orang tersayang.
Keprihatinan ibu bapa perlulah lebih signifikan dalam usaha mengatasi masalah keselamatan kanak-kanak, baik di dalam mahupun di luar rumah pada masa kini. Hal ini kerana setiap hari kita mendengar berita tentang kanak-kanak didera, dirogol dan sebagainya.
Lantaran itu, peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin dan mereka jauh daripada sebarang tindakan jenayah. Sesungguhnya anak-anak ialah permata harapan negara yang paling berharga pada masa hadapan.
Nurul ‘Amirah Mohamad Hanif
Universiti Kebangsaan Malaysia