Hentikan Sengketa, Tumpu Usaha Pembinaan Negara

Berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lepas menandakan pukulan gendang bermulanya kembali kerja-kerja membaik pulih dan memajukan negara.

Melaksanakannya dengan penuh komitmen melalui kesepakatan dan kerjasama tanpa mengira latar belakang harus menjadi prinsip yang tersemat kemas.

Mandat rakyat telah diberikan kepada pemimpin yang terpilih. Tiba masanya untuk melaksanakan janji yang ditabur semasa berkempen sebagai tanda berpegang pada janji dan komitmen pada rakyat.

Tamatkan konflik politik demi kesejahteraan rakyat dan pemuliharaan negara. Perseteruan politik secara berpanjangan jelas tidak membuahkan kebaikan, sebaliknya memudaratkan keadaan yang sedia retak, melambatkan pembangunan dan menangguhkan pembinaan negara.

Rakyat turut muak dengan persengketaan yang tidak tentu hala. Ambil iktibar daripada sejarah masa lalu yang sentiasa relevan untuk direnungi pada setiap zaman agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menjadi pengajaran mendepani cabaran.

Faktor keamanan, kestabilan politik dan tatakelola pemerintahan yang efektif memiliki dampak yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi, sosial dan budaya suatu negara.

Terbukti negara-negara dengan pemerintahan yang baik dapat fokus pada pembangunan ekonomi dan dapat mengurus kebajikan rakyatnya cenderung mencapai kemajuan yang lebih pesat daripada negara-negara yang mengalami ketidakstabilan politik serta konflik yang merugikan rakyat dan negara.

Iktibar negara luar

Lihat peperangan Russia-Ukraine yang berlanjutan hingga telah mengesani rantaian ekonomi secara global.  Malang sekali apabila rakyat menjadi mangsa, terjejas kehidupan, dan ratusan orang-orang awam terkorban tanpa mengira usia dan jantina.

Pada saat pemimpin negara tegar bertelagah dan sibuk menguatkan pertahanan negara masing-masing, negara terjerat dalam konflik bersenjata, merosakkan infrastruktur, menjejaskan ekonomi seterusnya mewujudkan ketidakstabilan sosial yang berpanjangan.

Begitu juga krisis politik di Sudan yang dipacu oleh pergaduhan pemimpin politik dan tindakan kontroversi pemerintah mengakibatkan ketidakstabilan, malah memburukkan situasi negara yang berdepan dengan krisis kemiskinan dan kebuluran. Situasi peperangan membantutkan pemberian bantuan dan memaksa ribuan penduduk  menjadi pelarian.

Dalam setiap kemelut, pergaduhan politik telah mengalihkan perhatian, sumber daya dan usaha yang seharusnya digunakan untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Konflik yang berpanjangan jelas merosakkan negara, termasuk menganiayai setiap warganegara dengan terhalangnya pendidikan dan bantuan, serta merenggut nyawa.

Oleh kerana itu, memahami sejarah dapat menjadi peringatan penting tentang keutamaan memelihara kestabilan politik dan meletakkan komitmen terhadap perdamaian dalam upaya memajukan kesejahteraan masyarakat dan memastikan kelancaran pembangunan negara.

Penjajahan minda

Tidak lama lagi negara akan menyambut Hari Merdeka tanggal 31 Ogos. Sedarkah, kemerdekaan negara yang dikecapi negara pada 66 tahun lalu merupakan hasil persefahaman, permuafakatan dan persetujuan antara pemimpin politik utama kaum-kaum di negara?

Perpaduan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India hingga termeterai Perjanjian London pada 8 Februari 1956 telah berikan isyarat kuat pada penjajah British untuk memberikan laluan pada  kemerdekakan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Namun, kemerdekaan yang dicapai masih tidak dapat lagi meninggalkan penjajahan segelintir minda yang masih ingin meneruskan konsep dasar pecah dan perintah yang diamalkan semasa pemerintahan penjajah.

Bagai retak menanti belah, amalan ini yang menghalang perdamaian dan kerjasama kepada sebuat keutuhan. Sebaliknya, pegangan ini cuma mengembalikan negara kepada konflik masa lalu.

Keamanan dan kestabilan politik antara kunci utama kekuatan sesebuah negara untuk bergerak maju ke depan secara progresif.

Sudah tiba masanya untuk menumpukan usaha pada kerja membangunkan masyarakat dan negara.

Sekiranya benar pemimpin yang memegang kuasa sekarang ini berjiwa besar, menitikberatkan matlamat kesejahteraan pada masa depan, kemelut politik bukanlah medan pertempuran baginya, sebaliknya ia adalah medan mewujudkan kerjasama dan kesepakatan demi kesejahteraan Malaysia yang tercinta.

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia