REMBAU – Seramai 46 orang ibu tunggal dan asnaf di sekitar daerah Rembau, Negeri Sembilan telah menerima bantuan barangan asas melalui program ‘Food to Share’ pada Ahad, 27 Jun lalu.
Program bantuan ini dianjurkan oleh Kursus Khidmat Masyarakat II UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau dengan kerjasama Wanita IKRAM Negeri Sembilan, Yayasan Bunga Raya, Persatuan Briged Sukarelawan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Rembau.
Program sehari yang julung kalinya diadakan pada tahun ini adalah rentetan daripada program Sinergi Aidilfitri Motivasi Kesejahteraan Mental dan Spiritual yang diadakan pada 19 Jun 2021 dengan tujuan untuk memberi sumbangan kepada ibu tunggal.
Program ‘Food to Share’ ini mendapat kerjasama baik daripada Ketua-ketua Kampung di Kg Tanah Datar Chengkau, Kota, Rumah Rakyat Chembong, Kundur Hilir, Pedas Perdana, Pilin, Kg Penajis , Desa Permai Kundur, Taman Akasia, Kg Senama Hilir, Taman Rembau Permata dan Taman Rembau Utama.
Antara sumbangan yang diberikan adalah seperti barangan keperluan dapur iaitu beras, minyak masak, telur, kicap, tepung gandum, gula pasir, garam, susu dan biskut yang ditaja oleh Yayasan Bunga Raya.
Selain itu, pihak penganjur juga menaja sebanyak RM50 kepada ibu tunggal untuk membeli barangan keperluan mereka di pasar raya seperti Family Store dan Speedmart 99.
“Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit kudis di kaki dari Kg Penajis Bandar menitiskan air mata kerana terharu masih ada NGO yang ingin memberi sumbangan kepadanya,” kata wakil penganjur sambil menambah bahawa beliau juga merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.
Turut dibantu seorang ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak, beliau mengucapkan syukur atas rezeki yang diberikan dan mendoakan semoga program bantuan ini dapat memberi impak kepada ibu tunggal di sekitar derah Rembau.
“Terdapat seorang anak ibu tunggal yang tinggal di Kundur Hilir berazam untuk membantu orang seperti ibunya apabila besar kelak.”
“Sangat terharu dengan kata-katanya, semoga semangatnya yang tidak pernah luntur membuatkannya berjaya pada masa hadapan.”
Apa yang menarik, program ini menemukan seorang ibu tunggal yang kematian suami dan bekerja sebagai penoreh getah mempunyai tujuh orang anak yang mana salah seorang anaknya merupakan pelajar UiTM Rembau.
“Alhamdulillah dengan adanya program seperti ini, maka sedikit sebanyak dapat menggembirakan ibu tunggal di sekitar aaerah Rembau di samping membantu dari sudut kesejahteraan mental dan spiritual.”
Sumber: FB IKRAM Negeri Sembilan