i-Bantu IKRAM Selangor giat salur bantuan di Kuantan dan Kemaman

Di Kuantan, seramai 11 sukarelawan i-Bantu IKRAM Petaling Jaya yang diketuai oleh Hj Shahrudin Omar telah bertolak ke sana pada pagi Sabtu lalu bersama tiga kenderaan yang membawa pelbagai barang bantuan serta wang tunai dan melakukan tugas-tugas bantuan seperti membersihkan sekolah dan masjid.

Pasukan i-Bantu IKRAM Petaling Jaya, Shah Alam dan Kajang

Seramai 16 sukarelawan i-Bantu IKRAM Shah Alam yang diketuai saudara Aiman Maarof turut bertolak pada pagi Sabtu lalu ke Kuantan membawa pelbagai barang bantuan sebanyak satu lori 3 tan, melakukan kerja-kerja pembersihan dari rumah ke rumah di Kg Sungai Isap dan mengagihkan barang-barang sumbangan kepada mangsa banjir.

Seramai 8 sukarelawan i-Bantu IKRAM Kajang diketuai Dr Abd Rahman bertolak pada petang Sabtu lalu ke Kuantan membawa barangan dan sumbangan tunai lebih RM5,000. Mereka mengagihkan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di Teluk Mahang dan mencuci rumah-rumah yang terjejas di Sungai Isap.

Di Kemaman, seramai sembilan sukarelawan i-Bantu IKRAM Ampang Jaya diketuai saudara Urwah Saari telah selamat sampai ke Felda Seberang Tayor pada Ahad petang dan menjalankan pengagihan barang sedang dijalankan. Sebanyak 3 tan barang berjaya dibawa masuk dengan dua trak askar setelah lori 3 tan yang digunakan tidak memenuhi spesifikasi mengharungi banjir di beberapa jalan 2 kilometer sebelum sampai ke Felda tersebut disebabkan hujan pada pagi ini.

Pasukan i-Bantu IKRAM Ampang Jaya bersama barangan bantuan dan roti Gardenia

Terdahulu i-Bantu Ampang Jaya telah menghantar satu lori roti Gardenia terus dari kilang ke Felda tersebut pagi Sabtu lalu. Ia merupakan bantuan jalan darat pertama yang diperoleh daripada NGO selepas bantuan helikopter dan bomba, disusuli dengan kedatangan i-Bantu IKRAM Kemaman pada sebelah tengahari.

Selain daerah-daerah tersebut, i-Bantu IKRAM Gombak, Klang dan Sepang turut menghantar barang bantuan ke Kuantan dengan beberapa lori dan kenderaan lain.

Sebahagian barangan bantuan yang tiba di Kuantan

Sementara itu, i-Bantu IKRAM Hulu Selangor turut menghantar barang bantuan ke Kuantan dan sebuah lori 3 tan barang bantuan ke Kemaman. Mereka turut menyumbang sebuah penyembur air berkuasa tinggi, ‘waterjet’ dan membawa dua buah ‘waterjet’ sumbangan IKRAM Selangor untuk membantu kerja mencuci rumah-rumah yang terjejas akibat banjir di Kuantan.

IKRAM Health pusat pula telah menghantar barang bantuan dan dua pasukan doktor ke Kemaman pada Ahad lalu iaitu satu pasukan dianggotai Prof Dr Abdul Latiff Mohamed dan Dr Firdaus, dan sepasukan lagi dianggotai oleh Prof Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh, Prof Dr Amaluddin Ahmad dan Dr Abdul Halim Sibghatullah.

Pasukan IKRAM Health: Prof Amal, Dr Halim dan Prof Ikram (foto 1), sukarelawan i-Bantu IKRAM Kelantan dan doktor IKRAM Health Kelantan

Selain Selangor, i-Bantu IKRAM Kelantan dan IKRAM Health Kelantan tidak kurang giatnya menghantar barang bantuan, 10 orang doktor dan 25 orang sukarelawan ke Kemaman bagi membantu mangsa banjir. IKRAM Johor juga tidak ketinggalan menghantar menghantar barang bantuan termasuk tiga buah ‘waterjet’ dan 11 sukarelawan setakat ini selain IKRAM Negeri Sembilan yang turut sama menghantar barang bantuan.

i-Bantu IKRAM Wilayah Persekutuan pula melalui IKRAM Putrajaya turut membantu menghantar dua lori 5 tan barangan sumbangan ke Kemaman pada Sabtu lalu. Kini, beberapa negeri dan daerah IKRAM seluruh negara sedang bersedia menghantar barang bantuan dan sukarelawan untuk membantu mangsa banjir.

Sebahagian aktiviti agihan bantuan, makanan dan mencuci rumah oleh sukarelawan i-Bantu

Tahniah kepada semua sukarelawan i-Bantu IKRAM yang bertugas di Kuantan dan Kemaman, tahniah ahli-ahli IKRAM dan pelbagai pihak di kalangan masyarakat yang menyumbang pelbagai barang bantuan dan sumbangan secara langsung dan tidak langsung. Semoga Allah meneriman amal kita dalam membantu mangsa banjir, insya-Allah.

Foto utama: Pasukan i-Bantu IKRAM Gombak menghulurkan bantuan

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia