Ibrah Di Sebalik Kisah Wanita Pelacur

Ibrah Di Sebalik Kisah Wanita Pelacur | IKRAM

Mengapa ada pelacur yang dimasukkan ke dalam syurga? Bukankah syurga dihuni oleh orang-orang yang taat kepada Allah dan berbuat baik kepada manusia semasa di dunia? 

Pandangan sesetengah masyarakat terhadap syurga sememangnya diduduki oleh kebanyakan orang yang berhasil menjalankan tugasnya sebagai hamba yang patuh kepada perintah Tuhan-Nya.

Walau bagaimanapun, syurga juga sebetulnya dihuni oleh mereka yang pernah bergelumang dengan kemungkaran dan kembali bertaubat kepada Allah Taala.

Inilah kisah inspirasi seterusnya yang diceritakan oleh Rasulullah SAW, kisah seorang wanita pelacur yang dimasukkan ke dalam Syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Namanya tidak disebutkan dalam hadis demi menjaga keaibannya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda, “Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba dia terlihat oleh seorang wanita pelacur dari bangsa Israel. Maka dia membuka kasut kulitnya. Kemudian dia mencedok air dengan kasutnya, lalu anjing itu diberi minum. Kerana hal itu Allah Subhanahuwataala mengampunkan dosa-dosa wanita itu.” (Sahih Muslim No. 2245)

Anjing merupakan seekor binatang yang cukup dikenali akan kebuasannya dan sering berkeliaran di persekitaran kawasan kediaman. Meskipun ia hanya seekor binatang, Islam justeru memerintahkan agar setiap manusia berbuat kebaikan kepada seluruh makhluk di muka bumi termasuklah binatang dan haiwan.

Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan makna nengenai hadis tersebut dalam Syarahnya iaitu:

“Dalam hadis tersebut terdapat anjuran untuk berbuat baik kepada makhluk hidup yang dimuliakan iaitu yang tidak diperintahkan untuk dibunuh. Adapun makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh, maka harus diterapkan perintah syariat untuk membunuhnya.”

“Makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh seperti orang kafir harbi (orang kafir yang memerangi kaum Muslimin), orang murtad, anjing yang suka menggigit dan lima haiwan perosak yang disebutkan dalam hadis serta haiwan yang sejenis dengannya.”

“Adapun makhluk hidup yang dimuliakan, maka berbuat baik kepadanya dengan memberi makan, minum, dan lain sebagainya, baik dia seorang hamba mahupun orang merdeka, baik dia hamba milik sendiri mahupun milik orang lain, maka pelakunya akan mendapat pahala. Wallahu A’lam.”

Jika diperhalusi, hadis ini membuahkan kuntuman kebaikan yang sangat besar dalam kalangan manusia dan juga makhluk yang lain. Binatang yang tidak mencederakan manusia tidak boleh dibunuh malahan membantunya dalam kesusahan membolehkan seseorang diberikan pahala oleh Allah SWT.

Pelacur yang dahulunya ditohmah dan dikeji segala tindakan haramnya akhirnya mendapat pengampunan daripada Rabb hanya disebabkan sikap belas kasihan dan keikhlasannya membantu seekor anjing yang sedang kehausan.

Disebabkan kebaikan yang dia telah lakukan, Allah Taala memberikannya rahmat dan menggerakkan hatinya untuk bertaubat daripada perbuatan dosa dan maksiat.

Bagaimana pula dengan keadaan diri kita yang jauh daripada terjebak dalam lembah perzinaan tapi masih bakhil menghulurkan pertolongan kepada manusia apatah lagi kepada haiwan dan binatang yang lain?

Kebaikan yang dikerjakan oleh seorang wanita Muslimah walau dalam jumlah yang sedikit sekalipun akan tetap dibalas, dikurniakan imbalan dan dinilai pahalanya di sisi Allah SWT. 

Sewaktu menjalankan pekerjaan di dunia, kita sebagai hamba yang kerdil jangan sesekali meremehkan kebaikan yang hendak kita langsaikan dengan terlalu lama.

Boleh jadi disebabkan kebaikan tersebut, mendorong seseorang masuk ke dalam pintu syurga-Nya. Sebaliknya, boleh jadi kerana setitis keburukan, penyebab seorang hamba dimasukkan ke dalam api neraka. Janji Allah telah termaktub dalam al-Quran.

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah az-Zalzalah: 7)

Orang yang banyak amal kebajikannya belum tentu dia dapat menjamin dirinya termasuk dalam penghuni-penghuni syurga. Orang yang banyak mengerjakan dosa keburukan mahupun kemaksiatan belum tentu dia dilemparkan ke dalam api neraka. 

Secara tuntasnya, kisah ini dihadirkan bagi menyedarkan kepada kita sebagai umat Islam bahawa:

  1. Islam memerintahkan para penganutnya untuk berbuat kebaikan kepada sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan ia binatang ataupun manusia.
  1. Membantu binatang yang sedang kelaparan dengan menghulurkan sepotong makanan ataupun setapak tangan minuman dapat menghapuskan dosa dan menambahkan amal kebajikan.
  1. Apa pun status seorang wanita itu, jika dia telah mengamalkan satu kebaikan,  nescaya Allah akan membalas kebajikan tersebut kepadanya.
  1. Orang yang bertaubat sebelum tiba hari kematiannya, akan diampuni dosa-dosanya selagi dosa tersebut bukan dosa mensyirikkan Allah SWT.
  1. Perintah untuk saling mengasihani sesama makhluk agar disayangi oleh Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya, Allah menyayangi hamba-Nya yang penyayang.” (Sahih al-Bukhari No.7377)

Saban hari kita diperintahkan untuk berusaha mencari dan mengamalkan sekurang-kurangnya satu kebajikan. Pengakhiran hidup kita tiada siapa yang tahu.

Oleh kerana itu, apabila kita mati pergi meninggalkan dunia, biarlah kematian itu dijemput dalam saat kita sedang menunaikan satu kebajikan dan sudah pun menginsafi kesilapan yang lepas.

Amalan yang sedikit sekiranya dikerjakan secara konsisten dan berulang-ulang kali, ia sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan amalan yang banyak tetapi jarang sekali dilaksanakan pada setiap hari.

Cahaya kebaikan akan senantiasa menghiasi jasad seorang wanita yang tekun mengerjakan kebaikan, lantas mereka akan memperolehi kenikmatan yang luar biasa di syurga kelak berdasarkan firman Allah:

لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ ٱلْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌۚ أُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلْجَنَّةِۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَۥ

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Yunus: 26)

Ayuh Muslimah, gagahkan dirimu melaksanakan kebaikan kendatipun ia tidak sehebat kebajikan yang diamalkan oleh ahli ibadah.

Bersedekahlah meski nilainya hanyalah sedikit dan kecil kerana sedekah mampu menjauhkan para wanita daripada dimasukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Contohilah kebaikan wanita pelacur itu tadi yang telah dikurniakan rahmat Allah yang maha luas kerana pertolongan yang dia curahkan kepada seekor anjing.

Ia kisah penuh teladan dan sebaik-baik pedoman yang pernah tercatat sepanjang dalam lipatan sejarah.

Syuhara Suriati

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia