“Sambutan Thaipusam dalam konteks Malaysia adalah perayaan keagamaan, maka aktiviti-aktiviti tersebut tidak sepatutnya dilakukan di tempat dan masa tersebut kerana ia bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan hasil Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaa, Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005,” jelasnya dalam satu kenyataan HCF.
Tambahnya, ia adalah untuk mengelakkan fitnah kerana kehadiran beberapa orang Islam pada perayaan Thaipusam akan disalah tanggap sebagai bersekongkol dan meredhai sembahan selain daripada Allah subhanahu wata’ala.
“Pandangan ini tidak bermaksud untuk membenci penganut agama Hindu tetapi tegahan untuk mengelakkan fitnah.
Namun, sifat untuk saling mengenali, memahami dan berbuat baik kepada sesama manusia adalah sifat-sifat kemanusian yang dianjurkan oleh Islam,” jelasnya lagi.
Katanya, HCF menyeru masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menentang segala bentuk sikap tidak bertoleransi, ketaksuban, kebencian dan provokasi sama ada dalam bentuk kaum atau agama daripada meresapi masyarakat.
“Sebagai sebuah NGO yang komited dalam menjalin hubungan baik dengan orang-orang bukan Islam, HCF menyeru supaya masyarakat Islam melangkah ke hadapan untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni di Malaysia berdasarkan ‘Negara Rahmah’ yang didukung oleh prinsip-prinsip syariah,” kata beliau.
Beliau memetik firman Allah dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam.”
Beliau turut memetik surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
Tambahnya lagi, Islam sebagai agama yang menganjurkan keamanan tidak melarang penganutnya saling mengenali, memahami, berbuat baik dan berlaku adil kepada penganut-penganut agama lain, apatah lagi jika wujud pertalian keluarga antara orang Islam dan bukan Islam.
Beliau percaya bahawa jalan ke hadapan bagi menyelesaikan isu kefahaman antara agama adalah melalui pendidikan dan dialog.
“Dengan inisiatif ini, menjadi harapan kami agar usaha-usaha ini akan dapat menghasilkan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, berkasih sayang dan inklusif,” ujarnya.