Hari Perjumpaan Ibu Bapa: Isy, pentingkah?

Beliau sambung lagi bahwa beliau tidak berapa tekankan sangat tentang akademik anaknya kerana anaknya masih lagi pada usia muda dan seperti anak-kanak lain, anaknya juga aktif bermain.

 

Tambahan pula, buat mereka yang tidak tahu, murid-murid Darjah 1 dan 2 tidak ada peperiksaan bertulis seperti Darjah 3 dan ke atas. Mereka hanya melalui penilaian oleh guru-guru subjek mereka.

 

Saya hanya senyum melihat ibu dan anaknya itu. Oh ya, sebelum apa-apa, maksud ‘ibu bapa’ di sini juga merujuk kepada penjaga yang menjaga murid atau pelajar tersebut.

 

Mengapa sekolah mengadakan Hari Perjumpaan Ibu Bapa pada setiap hujung semester? Tiga pihak akan beroleh kepentingan daripada hari ini – pendidik, ibu bapa dan anak-anak itu sendiri.

 

Sebelum ini, mungkin saya tidak merasakan kepentingan hari perjumpaan tersebut diadakan kerana saya mungkin pernah hadir sebagai seorang pelajar dan juga seorang abang kepada adik yang hendak mengambil rekod pembelajaran.

 

Namun setelah menjadi guru ganti yang baru sahaja bertugas selama tiga hari dan berpeluang untuk duduk semeja bersama seorang guru kelas yang juga masih baru, ia benar-benar mengubah persepsi saya tentang hari perjumpaan ini.

 

Bahkan kami berdua belajar terlalu banyak daripada hari tersebut, baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun kemahiran-kemahiran yang mungkin kami belum lagi belajar selama ini.

 

Lebih selesa untuk saya bahagikan kepentingan Hari Perjumpaan Ibu Bapa kepada tiga pihak tersebut:

 

Guru 

 

Berdasarkan pemerhatian saya selama beberapa jam berjumpa dengan beberapa orang ibu bapa dan anak-anak mereka, saya simpulkan bahawa dari perjumpaan sebegini, para guru dapat belajar banyak perkara.

 

Antaranya adalah, guru dapat tahu karakter anak-anak murid mereka yang sebenar apabila berada di rumah ataupun di kawasan-kawasan lain ketika bersama dengan ibu bapa mereka.

 

Ini kerana ibu bapa mereka yang hadir hari perjumpaan itu akan menceritakan hampir segalanya tentang sikap anak mereka. Oleh itu, guru dapat tahu dan kenal peribadi anak-anak murid mereka di rumah agar lebih mudah untuk guru mendidik dan membimbing mereka kerana telah mengenali mereka dengan lebih mendalam.

 

Selain itu, para guru juga dapat kenal bagaimana sikap ibu bapa mereka apabila menceritakan tentang anak-anak mereka. Dari segi gaya bahasa yang digunakan juga daripada pengakuan ibu bapa sendiri, contohnya daripada dialog-dialog ini:

 

“Saya pun tak tahulah Ustaz macam mana lagi nak suruh dia solat. Saya dah suruh banyak kali dah.” (Ini kita tahu dia perlukan nasihat kita untuk bimbing anak-anaknya menunaikan solat).

 

“Dia ni solat okay, cumanya bila disuruhlah. Kadang-kadang bila saya tiada kat rumah tu, saya akan salahkan diri saya sebab dia tak solat.” (Dan ini pula, dia berani mengakui kesilapannya).

 

“Dia ni selalu tinggalkan buku kerja bawah meja. Lepas tu, balik rumah tak siapkan homework sebab buku tertinggal. Kami ni dah bagitahu banyak kali dah kat dia supaya jangan tinggalkan lagi buku kerja kat sekolah. Sampai kami terpaksa datang ke sekolah dan ambil buku-buku dia bawah meja.”

(Ini kita jelas, mereka ini adalah ibu bapa yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik).

 

Selain daripada dialog-dialog ini, ada juga dialog yang negatif yang bermain sekitar isu segala kesalahan diletakkan di atas bahu para guru atau segala kesalahan atas diri anak-anak mereka sendiri.

 

Apatah lagi spesis ibu bapa yang langsung tidak kisah tentang bagaimana prestasi anak-anak mereka atau bagaimana keadaan anak-anak mereka di dalam kelas dan luar kelas.

 

Dan ketiga, guru akan dapat tahu info-info tambahan yang mungkin penting bagi pihak sekolah seperti kes-kes berkaitan buli di dalam bas atau apa sahaja yang menjadi maklumat penting untuk sekolah cakna dan ambil tindakan.

 

Kerana kebiasaannya, ada jenis murid yang tidak mahu menceritakan segalanya kepada guru mereka, lalu mereka cerita kepada ibu atau bapa mereka, dan cerita itu disampaikan kepada guru pada hari perjumpaan itu.

 

Ibu Bapa

 

Untuk ibu bapa juga, antara pihak terpenting dalam perjumpaan ini yang juga akan memperoleh kepentingan yang besar jika mereka memberikan komitmen yang padu untuk hadir bersama-sama dengan anak mereka.

 

Pertama, ibu bapa dapat mengenali siapakah guru kelas anak-anak mereka yang selama ini membimbing, memberi tunjuk ajar dan mengendalikan kelas agar setiap darinya berada di tempat yang sepatutnya.

 

Mungkin ia dapat mengenali perwatakan guru tersebut dan gaya percakapannya, dan juga dari sudut bagaimana guru tersebut menceritakan perihal anak-anak mereka.

 

Dan orang ramai berkata, first impression itu amat penting dalam meneliti peribadi seseorang. Jadi pada hari perjumpaan ini, tindakan para guru diperhatikan sepenuhnya oleh ibu bapa yang hadir.

 

Kedua, ibu bapa dapat mengenal pasti bagaimana keadaan anak-anak mereka di dalam dan juga luar kelas, bagaimana komitmennya di dalam kelas yang diajarkan oleh guru tersebut seperti prestasi akademiknya, tahap fokusnya ketika sesi pembelajaran dan juga akhlak mereka ketika guru sedang mengajar di hadapan kelas.

 

Dengan ini, ibu bapa dapat tahu lebih terperinci tentang anak-anak mereka di sekolah dan berusaha mengatur langkah untuk memperbaiki keadaan anak-anak mereka di rumah.

 

Ketiga, ibu bapa akan lebih faham bagaimana sistem di sesebuah sekolah itu dijalankan. Seperti anak-anak di Sekolah Islam Hidayah, Johor Bahru, selain daripada silibus akademik, mereka juga ada silibus hafazan al-Quran yang perlu diselesaikan sebelum tamatnya semester terakhir pada tahun itu.

 

Sekolah itu juga ada pentaksiran pelajar yang akan menjaga dan membentuk peribadi murid agar menjadi yang lebih baik dari semasa ke semasa. Dalam pentaksiran ini ada penilaian solat, amanah, bertanggungjawab dan kriteria-kriteria lain yang perlu ada pada seorang murid yang Muslim.

 

Pelajar

 

Tentunya untuk anak-anak atau pelajar itu sendiri, bagi mereka ada kepentingannya tersendiri. Mereka adalah watak terpenting di sekolah.

 

Jika diibaratkan sebuah sekolah itu seperti sebuah kilang, maka murid-murid adalah bahan-bahan mentahnya yang perlu diproses dan dibentuk menjadi produk yang terbaik dan berkualiti untuk dihantar ke seluruh dunia.

 

Pertama, untuk murid atau pelajar yang hadir ke Hari Perjumpaan Ibu Bapa ini akan melihat bagaimana cerita tentang mereka diceritakan oleh dua pihak yang berbeza iaitu ibu bapa dan guru mereka.

 

Mereka akan menilai bagaimana ibu bapa dan guru mereka menceritakan tentang mereka di rumah dan di sekolah. Dan daripada ini, mungkin mereka akan belajar untuk berubah sedikit demi sedikit jika ada dalam cerita mereka yang kurang enak untuk didengari.

 

Jika apa yang diceritakan oleh kedua-dua pihak itu adalah baik segalanya, mereka akan rasa gembira dan ingin terus kekalkan kebaikan tersebut. Dan jika apa yang mereka dengar itu adalah perkara-perkara yang kurang baik tentang mereka, mereka akan merasa malu dan akan timbul sedikit kesedaran sebagai pencetus perubahan mereka.

 

Kedua, momen ini adalah peluang yang besar dan berharga untuk ibu bapa dan guru menegur dan mengritik mereka jika ada yang perlu dikritik. Secara adatnya, pada setiap penghujung bicara antara ibu bapa dan guru, kedua-dua pihak ini akan memberikan nasihat dan teguran yang membina kepada mereka sambil bertentang mata.

 

Dan ada juga ibu bapa yang menyuruh anak mereka untuk berjanji menjadi yang lebih baik pada masa-masa yang akan datang.  Ketika ini, anak-anak akan sedar bahwa masih ada yang menyayangi dan ambil peduli tentang kehidupan mereka, walaupun mereka ialah murid yang sangat nakal dan degil.

 

Rumusannya, Hari Perjumpaan Ibu Bapa adalah antara hari yang amat penting bagi setiap pihak yang berkaitan dengan sekolah. Dan sewajarnya bagi setiap guru, ibu bapa dan anak murid cuba sedaya upaya untuk hadir pada hari tersebut.

 

Siapa tahu, mungkin perbincangan 10 hingga 15 min antara ibu bapa dan guru ini mampu mencipta perubahan yang besar dalam diri anak-anak seterusnya menghidupkan pengharapan untuk mereka yang mungkin selama ini terpadam dan tenggelam.

 

Penulis, Faris Akmal bin Faizal merupakan Eksekutif Media bagi Malaysians Against Pornography (MAP)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia