Filem Mat Kilau: Sejarah Eksploitasi Emas, Peranan Askar Koloni

Filem Mat Kilau: Sejarah Eksploitasi Emas, Peranan Askar Koloni | IKRAM

Seperti biasa, saya bukan menilai filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ berdasarkan lakonan, plot, sinematografi dan props (alatan) sebab saya bukan ahlinya.

Saya akan lihat di mana kekuatan filem ini dari segi pemaparan aspek sejarahnya. Maka di sini, saya hendak beri pujian kepada pengarah filem, Syamsul Yusof dan penerbit, Hj Abdul Rahman Md Dali.

1. British Eksploitasi Emas

Aktiviti ‘membangunkan negeri Pahang’ yang diulang-ulang oleh Syers dan dialognya bersama (Hugh) Clifford tidak lain dan tidak bukan ialah mengekploitasi emas di bumi Pahang. Di sini saya kira objektif penting karya filem ini telah disampaikan dengan begitu jelas tetapi halus (subtle).

Kita harus sedar apabila Ptolemy menghasilkan peta Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 150 M beliau menamakannya sebagai ‘golden chersonese’ (Semenanjung Emas) dan antara tempat yang ditandakan ialah Primula (Kuala Sungai Terengganu) dan Kole (Kemaman).

Semenanjung Emas yang dirujuk oleh Ptolemy merujuk kepada pantai timur khususnya Pahang, Kelantan dan Terengganu. Sungai-sungai Nenggiri, Galas, Sokor dan Pergau (Kelantan), Sungai Tembeling dan Sungai Pahang semuanya merekodkan aktiviti melombong emas sejak awal lagi.

Peta menunjukkan kawasan galian emas utama (deposits) dan prospek utama galian emas. Tiga daripada pusat galian emas utama berada di negeri Kelantan iaitu Berching-Chinong, Ulu Sokor dan Ketuk Batu; dan empat prospek utama iaitu Gua Setir, Sungai Chekir, Sungai Sok dan Sungai Lebir. Selebihnya berada di negeri Pahang; dua di Terengganu dan satu di Johor. (Sumber: Gold Deposit)

Ini antara sebab wujudnya pelabuhan antarabangsa di Kuala Berang, Kuala Pahang (Pekan) dan Tanah Merah (Kelantan). (Wang emas Kesultanan Kelantan yang paling awal dikesan bertarikh 1181 dengan lambang kijang seperti yang diabadikan pada wang kertas Malaysia hari ini). 

Latar belakang kemajuan tamadun berdasarkan emas ini saya kupas dalam buku Fajar Islam di Nusantara Jilid III (masih dalam bentuk manuskrip lagi).

Ini bermakna, menguasai Pahang sangat penting dari Bukit Larut, Kuala Lumpur (Puchong, Ampang) dan Linggi serta Ampangan, Sungai Ujong yang menjadi perlombongan timah. Menguasai Pahang adalah batu loncatan untuk menguasai Kelantan dan Terengganu setelah dirundingkan dengan Siam pada tahun 1909. 

Groundwork (kerja asas) dilakukan dengan lebih awal apabila R.W. Duff yang ditugaskan sebagai pemangku superintenden polis di Pahang untuk memburu Mat Kilau dilantik menjadi Ketua Polis Pahang pada tahun 1886 (Syers dilantik menjadi Ketua Polis Selangor).

William Duff mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Sultan Muhammad IV (Kelantan) sehingga dikurniakan konsesi emas di Ulu Kelantan pada tahun 1900 (Duff meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Pahang).

Ekonomi tetap menjadi currency (mata wang) utama dalam menguasai negeri-negeri Melayu. Hasil-mahsul utama Pahang bukan hasil-hasil hutan (rotan, rebung, akar kayu, gaharu, damar dan sebagainya), tetapi galian emasnya.

Apabila British membina balai polis di Lubuk Terua, Semantan, Ulu Tembeling, Kuala Lipis dan sebagainya ialah untuk menghalang penduduk Pahang mendulang emas. Orang-orang Melayu turut dihalang memasuki hutan untuk sara hidup kerana British tidak mahu mereka mendulang emas.

Kerana itu British menghantar kontinjen polis dari Selangor, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang untuk menguat kuasa ‘undang-undang’ yang menghalang anak Pahang kerana British hendak membolot kekayaan negeri Pahang.

Itu juga sebab kenapa British cuba membuat bancian dan mengutip cukai dari rakyat Pahang. Kalau sekadar rotan, kayu damar dan gaharu untuk kegunaan sendiri, berapa banyaklah cukai yang dapat dikutip daripada penduduk Pahang.

Datuk Bahaman yang dilantik oleh Sultan Pahang sebagai Orang Kaya Semantan menuntut supaya British membayar sebanyak $6,000 Spanish Dollar setahun dalam bentuk kehilangan pendapatan kerana merampas hasil-mahsul negeri Pahang untuk pentadbiran daerah Semantan.

2. Pembunuhan Orang Kampung

Poster Filem Mat Kilau membariskan beberapa pelakon kanak-kanak yang sebahagiannya dibunuh dengan kejam dalam babak pembukaan filem.

Begitu kejamkah Syers dan orang putih? Atau ia adalah propaganda yang dipapar oleh sutradara dan naratif yang direkayasa untuk menimbulkan kebencian yang tidak boleh dibendung?

Sebenarnya kekejaman yang digunakan oleh British terhadap rakyat pribumi di tanah jajahannya tidak boleh ditutup. Salah satu daripada instrumen penjajahan British adalah penggunaan tentera dari koloninya (negara yang dijajah) yang kemudian disebut sebagai tentera Komanwel terutama selepas Perang Dunia Kedua.

Mengerahkan tentera dari India sememangnya sudah menjadi tradisi British terutama sejak kurun ke-19 M. Lebih mudah untuk menyerahkan kepada tentera tanah jajahan bagi menyempurnakan ‘atrocities’ (pembunuhan kejam) kepada rakyat pribumi.

Ketika pengganas Zionis cuba mengambil alih Palestin, British telah menggunakan khidmat tentera dari India untuk mematahkan cubaan pejuang Palestin untuk mempertahankan kampung halaman mereka. Bilangan tentera India di Palestin melebihi 100,000 anggota. 

Begitu juga apabila British menggunakan khidmat tentera India (Rajput, Punjabi, Dogras, Sikhs, Gurkhas, Pushtuns dan lain-lain). Mereka terlibat dalam perang Anglo-Afghanistan, Perang Boxer (China), perang Anglo-Mesir, Perang al-Mahdi (Sudan), Perang Candu (China), Perang Abyssinia (Ethiopia), perang di negeri-negeri Melayu (Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, Perang Naning), Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Mereka akan membunuh rakyat pribumi yang melawan termasuk wanita dan kanak-kanak. Tentera Dogras yang berkhidmat di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua telah dikerah untuk memadamkan penentangan penduduk Kashmir pada tahun 1947/48 dan telah membunuh tidak kurang daripada setengah juta rakyat Kashmir.

Mereka turut memperkosa dan membunuh wanita dengan kejam. (Watak Toga lakonan Yayan Ruhian yang ‘dibawa’ dari Sarawak/Borneo yang dipinjamkan oleh Charles Brook adalah ‘epitome’ (contoh) kebuasan tentera upahan (mercenary) yang digunakan oleh British).

Apakah kekejaman yang sama tidak berlaku di Tanah Melayu? Filem Mat Kilau telah memberikan gambaran pembunuhan ke atas rakyat yang melawan. Naratif British sebagai penjajah ‘berhemah’ mesti diubah. 

Bumi Pahang dipertahankan oleh rakyatnya dengan darah pahlawan, baik lelaki mahupun wanita. Bumi Pahang tidak dipertahankan oleh tiga orang pahlawan terbilang (Datuk Bahaman, Imam Rasu dan Mat Kilau dan beberapa kerat rakan-rakannya) sahaja, tetapi kadangkala melibatkan seluruh penduduk kampung.

Para pejuang dalam satu-satu pertempuran mencecah 100 hingga 600 orang. Salah sebuah daripada kampung yang diserang sehingga ramai penduduknya terbunuh ialah di Kampung Budu, Kuala Lipis. 

(Saya dimaklumkan kubur para pejuang dan penduduk yang terbunuh masih ada – insya-Allah saya akan minta rakan-rakan untuk recce [meninjau] bagi mengesan perkuburan tersebut).

British terpaksa berhadapan dengan puluhan kubu yang diperkuat dengan pancang-pancang kayu tajam dan perparitan.

Saya telah dapat mengesan jurnal JMBRAS yang melakarkan kubu-kubu pertahanan orang Melayu di Paroi dan Ampangan, Seremban dalam perang Sri Menanti dan British; reka bentuk kubu-kubu di Pahang juga tidak berbeza, sama ada di Semantan, Bera, Lipis, Temerloh, Raub, Jerantut dan lain-lain.

Saya kongsikan lakaran kubu-kubu pertahanan orang Melayu di Paroi, Negeri Sembilan dalam Perang Bukit Putus 1874 – Left CT Peyton daripada 10th foot regiment – 1875.

British bukan sahaja menggunakan askar-askar Sikh tetapi juga polis Melayu terutama dari Singapura. Istana juga seringkali membantu British dengan membekalkan sehingga 200 orang terutama di bawah Tengku Mahmud (putera mahkota) dan Tengku Ali.

Filem Mat Kilau berjaya merubah persepsi perjuangan bersenjata melawan penjajah British di Pahang. Ia bukan perjuangan terpencil, ‘hit and run’ dan berskala kecil, bahkan pertempuran secara ‘frontal’ berlaku seperti di Jeram Ampai, Jerantut. 

Filem Mat Kilau berjaya memberikan gambaran pertempuran secara frontal seperti itu pada babak akhir. Para pejuang berjaya mematahkan serangan bahkan mengalahkan pihak musuh. Mat Kilau pernah bersama 100 orang pejuang berjaya mengepung Hugh Clifford dan Datuk Bahaman dan berjaya membunuh A.E. Wise.

Orang putih cakap, “They are worthy opponents and they had a fighting chance.” 

Gambar pertama saya kongsi dalam status ini ialah serangan dan pembunuhan penduduk Gayo-Alas di Aceh oleh unit elit tentera Marsose Belanda. Gambar pembunuhan kejam yang berlaku sekitar 1898 hingga 1905 ini begitu banyak dipaparkan oleh Belanda dalam laporan operasi tentera dan media.

Mengapa gambar-gambar kekejaman yang sama tidak dapat dikesan di Pahang dan Tanah Melayu umumnya? Sebabnya ialah Belanda telah menghapuskan pemerintahan kesultanan di Aceh bahkan di hampir keseluruhan tanah jajahannya. Lalu kepimpinan beralih kepada ulama dan senario kekejaman ini dipaparkan untuk menimbulkan ketakutan kepada rakyat.

Adapun British, modus operandinya ialah menguasai Sultan dan pembesar-pembesar yang rakus. Senario kekejaman askar-askar empayar British tidak akan disiarkan supaya kesetiaan kepada Sultan atau Raja dapat dipertahan dengan mengekalkan imej penjajah British yang ‘santun’ dan ‘berhemah’.

Hanya orang orang yang berjuang sahaja yang tahu di manakah letaknya harga diri orang Melayu. Adakah pada Rajanya? Adat budayanya? Atau adakah pada agamanya? [Saya olah kata-kata Mat Kilau yang diungkap di akhir filem ini].

3. Filem Mat Kilau Rasis?

Dalam filem Mat Kilau dipaparkan watak seorang Cina yang bersekutu dengan British. Watak seorang tokeh Cina yang bernama Goh Hui itu dimainkan oleh Farid Amirul Hisham Wu Abdullah. Mari kita lihat penglibatan orang Cina dalam pembangunan ekonomi dan industri emas di pantai timur. 

Orang-orang Cina sudah lama berada di pantai timur dan terlibat dengan aktiviti perlombongan emas. Seorang penyelidik, S.M. Middlebrook menerbitkan sebuah artikel jurnal mengenai pelombong emas dari suku etnik Hakka di Pulai, lebih kurang 15 kilometer dari Gua Musang.

Pelopornya bernama Chong Poh Chai, seorang perompak di Hong Kong yang dikehendaki oleh Dinasti Ching (Qing). Dia melarikan diri ke Kelantan dan menetap di Pulai. Dia memulakan komuniti di Pulai dan melombong emas di sana. Peristiwa ini berlaku lebih 200 tahun yang lalu dalam lingkungan 1800.

Komuniti Hakka tersebut menjadi begitu kaya sehingga Raja Muhammad mengenakan cukai atas emas yang dilombong. Mereka enggan dan membunuh Temenggung yang merupakan saudara kepada Sultan. Sultan kemudian menghapuskan mereka.

Fakta yang hendak diketengahkan ialah mereka bukan sahaja bertapak sejak awal, bahkan mereka menjadi kaya dan berkuasa sehingga bertindak sebagai tokeh atau kapitalis yang mencabar Sultan sebagai pihak berkuasa. Ini berlaku pada sekitar 1800, kira-kira 75 tahun sebelum British bertapak di Pahang.

Pada masa yang sama, wujud dua komuniti Cina di Pahang iaitu suku Koochow dan Kwangsi dan mereka ini berperang dengan suku Hakka di Pulai, Kelantan kerana isu penculikan wanita.

Gambaran yang hendak saya berikan ialah komuniti Cina sudah wujud di Pahang dan mereka menguasai industri tertentu khususnya emas dan merupakan kapitalis zaman itu.

Ketika British cuba memujuk Bendahara Wan Ahmad supaya menerima ejen British pada tahun 1874, pelbagai helah telah dibuat supaya permintaan British itu ditolak. Kesempatan timbul pada tahun 1888 (sama ada kebetulan atau dirancang) apabila Cina yang kaya bernama Goh Hui (watak dalam filem Mat Kilau) terbunuh di Pekan, Pahang.

Tiada siapa yang tahu siapa membunuhnya, tetapi Sultan Ahmad didesak membayar ganti rugi kerana Goh Hui rakyat British. Kebetulan Goh Hui berhutang dengan Sultan sebanyak $1,000.

Sultan menuntut bayaran daripada isteri Goh Hui, tetapi British pula menuntut ganti rugi dan Sultan diugut untuk terima seorang Penasihat British. Apatah lagi Maharaja Abu Bakar Johor dan Putera Mahkota, Tengku Mahmud Pahang sangat cenderung pada British.

Kisah seterusnya telah saya sebut sebelum ini. Hakikat sejarah yang hendak diketengahkan ialah tokoh-tokoh aristokrat (kapitalis) Cina memang sudah bertapak di Pahang dan mereka pula merupakan rakyat (subjek) British.

Walaupun Goh Hui dalam filem digambarkan dengan watak yang tersendiri oleh pengarah, namun tidak dinafikan Goh Hui adalah watak yang wujud bersama persona-persona kapitalis dalam naratif sejarah sebenar dan berperanan dalam campur tangan British di Pahang.

Apakah dengan penonjolan watak ini, kita membuat tafsiran negatif bahawa filem ini cuba menimbulkan rasa benci kepada kaum Cina? Sudah tentu tidak. Apakah untuk mengelakkan daripada timbulnya sentimen negatif, maka naratif sejarah kita ‘murnikan’ atau ‘whitewashed’?

Kalau soal ambil kesempatan atau ‘pepat di luar; rencong di dalam’ (khianat) itu tidak mengira bangsa, bahkan sangat ramai para pembesar yang bukan sahaja tidak menyokong, bahkan memerangi Mat Kilau (Tengku Mahmud, Tengku Ali, Hj Muhammad Noor, Inspektor Tuan Kechut, Orang Kaya Chenor, Panglima Garang Yusuf, Maharaja Perba Jelai dan lain-lain).

Saya rasa kita harus bersederhana dalam menilai karya-karya sejarah lewat filem seperti Mat Kilau, apatah lagi yang dipaparkan itu adalah hakikat sejarah yang sebenarnya.

Jika kita lihat filem-filem Hollywood yang memaparkan keganasan white settlers (orang putih) ke atas Red Indian, ia bertujuan untuk memaparkan episod sejarah yang hodoh Amerika seperti ‘Custer’s Last Stand’ dan ‘The Last of the Mohicans’.

Ia satu hakikat naratif sejarah yang melukakan tetapi dipaparkan untuk mengubati luka itu pada generasi hari ini. Saya kira itu jugalah naratif yang hendak disampaikan oleh filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’.

4. Askar British Kaum Sikh

Askar-askar Sikh berasal dari wilayah Punjab (bersempadan dengan Pakistan). Kaum Sikh merupakan kumpulan etnik terbesar (58%) di wilayah Punjab diikuti oleh Hindu (38%) dan Muslim sebagai minoriti (< 2%). British menggunakan khidmat askar pribumi bagi memenuhi keperluan ‘keselamatan’ tanah-tanah jajahannya.

Meskipun British umumnya tidak mempercayai orang tempatan sebagai askar di tanah jajahannya (contohnya Askar Melayu hanya ditubuhkan pada tahun 1933 dengan hanya kekuatan satu batalion menjelang Perang Dunia ke-2), namun ia sangat bergantung kepada India sebagai crown colony (koloni utama) untuk membekalkan askar di seluruh dunia. 

Umpamanya dalam Perang Dunia I, sejumlah 1.8 juta askar India British yang terlibat (400,000 askar beragama Islam, sekitar 90,000 terkorban) di pelbagai medan di Eropah, Timur Tengah dan Afrika. 

Dalam Perang Dunia ke-2, bilangan askar India British yang berkhidmat di pelbagai medan (Afrika Utara, Itali, Hong Kong, Burma, Tanah Melayu dan Singapura) mencecah 2.5 juta anggota. 

Pada mulanya British banyak bergantung kepada askar India daripada kalangan Muslim dan Hindu dari wilayah Bengal, Bombay dan Madras (termasuk Malayali-Malabari).

Namun apabila berlaku ‘mutiny’ (pemberontakan) pada tahun 1857 (termasuk antaranya kes menggunakan minyak babi sebagai pelincir pada peluru senapang), British mula menggantikan askarnya daripada kalangan orang-orang Sikh dari Punjab (wilayah yang terakhir di India ditakluk British pada tahun 1849).

Di samping itu, British juga menggunakan askar yang dikerah dari negeri-negeri utara India seperti Hazara, Pushtun/Pathans (termasuk Yusufzai), Punjabi musalman yang semuanya beragama Islam. 

Pada tahun 1860an, askar Sikh membentuk pasukan askar India British yang terbesar bersama dengan Gurkhas (Nepal) dan Dogras (Hindu di wilayah barat laut termasuk Kashmir dan Jammu – kontinjen yang pertama menghadapi pendaratan tentera Jepun di Pantai Cik Amat, Bachok (8 Dis 1941); juga terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Kashmir 1947/48).

Kontinjen askar Muslim dari Punjab mula mengatasi bilangan askar Sikh pada tahun 1870an. Namun British akan mengagihkan askar di tanah jajahannya berdasarkan strategi pecah dan perintah. Askar Muslim tidak akan dikerah di tanah jajahan di mana rakyatnya beragama Islam seperti di Tanah Melayu.

British juga menggunakan mercenaries (upahan) yang sedia berkhidmat di mana-mana. Antaranya 85 askar Arab terlibat dalam Perang Bukit Putus memerangi Sri Menanti. Khidmat askar Muslim Punjabi digunakan dengan meluas dalam Perang Dunia Pertama berhadapan dengan Turki Uthmaniyyah di Gallipoli, Iraq, Palestin (Gaza, Megiddo, Beersheba) dan Sinai, Mesir.

Walau bagaimanapun, ramai askar Muslim enggan terlibat seperti etnik Pushtun/Pathan. Begitu juga askar India Muslim yang terlibat dalam peristiwa Dahagi di Singapura (1915) [kerana mentaati fatwa ‘Jihad Akbar Fardu Ain’ yang dikeluarkan oleh Khayri Affendi, qadhi Khilafah Uthmaniyyah untuk memerangi penjajah khususnya British dan Perancis] yang memerangi askar British (juga berdepan dengan TSN – Tentera Setia Negeri) dan 33 orang dijatuhkan hukuman mati (firing squad).

Penglibatan British di Tanah Melayu dari tahun 1874 hingga 1895 umumnya melibatkan tentera Sikh Punjabi dan Gurkhas.

Askar Sikh merupakan kontinjen yang terbesar. Seramai 2,000 askar Sikh terlibat dalam perang di Perak dan Selangor. Apabila negeri-negeri Melayu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dipaksa untuk menerima Penasihat British, negeri-negeri tersebut juga dipaksa untuk menerima satu batalion askar Sikh. Di samping itu, askar Sikh juga dikerah dari negeri negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pasukan polis yang pertama di Sungai Ujong, Selangor dan Perak kesemuanya terdiri daripada orang-orang Sikh. Apabila James W.W. Birch terbunuh pada tahun 1879, enam infantri askar Sikh dibawa masuk dengan dua kompeni pasukan meriam untuk menghadapi penentangan orang Melayu di Perak, Pahang dan Kelantan.

Saya bentangkan senario yang ringkas di atas sebagai latar belakang untuk mendapatkan gambaran atau perspektif yang objektif.

Berdasarkan fakta sejarah, memang askar Sikh yang dikerah oleh British untuk menghadapi penentangan di negeri-negeri Melayu termasuk di Pahang.

Sudah tentu dalam filem Mat Kilau, askar-askar Sikh-lah yang diketengahkan kerana itulah hakikat sebenar yang berlaku dalam sejarah. Masakan untuk menjaga sensitiviti kaum, maka askar dari etnik lain pula yang diketengahkan?

Ia adalah representasi sejarah yang sebenar. Ia sama sekali tidak bermaksud untuk menyinggung mana-mana kaum di negara ini. 

Tontonlah karya filem perang apa pun. Tontonlah Braveheart, Tora! Tora! Tora!, Tae Guk Gi, Bukit Kepong dan sebagainya.

Pihak yang beraksi dalam sejarah tidak akan dipapar sebagai pihak lain hanya kerana menenggang (menjaga) hati pihak yang terbabit. Ia perlu dipaparkan sebagaimana dalam realiti sejarah.

Kemudian aksi askar-askar Sikh yang memerangi penduduk kampung dibantah, kononnya mereka tidak akan bertindak sedemikian terhadap penduduk kampung dan membunuh mereka.

Kalau begitu, apa peranan askar Sikh yang dibawa oleh British untuk menghadapi penentangan penduduk kampung? Jika mereka sangat berhemah (kononnya), sudah tentu British akan ganti mereka dengan askar lain.

Itu pun filem Mat Kilau meletakkan beban melakukan aksi ganas kebanyakannya kepada Syers (yang menembak wanita dan kanak-kanak) dan Toga yang membawa watak askar upahan dari Borneo (yang merodok isteri Wahid [lakonan Beto] yang mengandung).

Hakikatnya dalam sejarah, askar Sikh akan melaksanakan semua arahan (untuk rekod askar Sikh adalah antara askar British yang sangat setia selain Gurkhas). Kalau arahannya ialah “Bakar!”, maka mereka akan bakar. Kalau arahannya “Bunuh!”, maka mereka akan bunuh.

Inilah yang berlaku di puluhan kampung (bahkan mungkin ratusan) diserang oleh askar Sikh, gurkha dan polis negeri Selat termasuk daripada kalangan orang Melayu.

Kampung Budu, Lipis yang dibakar dengan menyaksikan sekitar 300 orang orang kampung (termasuk wanita dan kanak-kanak) terkorban; siapakah yang melakukannya?

Pendek kata, mereka tidak akan jadi askar British kalau mereka tidak melaksanakan perintah (seperti peristiwa Dahagi yang melibatkan ‘5th infantry’ askar India Muslim dan askar Pushtun yang enggan melawan Turki Uthmaniyyah).

Apakah sebuah karya filem perang Jepun tidak boleh memaparkan aksi-aksi keganasan tentera Jepun memancung dengan Katana (pedang Samurai) dan melempang penduduk tempatan? – Untuk menjaga hati rakyat Jepun dan menjaga pelaburan/industri Jepun di Malaysia?

Akhir sekali, filem Mat Kilau bukan untuk menimbulkan prasangka kepada mana-mana bangsa atau pihak.

Sejarah dan pelaku-pelakunya tidak boleh diubah, tetapi sejarah boleh membantu kita semua melakar masa depan yang lebih baik untuk semua dengan satu syarat iaitu mengutip ibrah (pengajaran) daripadanya.

“..Untuk mereka (orang terdahulu) apa yang mereka lakukan; untuk kamu (generasi hari ini) apa yang kamu lakukan; dan kamu tidak diminta pertanggungjawaban atas apa yang mereka lakukan.” (Al-Quran, Surah al-Baqarah : 134)

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengasas
Akademi Sejarah Dr Hafidzi

Sumber:
Bahagian 1: Ekploitasi Emas
Bahagian 2: Pembunuhan
Bahagian 3: Rasis
Bahagian 4: Askar Sikh

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia