Hari Bumi: Ekosistem Dan Jaminan Makanan Terancam?

Hari Bumi disambut pada 22 April setiap tahun oleh seluruh penduduk dunia. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menunjukkan rasa penghargaan kita terhadap planet Bumi yang tercinta ini.

Selain menjadi rumah yang selamat kepada seluruh umat manusia, alam ini juga telah membekalkan kita dengan pelbagai sumber yang bermanfaat untuk digunakan.

Alam menyediakan sumber makanan yang pelbagai, sama ada yang terbang di udara, berkeliaran di atas tanah dan yang berenang di dalam air.

Sejak berzaman manusia telah lama berburu bagi menangkap haiwan-haiwan ini sebagai sumber makanan, namun kini semuanya telah dipermudahkan dengan kegiatan penternakan.

Oleh itu, kita dapat melihat hampir seluruh penduduk dunia memakan makanan yang lebih kurang sama, yang mana kebanyakannya adalah diternak. Ini termasuklah ayam, daging lembu, dan ikan air masin dan air tawar yang diternak secara akuakultur.

Namun, tahukah kita bahawa antara kelas makanan yang masih ditangkap daripada ekosistem asal ialah ikan? Ikan di sini bukan hanya merujuk kepada spesis ikan bersirip, ikan di sini termasuklah sotong, kerang-kerangan dan siput.

Menurut kajian, ikan yang diperoleh daripada habitat liar mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding yang diternak. Ikan di habitat liar memakan makanan semula jadi dan cenderung untuk mempunyai lemak tepu lebih rendah daripada ikan yang diternak.

Selain itu, ikan yang diternak mempunyai kandungan asid lemak omega-3 yang lebih tinggi, mungkin kerana faktor makanan proses yang diberikan melalui sistem akuakultur.

Selain itu, ikan yang diternak cenderung mempunyai penyakit yang lebih tinggi kerana keadaan ternakan yang padat dan berisiko tinggi untuk sebarang jangkitan.

Oleh kerana itu, kita dapat perhatikan bahawa harga sumber laut di pasaran selalunya lebih mahal berbanding yang diternak secara akuakultur.

Ikan yang menjadi sumber protein yang sihat untuk penduduk dunia kini semakin terancam. Selain daripada sifat tidak bertanggungjawab segelintir pemain besar industri perikanan, hasil tangkapan juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan yang paling utama di sini ialah habitat.

Kegiatan tambak laut menjadi ancaman utama kepada aktiviti perikanan khususnya kepada nelayan-nelayan tradisional.

Beberapa aktiviti penambakan di negara kita telah mengakibatkan kemusnahan beberapa habitat penting kepada hidupan marin antaranya kawasan terumbu karang, hutan bakau dan kawasan yang kaya dengan rumpai laut.

Hutan paya bakau dimusnahkan dan yang lainnya ditimbus dengan pasir sehingga menghasilkan kawasan daratan yang lebih besar, dan ada yang lebih teruk hingga membentuk pulau buatan.

Aktiviti penambakan ini selalunya bertujuan untuk pembangunan baharu dengan pemandangan menghadap pantai melalui binaan seperti pusat beli-belah, hotel, kondominium dan pusat pelancongan.

Semua aktiviti ini bukan sahaja memusnahkan habitat hidupan marin, bahkan ia juga mengganggu kitaran hidupan mereka.

Hal ini kerana kebanyakan spesies marin yang berada di tengah lautan bergantung kepada kawasan persisir pantai sebagai kawasan bertelur dan tempat membesar, sebelum kembali ke laut lepas.

Aktiviti manusia yang sangat dekat dengan persisiran pantai juga menyebabkan gangguan kepada spesis penyu yang memerlukan suasana yang tenang untuk bertelur. Jika berlarutan lebih lama, ancaman ini boleh mengakibatkan kepupusan kepada lebih banyak spesis hidupan laut.

Tekanan sebegini mengakibatkan ramai nelayan kehilangan sumber pendapatan, sehingga ada yang terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Terdapat juga nelayan yang telah berhenti daripada kegiatan asal mereka dan bekerja di kilang-kilang sekitar perumahan mereka walaupun sudah mencecah umur 50-an. Ada juga yang menyewakan bot mereka untuk membawa para pelancong.

Kita tidak harus memandang isu berkurangnya kualiti persekitaran marin kita, hanya kepada komuniti persisir pantai. Mereka masih boleh pergi mencari ikan cukup untuk bekalan keluarga, namun kita?

Bagaimana kita yang bergantung kepada usaha mereka untuk membekalkan sumber protein yang sihat kepada kita?

Adakah kita sanggup bergantung kepada sumber ternakan yang dibesarkan dengan bahan kimia, ada yang disuntik dengan hormon pembesaran dan dalam persekitaran yang terdedah kepada penyakit?

Lebih memburukkan keadaan, selain daripada harga ikan laut, rakyat Malaysia juga diuji dengan kenaikan harga makanan yang lain seperti ayam mentah yang naik sehingga RM11 sekilo dan daging lembu yang naik sehingga RM42 sekilo (kedua-dua sumber makanan utama ini diternak), sedangkan kedua-dua ini antara tulang belakang kepada kebanyakan menu masakan kita, khususnya ketika sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak mustahil jika selepas ini rakyat Malaysia akan mula bergantung kepada makanan-makanan yang diproses seperti nuget, sosej dan makanan-makanan segera sebagai sumber makanan utama kerana harganya yang lebih murah dan lebih mampu milik.

Jelaslah di sini, isu alam sekitar bukan sahaja memberi kesan negatif kepada haiwan-haiwan dan juga komuniti persisir pantai, bahkan semuanya akan berbalik kepada kita. Kita harus tetap ingat bahawa kita masih sebahagian daripada ekosistem. Pencemaran yang kita lakukan, kekal di ‘rumah’ kita.

Segala perkara di dunia ini mempunyai kebergantungan yang erat dengan alam sekitar. Alam sekitar yang teruk akan mengeruhkan keadaan sosial, kesihatan, ekonomi, pendidikan dan budaya setempat.

Justeru itu, isu alam sekitar tidak patut ‘dianaktirikan’ dan dipandang rendah daripada sebarang perbincangan dan wacana di peringkat universiti mahupun nasional.

Semua pihak dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kedudukan sosioekonomi perlu berganding bahu bagi memastikan bumi kita terpelihara. Sumber hasil bumi perlu dipandang sebagai amanah daripada generasi akan datang untuk kita wariskan kepada mereka dalam keadaan baik.

Oleh itu, sebarang pembangunan perlu mengambil kira kestabilan ekosistem dan kebajikan masyarakat setempat, dan bukanlah keuntungan yang bersifat antroposentrik sahaja.

Apalah gunanya ‘pembangunan’ jika akan menyebabkan ekonomi setempat mundur, kesihatan penduduk tergadai dan budaya yang telah lama diwarisi hilang begitu sahaja?

Selamat Hari Bumi.

Nizam Rahman
Mahasiswa Tahun 3 Institut Sains Biologi, UM
Aktivis Persatuan Belia Harmoni UM
Delegasi Malaysia di ASEAN+3 Youth Environment Forum 2019

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia