Guru Tunjang Sekolah Rahmah

Perutusan Sempena Hari Murabbi IKRAM MUSLEH
16 Mei 2022
“Guru Tunjang Sekolah Rahmah”

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi Azzawajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya SWT – amin.  

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah diberi peluang menyambut Hari Murabbi  IKRAM MUSLEH 2022 walaupun dalam keadaan berjaga-jaga kerana COVID-19 masih melanda  tanah air kini.  

Kita juga amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun  1982, bukan sahaja telah menjadi lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang  dengan cemerlang dan institusi pendidikan IKRAM (IPI) mampu bersaing dengan institusi  pendidikan tersohor peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam kesempatan ini, saya  ingin merakamkan jazakumullah khairal jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para  muallimin dan muallimat, para pendidik, para murabbi murabbiah, yang telah bertungkus lumus serta berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini.

Moga-moga Allah SWT mengurniakan ke atas para murabbi ganjaran yang setimpalnya. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan  kita.  

Para murabbi yang dikasihi, 

Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),  melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiyaa’: Ayat 107) 

Oleh itu, usaha gigih perlu dilakukan secara berterusan agar suasana rahmah mencakupi  setiap aspek kehidupan dan dengan itu memudahkan pembangunan insan yang mampu  melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. 

Dalam sistem Pendidikan IKRAM Musleh, konsep Sekolah Rahmah perlu dihidupkan,  bertujuan membina dan melahirkan Insan Rabbani. Sistem pendidikan yang merangkumi  aspek-aspek kurikulum, instruction (kaedah dan teknik pengajaran, pembelajaran dan  pentarbiahan), pentaksiran dan pengurusan, hanya boleh dijayakan dengan cemerlang jika ia  mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak. 

Insan Rabbani yang ingin dibangunkan oleh IKRAM Musleh memiliki 11 konstruk seperti  berikut:  

  1. jasmani yang cergas,  
  2. rohani yang teguh,  
  3. qalbu yang sejahtera,  
  4. akidah yang benar,  
  5. ibadah yang betul,  
  6. akhlak yang mulia,  
  7. pengetahuan yang luas dan kefahaman yang mendalam,  
  8. hikmah yang ketara,  
  9. pengurusan dan kepimpinan yang berwibawa,  
  10. dakwah yang istiqamah dan  
  11. rahmatan lil ‘alamin.  

Manakala konsep Sekolah Rahmah yang ingin dibangunkan oleh IKRAM MUSLEH memiliki  empat nilai asas iaitu:  

  1. keadilan (al-adaalah) dan kesaksamaan,  
  2. saling menghormati,  
  3. menghargai kepelbagaian manusia dan budaya 
  4. peluang yang samarata. 

Di antara tunjang utama bagi membina dan melahirkan Insan Rabbani dan bagi mewujudkan  konsep Sekolah Rahmah ialah para murabbi.  

Para murabbi perlu melaksanakan proses pentarbiahan dengan penuh rahmah dan  membangunkan sepenuhnya segala potensi anak didik. 

Proses pentarbiahan akan membina dalam diri anak didik keimanan dan ketaqwaan, sifat  taqarrub ilallah, budaya-budaya berdoa, bertaubat dan memohon keampunan Allah serta  tazkiyatun nafs.

Proses membangunkan sepenuhnya potensi anak didik pula akan menjadikan  mereka mampu berperanan dengan berkesan dalam keluarga, masyarakat, negara, ummah dan manusia sejagat. 

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci  bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau  Majusi.” (HR Bukhari)

Para ibu bapa mentarbiah anak mereka di rumah. Para murabbi pula memainkan peranan  mentarbiah anak didik di sekolah.  

Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana  memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan  Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya  (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki  amalannya”. (Surah Al-Ankabut: 69) 

Terapkan sifat mujahadah fi sabilillah dalam diri anak didik. Allah SWT akan bersama mereka dan akan mengurniakan mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. 

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Barang siapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu  diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran  orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka  peroleh. Sebaliknya, barang siapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan  oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang  mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (HR Muslim) 

Berilah kepada anak didik ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat kerana ilmu  dan kemahiran itu akan disebarluaskan dan dimanfaatkan olehnya kepada orang lain. Dan  jangan sekali-kali memberi ilmu dan kemahiran yang munkar kerana ia juga akan  disebarluaskan dan diamalkan olehnya kepada orang lain.  

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak  menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama  kami.” (HR Ahmad) 

Tanamkan dalam diri anak didik adab dan akhlak sepertimana yang ditunjukkan oleh  Rasulullah SAW. Ajarlah mereka beradab dengan semua – misalnya dengan orang yang lebih  muda, orang yang lebih tua dan alim ulama. 

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka  balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia,  sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (HR Abu Daud) 

Budayakan dalam diri anak didik agar membalas amal kebajikan orang lain dengan amal  kebajikan; walaupun sekadar berdoa untuk orang berkenaan.

Ummah memerlukan generasi yang menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan  yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah, akhlak mulia yang akhirnya membawa  kepada rahmatan lil ‘alamin kepada semua.  

Mudah-mudahan kita akan terus berkobar-kobar semangatnya, memainkan peranan besar  dalam membangunkan sistem pendidikan Islam, melahirkan generasi rabbani seterusnya  memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah.  

Semoga Allah SWT memberkati dan meredai usaha-usaha para pendidik semua, baik di  sekolah mahupun dalam masyarakat.  

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH 2022.  

Jazakumullahu khairal jaza’ 

Profesor Dr Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia