Kluster-kluster tersebut ialah perhimpunan keagamaan di Sri Petaling (42 peratus), individu dengan sejarah perjalanan ke Itali (Kuching), perhimpunan keagamaan di Kuching dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi.
“Terdapat 69 kes sporadik setakat ini yang tidak diketahui dari mana punca jangkitannya,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, kes sporadik itu dikesan selepas lebih 8,000 disaring berdasarkan ILI dan SARI.
“Kebanyakan kes positif hasil saringan ILI/ SARI adalah berkaitan dengan kluster lain selepas siasatan lanjut,” ujarnya.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan petugas kesihatan awam dan swasta memakai PPE apabila merawat pesakit ILI/SARI di ICU atau membuat saringan di klinik atau hospital.
“Warga Malaysia yang bekerja Singapura diminta kekal tinggal di negara itu untuk tempoh dua minggu lagi.”
Tambahnya, KKM sedang berusaha berbincang dengan kerajaan Singapura untuk mencari jalan yang terbaik dan bagi yang masih mahu pulang, mereka akan disaring serta dikuarantin.
Sehingga hari ini, jumlah kes baru positif COVID-19 adalah sebanyak 170 orang.
“Manakala keseluruhan kes positif 3,963 dengan 33.33 peratus telah sembuh bersamaan 1,321 pesakit dan 1.59 perarus atau 63 kematian.”
Tambahnya lagi, jumlah pesakit sembuh dan discaj adalah sebanyak 80 orang.
“Pesakit di ICU adalah sebanyak 92 orang dan 50 orang daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan dan kes kematian baharu pada hari ini adalah seorang,” jelasnya dalam sidang media perkembangan terkini wabak tersebut.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baru Khamis ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP itu akan digunakan selepas tarikh PKP Fasa Kedua tamat pada 14 April ini.
Peraturan baru itu, menurutnya berkemungkinan akan dipecahkan mengikut zon positif COVID-19 bagi memberi kelonggaran kepada rakyat untuk bergerak bagi memastikan wabak itu tidak menular.