Elak Ramadan Jadi Bulan Pesta Pembaziran Makanan

Elak Ramadan Jadi Bulan Pesta Pembaziran Makanan | IKRAM

Suatu ketika dahulu, tatkala kita menginjak usia kanak-kanak, kita sering kali diingatkan antara tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah untuk merasai apa yang dialami oleh mereka yang fakir dan miskin.

Tidak kurang juga, selalu diingatkan kepada kita bahawa berpuasa adalah untuk mengenangkan kesusahan orang yang tidak berkemampuan seperti kita. Sesuatu yang berharga juga apabila kita mengamati semula nasihat dan pedoman yang diberikan sewaktu kita kecil.

Pun begitu, semakin usia menginjak dewasa, pesanan dan nasihat tersebut semakin pudar dan hilang dalam memori. Tatkala waktu siang, kita menahan diri daripada makan dan minum seolah-olah menghayati kesusahan dan keperitan orang susah.

Namun begitu, menjelang waktu berbuka puasa, kita makan dan minum seperti lupa daratan sehingga melakukan pembaziran.

Sesungguhnya, bulan Ramadan yang juga merupakan sebuah hadiah bermakna bagi umat Islam, terkandung padanya 1001 macam hikmah yang boleh kita perolehi. Semua hikmah ini akan kita perolehi semata-mata dengan kita berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Dengan demikian juga, inilah penghujung kepada ibadah puasa pada bulan Ramadan, iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan bertakwa kepada Nya. Dalam surah al-Baqarah 183, firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Saidina Ali r.a. pernah berkata bahawa takwa itu ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.

Demikian pula menurut Abdullah bin Mas’ud r a. katanya, takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.

Rumusannya, tujuan utama dan terbesar dalam kita menjalani ibadah pada bulan Ramadan ini adalah untuk meraih takwa dengan maksud mentaati segala perintah-Nya dan berusaha meninggalkan larangan Nya. Termasuklah bertakwa itu adalah tidak melakukan pembaziran makanan terutamanya pada bulan Ramadan. 

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), dianggarkan kira-kira 4,600 tan makanan yang masih elok terbuang di seluruh Semenanjung Malaysia semasa bulan Ramadan. 

Tambahan lagi, menurut Dr. Mohd Pauze Mohamad Taha, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, jumlah berkenaan merupakan jangkaan peningkatan sisa makanan yang dibuang kira-kira 15 hingga 20 peratus pada bulan Ramadan berbanding bulan biasa sejak dua tahun lalu.

Statistik ini sudah tentu bukanlah sesuatu yang boleh menggembirakan kita semua. Selari dengan tujuan umat Islam berpuasa memburu ketakwaan, pembaziran makanan sepatutnya tidak berlaku sekiranya kita benar-benar menghayati ibadah pada bulan Ramadan. 

Pada tahun 2022, satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa sebanyak 76 peratus sampah yang dikutip merangkumi sisa makanan yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dimakan oleh manusia seperti sisa tulang, kulit buah-buahan dan sayuran.

Sebanyak 24 peratus lagi adalah sisa makanan yang boleh dielakkan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging dan sayur-sayuran. Jika keadaan ini berterusan menjadi budaya kita, pastinya kelak kita akan berhadapan dengan krisis makanan akibat keborosan dan pembaziran yang telah dilakukan.

Angka dan statistik ini membuktikan bahawa negara kita tidak kritikal menghadapi kekurangan makanan tetapi sebaliknya kritikal dalam menghadapi lebihan makanan sehingga membawa kepada pembaziran.

Pembaziran adalah suatu perkara yang dilarang oleh Allah. Bahkan dalam al-Quran, Allah SWT telah menggelarkan manusia yang melakukan pembaziran itu dengan gelaran saudara syaitan. Dalam surah al-Isra’ ayat 27, firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” 

Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Adzim, menyebutkan bahawa maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, yang suka membazir dan boros.

Demikian pula isu pembaziran makanan ini menunjukkan kepada kita timbul beberapa golongan yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi kitab al-Quran dengan beberapa istilah, antaranya disebutkan sebagai al-Musrifun (berlebihan), al-Mu’tadin (orang yang melampaui batas) dan al-Mubazzirin (pemboros).

Perkataan al-Musrifun seperti yang dinyatakan di dalam surah al-A’raf ayat 31, firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Istilah al-Mu’tadin pula yang bermaksud melampaui batas, telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 190, firman Nya yang bermaksud: 

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melampaui batas. Sungguh, Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.”

Demikianlah beberapa istilah yang ditujukan kepada umat manusia yang suka melakukan pembaziran. Sikap membazir ini akan mencacatkan amal soleh kita pada bulan Ramadan. Sepatutnya, apabila memasuki bulan Ramadan, kita akan lebih menghayati nilai beribadah, bersederhana dan tidak melampaui batas.

Ketakwaan yang sebenar pastinya akan menghalang kita daripada bersikap membazirkan makanan. Oleh itu, menjelang bulan Ramadan, selain kita melakukan persiapan untuk solat berjemaah di masjid, melazimi membaca al-Quran dan memperbanyakkan bersedekah, jangan kita lupa juga untuk mempersiapkan diri mendidik jiwa ini untuk tidak melakukan pembaziran makanan. 

Larangan membazir bukanlah bertujuan untuk menghalang kita makan dan minum daripada apa yang kita gemari. Namun, larangan untuk kita membazir makanan ini menuntut kita agar hidup lebih bersederhana, menghayati keindahan bulan Ramadan bukan sekadar pada menu berbuka puasa semata-mata, bahkan lebih dari itu, mendidik jiwa tunduk dan patuh hanya pada-Nya.

Kita seharusnya punyai perasaan bimbang dengan pembaziran makanan yang berlaku peningkatan menjelang setiap bulan Ramadan. Sedikit sebanyak statistik dan angka ini mencerminkan imej tidak sihat untuk umat Islam yang dilihat pada bulan Ramadan, bukan sahaja umat Islam berpesta ibadah, juga telah ‘berpesta’ membazir makanan.

Sudah tentu ini yang kita tidak mahukan. Oleh itu, marilah kita berazam dan bertekad untuk tidak lagi melakukan pembaziran makanan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia