Akal setajam duri, emosi seharum kasturi

Di saat dunia dan isinya lantang bersuara memperjuangkan hak wanita, hakikatnya wanita telah mempunyai kuasa untuk memberdayakan dirinya sendiri.

 

Wanita mempunyai dua senjata yang menjadi sumber kekuatan dirinya sendiri, pertama adalah akalnya, kedua adalah emosinya.

 

Hakikat ini mengingatkan kita tentang kisah pertanyaan Saidatina Aisyah RA kepada Rasulullah SAW pada suatu hari iaitu:  

 

“Ya Rasulullah, bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia?” 

Baginda SAW menjawab: “Dengan akalnya.”

Aisyah RA bertanya lagi: “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat?.”

Baginda menjawab: “Dengan akalnya.”

Lantas Aisyah RA bertanya: “Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya?”

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” 

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Maka, Aisyah RA terbukti telah berjaya mengejar keutamaan sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Ibu sekalian mukmin ini bukan sahaja berjaya memahami agamanya, malah menjadi tempat rujukan orang lain tentang agama setelah baginda wafat.

 

Wanita melakar sejarah

 

Sejarah telah merakamkan telah ramai sarjana wanita yang turut melakar sejarah pembinaan ilmu dan tamadun. Bermula pada zaman Rasulullah SAW lagi, kaum wanita menjadi perawi hadis dan terlibat dalam penyebaran hadis.

 

Sebagai perawi, wanita tidak berbeza dengan lelaki kerana syarat utama yang menentukan kesahihan sesebuah hadis tidak berdasarkan kepada jantina.

 

Senario yang disebutkan di atas merupakan salah satu segmen dalam menterjemahkan kekuatan wanita pada mindanya.

 

Kemampuan minda dan intelektual bukan hanya diukur melalui kepandaian dan pencapaian dalam akademik dan keilmuan semata-mata, malah diukur pada cara setiap wanita itu berfikir dan membawa dirinya bertindak dalam menjalani kehidupan.

 

Pesanan Rasulullah SAW dalam hadis tersebut memberikan mesej kepada kita bahawa minda yang sempurna berperanan menentukan cara seseorang berfikir dan bertindak.

 

Sifat dan peranan semulajadi wanita sebagai anak, isteri atau ibu sangat-sangat memerlukan gaya fikir yang baik dan sempurna. Bukan sahaja sempurna, malah kecerdasan berfikir dan bertindak seringkali dikaitkan dengan kemampuan wanita menguruskan diri dan kehidupannya.

 

Sebagai seorang wanita, sudah menjadi kebiasaan terlalu banyak berfikir hal yang remeh-temeh dari menu masakan saban hari sehinggalah hal yang besar-besar seperti memilih pasangan hidup dan juga hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaannya dalam bidang profesionalnya.

 

Bahkan pada hari ini, wanita sudah biasa menjadi ‘multitasking’ dalam menjalani kehidupan seharian. Itulah kekuatan wanita yang rata-ratanya boleh berfikir dan melakukan banyak perkara pada satu-satu masa.

 

Wanita di persada negara

 

Kata Hamka di dalam buku beliau, ‘Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan’:

“Perempuan adalah tiang negara. Jika perempuannya baik, baiklah negara, dan jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidak begitu kelihatan. Namun, jika rumah sudah condong, periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”

 

Nukilan Hamka ini telah meletakkan wanita di pentas yang lebih luas melebihi ruang rumah tangga yang menjadi sarang peranan utamanya. Hal ini mengingatkan kita tentang peri pentingnya wanita dalam masyarakat. Ringkasnya, elok wanita, eloklah rumah tangga dan baik wanita, kukuhlah negara yang dibina.

 

Emosi dibelai, minda diasah

 

“Kita adalah apa yang kita fikirkan.” Inilah kata-kata hikmah yang mentafsirkan diri manusia. Justeru, perbuatan dan tingkah laku manusia ditentukan oleh cara manusia berfikir.

 

Corak fikiran positif akan mempengaruhi emosi yang stabil seterusnya mempengaruhi setiap tindak-tanduk. Oleh itu, manusia perlu mengawal corak fikirannya kerana ia mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal diambil.

 

Cerdik pandai menyebut, kita ialah siapa yang kita fikirkan. Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif serta baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak pemikirannya. Ertinya, apa yang kita fikir, ucap, akan digerakkan melalui rasa, emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan.

 

Kata orang, wanita itu makhluk emosi. Bagi saya, emosi wanita adalah kelebihan dan kekuatannya. Wanita dan emosi mempunyai hubungan yang sangat rapat. Persepsi yang biasa ialah emosi menyebabkan wanita kalah dan lemah. 

 

Sebaliknya, emosi adalah kekuatan buat wanita. Emosi wanita tidak setara dengan emosi lelaki. Emosi wanita adalah istimewa terutamanya apabila diurus dengan sebaiknya oleh minda yang sempurna.

 

Lihat sahaja paparan sejarah wanita-wanita hebat yang berjaya menghadapi cabaran kehidupan dengan menggunakan dua kekuatan iaitu minda dan emosinya.

 

Contoh yang paling dekat untuk direnung ialah peristiwa yang berlaku pada Ibu Nabi Musa AS. Keupayaan ibu Nabi Musa mengendalikan emosinya, mengatur strategi dan mengukuhkan pegangannya sebagai seorang yang bermatlamat jauh amat jelas diperhatikan  melalui peristiwa sebelum dan selepas kehilangan anaknya.

 

Ketahanan beliau untuk bertahan dan tidak sesekali menghebahkan kehilangan anaknya di mata umum ternyata telah menyelamatkan baginda.

 

Sekiranya, ibu Nabi Musa mengambil tindakan menularkan berita kehilangan anaknya, Nabi Musa yang baharu sahaja ditemui oleh pihak istana akan menemui ajal.

Bahkan kesanggupan beliau dan tawaran sebagai ‘ibu susuan’ adalah satu strategi yang dapat memulangkan kembali anaknya ke pangkuan keluarga. 

 

Kekuatan emosi Ibu Nabi Musa telah membantu beliau berusaha untuk menjejaki anaknya dengan keupayaan yang ada termasuklah menggunakan sistem sokongan yang ada iaitu dengan bantuan saudara perempuan kepada Nabi Musa AS sendiri. Hasilnya, berkat kegigihan itu, Nabi Musa kembali ke pangkuan ibunya yang dikasihi.

 

Inilah yang dinamakan sebagai kecerdasan peribadi. Ia merupakan satu keupayaan unik dimiliki oleh seseorang individu terutamanya kaum wanita. Kecerdasan personal ini membuatkan seseorang  mempunyai kemampuan untuk mengawal perasaan dan pemikiran sendiri dan juga orang lain.

 

Umumnya, kecerdasan ini merujuk kepada tiga kemahiran asas yang melibatkan kesedaran emosi tinggi, kemampuan untuk menggabungkan dan meleraikan emosi dan mengaplikasikan kemahiran personal bersesuaian dengan konteks dan keadaan.

 

Ini bermakna, ketika menghadapi sesuatu konflik, kaum wanita yang mempunyai emosi yang kuat seharusnya perlu tenang dan berhati-hati membuat penilaian dan keputusan yang berasaskan rasional dan emosi yang seimbang.

 

Bukan pertandingan

 

Penghayatan yang benar terhadap hakikat penciptaan manusia, lelaki dan wanita, dengan keadilan pada sudut hak dan tanggungjawabnya, dengan peluang yang sama untuk mendapat reda dan balasan syurga-Nya, akan menjadikan seorang wanita tidak akan tercari-cari akan sebuah pembelaan.

 

Pemberdayaan wanita tajaan Barat melalui gerakan feminisme kononnya mahu membebaskan wanita daripada cengkaman patriarki tetapi slogan-slogan yang diangkat ketika berarak meletakkan isu wanita tidak lebih berlegar di sekitar  isu seksualiti dan desakan untuk menurut hawa nafsu semata.

 

Menurut aliran ini, wanita hanya berkuasa apabila bebas melakukan apa sahaja, sekalipun memalukan dan merendahkan martabat dan moral diri sendiri.

 

Sebaliknya, wanita yang jelas kefahaman akan agamanya, cerdas minda dan peribadinya akan sedar bahawa kemuliaan yang dicari itu berada dalam diri wanita itu sendiri. 

 

Benarlah firman Allah Taala bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling bertakwa kepada-Nya. Wanita yang cerdas kenal siapa Tuhannya, meletakkan kepercayaan tertinggi kepada Yang Esa, pergantungan tanpa belah bahagi kepada Allah.

 

Wanita yang cerdas pandai menguruskan emosinya, tidak larut dengan emosi tanpa rasional. Wanita cerdas sentiasa bertindak mengikut fikiran dan acu mindanya, bersulamkan emosi yang sihat, maka kehadirannya akan dirasai, ketiadaannya akan dicari-cari. 

 

Wanita beginilah yang tidak perlu kepada pembelaan, kerana dirinya sendiri menjadi pembela kepada sesiapa yang berada di sekelilingnya.

 

Tuntasnya, kecerdasan wanita bukan untuk dibandingkan dengan lelaki, kecerdasan wanita adalah untuk kepuasan sendiri dan reda Ilahi, demi menapak kehidupan yang lebih bererti dari hari ke hari.

 

Selamat meraikan Hari Wanita Sedunia!

 

Dr Hamidah Mat

Kolumnis Portal IKRAM
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM)
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia