Program bermula pada selepas tarawih pada malam 10 Ogos dan peserta beri’tikaf selama dua malam iaitu malam ke-22 dan ke-23 Ramadan. Pada awal pagi 23 Ramadan, qiyamullail jama’i telah dipimpin oleh Imam Muda Gaza, Yousef Abu Eida.
I’tikaf perdana ini diisi dengan pengisian ilmiah oleh Ustaz Syazalie Hirman Ahmad Najib pada pagi Sabtu dan Ahad, Dr Danial Zainal Abidin pada petang Sabtu dan Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar selepas Subuh Ahad.
Dr Danial dalam slot ‘Al-Quran Menjawab’ antaranya menghuraikan ayat 121 surah al-Baqarah yang menjelaskan ciri-ciri orang yang beriman iaitu mengharamkan apa yang Allah haramkan, menghalalkan apa yang Allah halalkan, membaca al-Quran seperti mana bacaan al-Quran diturunkan, menjaga susunan al-Quran sebagaimana ianya disusun oleh Rasululah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (seperti mana mushaf yang ada pada kita sekarang) dan menafsir mengikut metodologinya.
Semoga i’tikaf 10 malam akhir Ramadan menjadi amalan ahli-ahli IKRAM sebagaimana yang dilakukan Rasulullah Sallallhu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat dan salafussoleh seluruhnya, insya-Allah.