Gerakan BDS: Sejarah, Kuasa Pengguna dan Impaknya

Gerakan BDS: Sejarah, Kuasa Pengguna dan Impaknya | IKRAM

Ada banyak impian mustahil yang berjaya dicapai setelah mendepani masa-masa mencabar. Sejarah manusia penuh dengan contoh-contoh individu dan masyarakat yang telah berjaya mengatasi halangan yang kelihatan tidak mungkin diatasi untuk merealisasikan impian mereka.

Pemansuhan perhambaan, hak mengundi wanita, penerokaan angkasa lepas dan revolusi digital, semua ini pernah dianggap sebagai impian mustahil pada suatu ketika. Namun, melalui ketekunan dan semangat juang yang tidak pernah padam, impian-impian ini akhirnya terealisasi menjadi kenyataan.

Dalam konteks perjuangan hak asasi dan keadilan sosial, gerakan antiaparteid di Afrika Selatan menjadi contoh nyata. Selama berdekad-dekad, idea bahawa sistem aparteid boleh dihapuskan secara aman kelihatan mustahil. 

Namun, melalui perjuangan yang panjang dan sukar, diiringi darah dan keringat serta pengorbanan besar daripada ramai pihak, impian ini tercapai jua. Namun ketika permulaan awal kempennya, siapa sangka peristiwa ini benar-benar boleh terjadi walaupun memakan masa hampir 35 tahun sebelum mencapai kejayaan sepenuhnya.

Gerakan kempen boikot barangan Afrika Selatan telah menjadi salah satu strategi berkesan dalam menjatuhkan sistem aparteid. Gerakan ini adalah cerminan usaha gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) yang dilancarkan terhadap Israel. Terdapat beberapa persamaan dan pelajaran yang boleh diambil daripada kedua-dua gerakan ini.

Pertama, kempen boikot Afrika Selatan menunjukkan bahawa tekanan ekonomi yang berterusan boleh memberi kesan yang signifikan terhadap dasar sesebuah negara.

Boikot terhadap Afrika Selatan melibatkan pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, sukan dan budaya. Ini menyebabkan kerugian ekonomi yang besar dan mengasingkan Afrika Selatan di peringkat antarabangsa.

Gerakan BDS juga menggunakan pendekatan yang serupa, menyasarkan syarikat-syarikat yang beroperasi di wilayah pendudukan Israel dan menggalakkan penarikan pelaburan daripada entiti yang menyokong dasar-dasar Israel terhadap Palestin.

Walaupun skala dan impaknya mungkin berbeza, prinsip asasnya sama iaitu menggunakan tekanan ekonomi untuk mendorong perubahan politik.

Kedua, kedua-dua gerakan ini menunjukkan kepentingan sokongan antarabangsa yang meluas. Kempen boikot Afrika Selatan berjaya kerana ia mendapat sokongan daripada pelbagai pihak di seluruh dunia termasuk kerajaan, organisasi masyarakat sivil, kesatuan sekerja dan individu. 

Gerakan BDS juga sedang berusaha untuk membina sokongan antarabangsa yang serupa, walaupun mereka menghadapi lebih banyak cabaran dan tentangan di beberapa negara. Tekanan antarabangsa termasuk boikot memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam dasar Israel dan mendorong proses perdamaian.

Gerakan boikot terhadap Israel telah menjadi salah satu bentuk perjuangan yang semakin mendapat perhatian global dalam usaha membela hak-hak rakyat Palestin.

Walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai keberkesanan dan implikasi boikot ini, ia tetap dilihat sebagai satu instrumen penting dalam menekan Israel untuk mengubah dasar-dasarnya terhadap Palestin. 

Konflik Israel-Palestin telah berlangsung sejak berdekad-dekad, sejak sebelum penubuhan negara Israel pada tahun 1948. Hal ini bermaksud bahawa perjuangan Palestin bermula jauh sebelum 1948, dan genosid yang berlaku di Gaza menunjukkan tekad pihak Zionis untuk menguasai seluruh wilayah Palestin.

Menurut sejarawan, Ilan Pappe dalam bukunya, The Ethnic Cleansing of Palestine (2006), penubuhan negara Israel melibatkan pengusiran secara sistematik penduduk Arab Palestin dari tanah air mereka. Proses ini, yang dikenali sebagai “Nakba” atau “malapetaka” oleh rakyat Palestin, telah menyebabkan lebih 700,000 orang Palestin menjadi pelarian.

Sebagai tindak balas terhadap ketidakadilan yang berterusan tanpa adanya tindakan yang berkesan untuk membendungnya, gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) telah dilancarkan pada tahun 2005 dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan tiga strategi utama:

  1. Boycott (Boikot): Menolak untuk membeli produk dan perkhidmatan daripada syarikat yang menyokong pendudukan Israel.
  2. Divest (Lupus): Menarik balik pelaburan daripada syarikat yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia di Palestin.
  3. Sanction (Sekat): Mendesak kerajaan dan organisasi antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Israel.

Kesan boikot terhadap ekonomi

Salah satu kritikan utama terhadap gerakan boikot ialah kemungkinan kesannya terhadap ekonomi negara yang melaksanakannya. Walau bagaimanapun, para penyokong boikot berpendapat bahawa pertimbangan keuntungan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan kemanusiaan dan keadilan. 

Jika hidup dengan pertimbangan faedah ekonomi semata-mata, kita berisiko mengikis sisi kemanusiaan yang mendefinisikan jati diri kita sebagai insan. Keseimbangan antara kemajuan material dan nilai-nilai moral adalah kunci untuk memelihara kemanusiaan dalam dunia yang semakin materialistik.

Membangkitkan isu kerugian ekonomi sebagai hujah menentang gerakan boikot adalah tidak wajar dan tidak adil. Gerakan bernada serupa seperti yang mempromosi makanan sihat atau menggalakkan pelaburan beretika jarang dikritik sebagai beban ekonomi, walaupun kedua-duanya boleh mempengaruhi corak perbelanjaan dan pelaburan.

Perbezaan layanan ini mendedahkan kepincangan dalam wacana awam dan menunjukkan kemungkinan adanya motif tersembunyi dalam penentangan terhadap gerakan boikot.

Kajian oleh Omar Barghouti dalam bukunya Boycott, Divestment, Sanctions: The Global Struggle for Palestinian Rights (2011) menunjukkan bahawa gerakan BDS telah berjaya memberi tekanan ekonomi kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di wilayah pendudukan Israel, mendorong beberapa syarikat besar untuk menarik diri daripada projek-projek di sana.

Kuasa pengguna dalam gerakan boikot

Gerakan boikot telah mengalihkan pusat kuasa dari ahli politik kepada pengguna, menjadikan pilihan individu sebagai enjin perubahan sosial. Dalam era maklumat ini, pengguna yang celik dan prihatin memiliki kuasa untuk mempengaruhi tingkah laku korporat melalui keputusan pembelian mereka. 

Dengan menggunakan kuasa beli secara strategik, pengguna boleh menyuarakan bantahan terhadap syarikat-syarikat yang terbabit dalam pelanggaran hak asasi manusia di Palestin, sekali gus mencipta tekanan ekonomi yang berpotensi mendorong perubahan dasar korporat dan politik.

Fenomena ini yang dikenali sebagai “aktivisme pengguna” telah muncul sebagai alat yang berkesan dalam memperjuangkan keadilan sosial dan hak asasi manusia di peringkat global.

Kajian oleh Michele Micheletti dan Dietlind Stolle dalam buku mereka Political Consumerism: Global Responsibility in Action (2013) menunjukkan bahawa tindakan pengguna yang bermotif politik, termasuk boikot, boleh memberi tekanan yang signifikan kepada syarikat-syarikat dan mendorong perubahan dasar.

Reaksi Israel terhadap gerakan boikot

Keberkesanan gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) terhadap Israel terpancar jelas melalui reaksi agresif negara tersebut. Pada tahun 2009, Israel mengambil langkah luar biasa dengan mengklasifikasikan BDS sebagai ancaman yang yang mempunyai risiko utama terhadap keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.

Keseriusan ancaman ini diperkukuh oleh laporan Reut Institute, iaitu sebuah think tank berpengaruh Israel, yang pada 2010 mengakui BDS sebagai ancaman strategik dalam laporannya The Delegitimization Challenge: Creating a Political Firewall

Kesan BDS telah mendorong beberapa syarikat multinasional seperti Veolia dan Orange untuk menarik diri daripada wilayah pendudukan serta mempengaruhi keputusan beberapa dana pencen dan institusi akademik di Barat untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan entiti Israel yang berkaitan. 

Tindak balas agresif Israel, termasuk usaha melobi untuk menggubal undang-undang anti-BDS di beberapa negara, bukan sahaja mengesahkan kebimbangan mereka terhadap gerakan ini, malah telah meningkatkan profil BDS di arena global, mencetuskan perbahasan yang lebih luas tentang dasar Israel terhadap Palestin dan peranan masyarakat sivil dalam mempengaruhi dasar antarabangsa.

Konsistensi dalam pelaksanaan boikot

Keberkesanan gerakan boikot bergantung pada konsistensi pelaksanaannya. Iltizam dan tekad yang berterusan diperlukan bukan sahaja dalam mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat tertentu, tetapi juga meliputi semua entiti yang mempunyai kepentingan ekonomi besar di Israel. Pendekatan menyeluruh dan konsisten ini adalah kunci untuk memastikan impak yang bermakna dan berkekalan.

Kejayaan gerakan boikot bergantung pada sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan institusi. Ini merangkumi penglibatan aktif kerajaan, pemimpin agama daripada pelbagai kepercayaan, golongan profesional merentas industri, para akademik dan penyelidik, mahasiswa yang mewakili suara generasi muda serta pemimpin akar umbi yang mempunyai pengaruh di peringkat komuniti. 

Gerakan boikot terhadap aparteid di Afrika Selatan mencapai kejayaan besar kerana ia mendapat sokongan meluas daripada pemimpin agama seperti Uskup Desmond Tutu sehingga ke peringkat antarabangsa melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Impak jangka panjang

Boikot terhadap Israel adalah satu bentuk perjuangan yang kompleks dan kontroversi. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kritikan, ia dianggap sebagai instrumen penting dalam membela hak-hak rakyat Palestin dan mencapai keadilan di rantau tersebut.

Pakar menekankan bahawa boikot bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga merupakan perjuangan kemanusiaan dan keadilan global.

Kejayaan dalam usaha ini memerlukan penglibatan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat, konsistensi dalam pelaksanaan dan kesediaan untuk menghadapi cabaran jangka pendek demi mencapai keadilan jangka panjang.

Gerakan boikot seperti ini adalah perjuangan jangka panjang, mirip dengan gerakan antiaparteid di Afrika Selatan yang mengambil masa berdekad-dekad untuk mencapai kejayaan. 

Gerakan boikot terhadap Israel mungkin memerlukan masa yang sama atau lebih lama, terutamanya kerana Israel mempunyai sokongan kuat daripada Amerika Syarikat.

Prinsip yang harus diingat dalam mana-mana perjuangan bahawa usaha yang konsisten dan sokongan yang meluas dapat membawa perubahan yang signifikan walaupun memerlukan masa yang lama.

Masa-masa mencabar bukanlah penghalang sebenar, tetapi menjadi batu loncatan ke arah kejayaan yang lebih besar.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

Foto: France24

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia