KUALA LUMPUR – Pertandingan Lukisan Digital Poster Hands Off Rafah 2024 anjuran IKRAMTeens Malaysia telah melabuhkan tirainya setelah tiga bulan berlangsung sejak bulan Julai lalu dengan menerima penyertaan daripada 793 orang peserta dari Malaysia dan luar negara.
Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kategori Utama untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang telah disertai seramai 673 orang, kategori Senior untuk peserta berusia 18 hingga 21 tahun yang disertai seramai 74 orang dan kategori Junior untuk peserta berusia 9 hingga 11 tahun yang telah disertai seramai 46 orang.
Pertandingan ini tercetus apabila Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek telah memberikan sejumlah sumbangan kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) untuk melaksanakan apa jua bentuk program bagi pembangunan remaja dan seterusnya sampai kepada IKRAMTeens Malaysia untuk melaksanakannya.
Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja dengan diekspresikan melalui seni kreatif secara digital tentang kekejaman yang sedang berlaku ke atas saudara kita di Palestin yang kini masih lagi bertarung nyawa demi mempertahankan negara mereka yang tercinta.
Program yang julung kali diadakan ini dianjurkan secara kerjasama dengan pihak Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan telah menjadi pemacu serta daya tarik buat para peserta untuk menyertai program ini melalui pemberian sijil peringkat kebangsaan berserta markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Turut bekerjasama menjayakan kempen ini ialah Zus Coffee, IKRAM Kuala Lumpur, IKRAM Johor dan IKRAM Bandaraya Melaka, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Little Iman Publication selaku penaja program serta Ops Ihsan, Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) selaku rakan kerjasama.
Juara bagi kategori Utama telah dimenangi oleh Nur Azra Faqihah Mohd Rosdi, Naib Juara dimenangi oleh Muhammad Ayaz Mohd Shafiq dan tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Fidaa’ Ahmad Fadhli.
Selain itu, Nik Nur Syarafana Nik Sabri dan Nur Afiqah Supean masing-masing terpilih menduduki tempat keempat dan kelima, manakala seramai 17 orang peserta lagi mendapat hadiah sagu hati. Kategori Senior dimenangi oleh Ezzah Nadirah Rusdi dan kategori Junior dimenangi oleh Nur Madina Saharudin.
Pertandingan ini disempurnakan dengan sebuah majlis penutup dan penyampaian hadiah tertutup yang telah diadakan pada Sabtu, 26 Oktober 2024 yang lalu di Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur.
Majlis ini telah dihadiri seramai 70 orang jemputan khas, antaranya Tn. Wan Mahfodz Wan Hasan (Penolong Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia), Tn. Jismi Azahari Johari (Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan Pengerusi Ops Ihsan), Pn. Noor Jamimah Ahmad (Ketua Unit NPO Bahagian Agihan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Dr. Heneini (Chief Executive Officer of International Organization Of Solidarity with Palestinian Prisoners), Ayman Mohd Hussein (CEO International Educational Scientific and Cultural Org (IESCO)), rakan kerjasama dan penaja kempen, para pemenang, ibu bapa dan guru.
Majlis ini turut dihadiri oleh Nur Syafiyah Mohd Kassim selaku Ketua Media IKRAMTeens merangkap Timbalan Pengarah Kempen Hands Off Rafah 2024 dan juga Nur Izzah Fakharuldin, Bendahari IKRAM Muda serta merangkap Pengurus Majlis Penutup Hands Off Rafah 2024.
Majlis turut diserikan lagi dengan perkongsian perkembangan di Palestin oleh Ustaz Megat Aiman Hakim, Penganalisis dan Pengkaji Isu Palestin MyCARE dan perkongsian pengalaman misi ke Palestin oleh Dr. Noorhasyimah Ismail, Timbalan Pengarah Palestine Centre of Excellence (PACE).
IKRAMTeens Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih atas peluang dan kepercayaan yang diberikan dan juga atas segala kerjasama dan tajaan dalam menjayakan Pertandingan Lukisan Digital Poster Hands Off Rafah 2024 ini.
Tahniah diucapkan buat semua para pemenang dan peserta pertandingan, moga mendapat manfaat dan mampu mengembangkan lagi bakat anda ke arah kebaikan buat ummah, masyarakat dan negara.
Harapan daripada pertandingan ini adalah semoga semangat dan kesedaran atas apa yang sedang berlaku di Palestin akan terus kekal dalam diri kita semua. Marilah kita terus berdoa, bermunajat kepada yang Maha Esa agar kemenangan memihak kepada saudara kita di sana.
IKRAMTeens Malaysia
“Menyerlah Jauh Daripada Biasa”
#handsoffrafah2024