KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Sabariah Baharun telah dilantik sebagai Pemerhati Kehormat bagi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (KRPPM-KKA) sebagai pemerhati kehormat.
Beliau juga merupakan Ahli JKP Agenda Nasional yang mengetuai Kluster Perpaduan Nasional, merangkap Ketua Perhubungan bagi jawatankuasa itu untuk membina, mengurus dan mengekalkan hubungan yang baik antara IKRAM dengan pihak berkepentingan, termasuk pihak kerajaan dan agensi, media dan rakan strategik.
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (KRPPM-KKA) telah diluluskan penubuhannya pada 28 Januari 2025 dengan melantik YB Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Bangi, sebagai Pengerusi dan dianggotai oleh wakil rakyat merentas parti, termasuk wakil daripada parti kerajaan.
Pengerusi: YB Syahredzan Johan (Bangi)
Timbalan Pengerusi 1: YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Timbalan Pengerusi 2: YB Dr Hajah Halimah Ali (Kapar)
Setiausaha: YB Yuneswaran a/l Ramaraj (Segamat)
Bendahari: YB Riduan Rubin (Tenom)
YB Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi (Sri Aman)
YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar)
YB Tuan Haji Suhaizan Kaiat (Pulai)
YB Tuan Lee Chean Chung (Petaling Jaya)
KRPPM-KKA ini turut dianggotai oleh Architects of Diversity Malaysia (AOD) selaku Sekretariat (Amin Mubarak dan Najmi Hakim) dan beberapa ahli akademik terdiri daripada Dr Murni Wan Mohd Nor (IDFR), Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohd Shukri (UIAM), Dr Fatimah Al Attas (UIAM) dan Dr Abdul Muqit Muhammad (UM) selaku Rakan KRPPM-KKA.
Di samping itu, KRPPM-KKA turut menjemput Dr Shatesh Kumar a/l Sangar mewakili Pejabat Menteri Perpaduan, Andrew Khoo mewakili Bar Council Malaysia dan Puan Maha Balakrishnan yang merupakan Pakar Parlimen sebagai Pemerhati Kehormat.
Menurut kenyataan kumpulan itu pada Khamis lalu, KRPPM-KKA ditubuhkan sebagai platform perbincangan untuk mengenal pasti dan mencari solusi secara sistemik, legislatif dan kesedaran bagi isu-isu berkaitan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Kumpulan ini akan berfungsi sebagai wadah untuk menggabungkan pandangan kolektif daripada ahli parlimen, senator, masyarakat sivil serta pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan.
Tambahnya, fokus yang bakal dilihat oleh KRPPM Keharmonian Kaum dan Agama antara lain:
- Mempelopori cadangan-cadangan perundangan, dasar dan inisiatif berkaitan dalam menyokong usaha keharmonian kaum dan agama di peringkat nasional.
- Menjadi platform utama dalam mempromosikan sesi-sesi dialog dan perbincangan mengenai isu keharmonian kaum dan agama untuk semua pemegang taruh.
- Membangunkan inisiatif advokasi dan pendidikan yang menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
- Memberi maklum balas dan cadangan kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi melestarikan hubungan antara kumpulan kaum dan agama di Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan perkembangan isu semasa, KRPPM-KKA melihat keperluan mendesak untuk menghimpunkan semua pemegang taruh bagi membincangkan hala tuju keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
KRPPM-KKA juga menegaskan komitmennya untuk menggerakkan kesedaran, advokasi serta mengemukakan cadangan-cadangan perundangan kepada pembuat dasar.
Usaha ini bertujuan memastikan keharmonian kaum dan agama di Malaysia terus terpelihara dan diperkukuhkan, selaras dengan lunas Perlembagaan Persekutuan.
Kumpulan ini juga berharap ia mendapat sokongan daripada YAB Perdana Menteri dan pentadbirannya, Parlimen Malaysia, Peguam Negara, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta seluruh parti politik di Malaysia, sejajar dengan aspirasi negara yang mendukung semangat perpaduan serta keharmonian kaum dan agama.
Bagi KRPPM-KKA, sokongan ini penting bagi menjayakan usaha dan objektif ke arah negara yang lebih harmoni dan masyarakat yang bersatu padu.
Menurut Dr Sabariah, beliau mengharapkan dengan wujudnya KRPPM-KKA ini, ia dapat melonjakkan secara lebih agresif semarak perpaduan yang diusahakan IKRAM dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat pelbagai di negara ini.