Dr Badi’: Ikhwan Muslimin dalam menghadapi keganasan

Dia berfirman maksudnya:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitny, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).” (Al-Hijr: 49-50)

“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Fatir:45)

Di dalam Hadis Qudsi, Dia berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaanKu.” (HR Muslim)

Dan Allah tidak menurunkan kitab-kitab samawi, tidak mengutus Rasul-rasul dan Nabi-nabi melainkan sebagai pembawa rahmat kepada alam semesta, membebaskan kemanusiaan daripada kecelakaan dunia dan akhirat. Dia berfirman kepada Adam a.s.:

“Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (To Ha:123)

Dia menyifatkan Nabi-Nya yang terakhir, Muhammad s.a.w. dengan sifat-sifat yang unggul.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Aali ‘Imran:159)

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah:128)

Dan Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terunggul dari segi kasih sayang dan berlembut dalam semua tindakan serta tingkah laku baginda. Sifat tersebut bukan saja terserlah ketika baginda melayani para pengikut baginda yang beriman, malah begitulah juga ketika baginda berhadapan dengan musuh-musuh serta penentang-penentang baginda. Tidakkah kamu pernah dengar Allah Ta’ala memerintahkannya agar berpaling dengan cara yang baik dari musuh yang mempersenda-sendakan baginda?

“Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzzammil:10)

Dan dalam keadaan yang sangat genting lagi mencabar, baginda enggan mendoakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin, pada hal baginda seorang yang sangat maqbul doanya. Baginda hanya berkata: “Ya Allah, ampunilah, berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka orang yang tidak mengetahui.” Hati baginda sering terluka dihiris perasaan dukacita melihat kaumnya sesat dan engkar. Baginda bimbang mereka akan terjerumus ke dalam siksaan yang amat menyakitkan.

“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.” (Al-Kahf: 6)

Sehinggakan di dalam peperangan, ketika saling berbunuhan, baginda berpesan: “Apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaiknya”. Baginda melarang perbuatan mengelar mayat walaupun pihak musuh berbuat demikian.

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menggariskan panduan untuk para Nabi, Rasul serta pengikut mereka yang terdiri daripada sahabat, hawariyyin, pendakwah dan reformis sehingga ke hari qiamat. Untuk mereka, Allah telah gariskan landasan islah dan manhaj dakwah kepada Allah di setiap masa dan tempat. Landasan yang berasaskan lemah lembut, bersikap lunak, mengemukakan hujah yang terpandu. Sehinggakan ketika mengemukakan dakwah kepada Firaun yang mengangkat dirinya sebagai tuhan, Allah perintahkan utusan-Nya:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.” (To Ha:44)

Hatta kekerasan dengan kata-kata pun ditolak. Nabi s.a.w. menjanjikan kata-kata yang lembut, memberikan makanan kepada orang yang memerlukan, solat malam ketika manusia sedang tidur sebagai pintu-pintu syurga. Dan sekiranya hendak berdialog atau berbahas maka berbahaslah dengan cara yang paling baik.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf:108)

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Al-Baqarah:256)

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidaya petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Al-Qasas:56)

“Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus:99)

Bahkan baginda menyeru agar tidak mengatakan bodoh kepada orang yang terjerumus ke dalam kancah syirik, pada hal syirik merupakan jenayah paling besar terhadap Allah. Ini untuk memastikan mereka tidak terdorong kepada melakukan dosa yang lebih besar, sebagai tanda simpati dan kasihan belas kepada mereka, dan supaya kita tidak menutup rapat pintu taubat serta peluang untuk mereka kembali kepada kebenaran.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Al-An’am:108)

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain.” (Al-An’am:68)

Sesungguhnya lemah lembut, kasihan belas dengan semua makhluk merupakan ciri dakwah Nabi s.a.w. Tidak kira sama ada tumbuh-tumbuhan, batu-batan, haiwan, burung-burung, dan terutamanya manusia. Sirah Nabi s.a.w. penuh dengan peristiwa dan kisah-kisah yang mengukuhkan apa yang kita kata. Ketika baginda menghadapi tentangan paling hebat daripada kaumnya, malaikat penjaga bukit datang menemuinya dan berkata: “Sekiranya tuan mahu, aku akan hempapkan Akhsyabain ke atas mereka”. Seandainya Baginda melayani tawaran malaikat itu, tentulah akan membawa kehancuran kepada semua makhluk di sekitar Makkah. Namun Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka zuriat yang menyembah Allah Yang Esa serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan ketika Allah Ta’ala memberinya kemenangan yang nyata sewaktu Fathu Makkah, kaum musyrikin tunduk menyerah kalah kepadanya, baginda tidak langsung membalas dendam untuk dirinya. Sebaliknya Baginda memaafkan dan melupakan segala kesalahan. Baginda berkata: “Pergilah kamu. Sesungguhnya kamu semua sudah bebas. Hari ini adalah hari marhamah.”

Di atas manhaj yang lurus inilah, dakwah Ikhwan berjalan sekarang semenjak ia ditubuhkan oleh Imam kita asy-Syahid Hasan al-Banna (semoga Allah redha kepadanya). Ikhwan berjalan di atas landasan dakwah kepada Allah dengan hikmah dan mau’eizoh hasanah secara teratur langkah demi langkah. Bermula dengan takrif, kemudian takwin, kemudian tanfiz. Bergerak langkah demi langkah dengan amal yang tersusun rapi, bermula dengan islah individu Muslim, kemudian keluarga Muslim, kemudian masyarakat Muslim, kemudian kerajaan Muslim, kemudian Khilafah Islamiah mengikut manhaj nubuwwah, kemudian membimbing alam seluruhnya ke arah menerima dan menegakkan risalah Islam yang abadi. Jamaah Ikhwan Muslimin sentiasa berusaha untuk berkhidmat kepada manusia – semua manusia – , membawa kebaikan kepada mereka semua. Syi’ar Jamaah ialah “Allah adalah matlamat” dan pendekatan Jamaah ialah “lembut bukan lemah, kuat bukan keras atau ganas”.

Berapa ramai mereka yang bersemangat, yang mahu cepat, cuba memendekkan jalan dan menggunakan cara yang kasar untuk mencapai tujuan melalui jalan pintas. Namun al-Imam berdiri di hadapan mereka dan berkata dengan tegas, dengan perasaan kasihan belas sambil mengingatkan mereka:

“Sesungguhnya jalan ini telah digariskan langkah-langkahnya, dinyatakan sempadannya. Sesiapa di kalangan kamu yang mahu segera memetik buah sebelum ia matang, atau memetik bunga sebelum ia kembang, maka aku tidak bersama mereka dalam hal itu.” “Dan sesiapa yang sabar bersamaku sehingga benih tumbuh subur, pokok merimbun, dan buah masak serta sedia untuk dipetik, maka ganjaran untuknya atas kesabaran itu dijamin oleh Allah. Kita sekali-kali tidak akan terlepas daripada mendapat ganjaran orang yang berbuat baik. Sama ada kemenangan dan kepimpinan (an-nasr wa as-siadah), atau kesyahidan dan kebahagiaan (asy-syahadah wa as-sa’adah)”.

Berapa kali pula dakwah Ikhwan bertembung dengan permusuhan dan tipu helah, perangkap dan serangan, kezaliman dan perancangan jahat sehingga sampai ke tahap dibunuh, disiksa, dipenjara, dihalau puluhan tahun. Di samping tuduhan-tuduhan palsu, cerita yang direka-reka, tohmahan-tohmahan yang tidak berasas. Semua itu tidak membawa Jamaah bangkit membalas dengan kekasaran dan kekerasan. Jamaah tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan, keganasan dengan keganasan. Tidak pernah satu hari pun Jamaah terfikir untuk membalas dendam hatta kepada mereka yang membunuh dan membuat zalim. Kita hanya mengharap pahala dari sisi Allah, serta berharap orang yang zalim kembali kepada kebenaran, orang yang berdosa bertaubat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Kita sentiasa yakin sepenuhnya bahawa Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan ganjaran buat orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya Allah menyediakan balasan yang tidak terbatas di dunia dan akhirat kepada orang yang sabar.

“Dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.” (An-Nahl:41).

Bahkan kita telah menyaksikan dalam kehidupan dunia yang singkat ini bagaimana Allah telah membalas mereka yang memainkan peranan utama menyiksa dan membunuh ahli kita di dalam penjara.

“Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” (To Ha:127)

Dan ketika sesetengah ahli yang sangat tertekan dengan penyiksaan yang tidak mampu ditanggung oleh upaya manusia terdorong untuk menghukum kafir ke atas pihak yang berbuat zalim, maka Mursyid yang kedua, Hasan al-Hudhaibi mengambil sikap yang cukup tegas dengan menerbitkan bukunya yang berjodol “Kami Pendakwah, Bukan Penghukum”. Beliau menerangkan dengan sejelasnya batas-batas kebenaran, tanpa terbawa-bawa oleh emosi yang tertekan dengan perbuatan mereka yang zalim dan kejam.

Berapa banyak dakwah berdepan dengan kritikan, celaan hatta daripada orang Islam sendiri di sepanjang perjalanannya. Setengah mereka tidak puas hati dengan perjalanan Jamaah yang mereka rasakan sangat lambat, lalu mereka memilih cara kekerasan dan menggunakan senjata. Maka apa natijahnya? Darah dan kelumpuhan. Menyemarakkan kebencian di kalangan orang awam, memburukkan nama dakwah, memberi ruang kepada munafiqin dan orang yang benci kepada dakwah untuk melabelkan fikrah Islam sebagai ganas, dan memberi mereka alasan untuk memperhebatkan tekanan ke atas orang beriman. Dan sesungguhnya Allah Menghendaki golongan ini – atau kebanyakannya – kembali kepada kebenaran dan manhaj Nabi-nabi. Mereka mula memahami bahawa sebaik-baik perkara itu yang pertengahan dan “sesungguhnya lemah lembut itu tidak terdapat pada sesuatu kecuali ia akan menghiasinya, dan tidak ditanggalkan daripada sesuatu kecuali akan buruklah sesuatu itu.” Dan sesungguhnya antara unsur kekuatan ialah menahan marah dan memaafkan manusia, terutama ketika kita mampu membalasnya.

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali ‘Imran:134)

Bukanlah orang kuat itu dengan bertinju, tetapi orang kuat ialah yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”

Dan selepas bertahun-tahun sabar serta sabar, manhaj perubahan secara aman telah berjaya dengan berlakunya thaurah (revolusi) yang diberkati. Antara cirinya yang cantik bagi thaurah ini ialah ia adalah thaurah silmiyyah (revolusi aman). Thaurah rakyat Mesir yang amat sabar, sangat mementingkan perdamaian dalam mencapai hak-haknya kerana dia mengetahui bahawa al-Haq itu adalah Allah dan al-‘Adl itu adalah Allah. Dan Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakannya. Sesungguhnya thaurah rakyat Mesir telah menciptakan kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana thaurah. Dalam masa 18 hari sahaja thaurah rakyat Mesir berjaya menyingkirkan rejim diktator yang paling kejam dengan menanggung kerugian yang paling minimum. Itulah kekuatan al-haq, as-sabr dan al-musobarah yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya tanpa mengira usia, kumpulan serta kedudukan. Mereka berpadu demi mencapai kebebasan, mengubah realiti, menyingkirkan kebatilan, membersihkan bumi Mesir daripada kezaliman orang yang zalim. Mereka bersatu berpegang dengan kekuatan al-haq demi memenangkan al-haq.

Apakah gerangannya, setelah kemenangan yang nyata, setelah berjaya menghayati akhlak yang sangat tinggi, yang dikagumi oleh semua bangsa di dunia, suatu bentuk permuafakatan yang cemerlang, perpaduan, kasih sayang, saling bekerjasama antara semua golongan. Kaum muslimin berhimpun menadah tangan memanjatkan doa, mendirikan solat dengan khusyuk, sedang kaum masihiyyin (Kristian) mengawal mereka di Medan Tahrir, medan thaurah. Mereka semua mengambil bahagian dalam mengadu kepada Allah supaya menyelamatkan Mesir dengan kekuatan-Nya dan kekuasan-Nya.

Dia telah berjanji kepada hambaNya yang dizalimi: “Demi kebesaranKu dan keagunganKu, akan Aku tolong kamu walaupun selepas sekian waktu!”. Apakah gerangannya tiba-tiba sekarang kita lihat suatu gambaran yang pelik lagi asing, suatu tindakan menggunakan kekerasan, serangan dan menyakitkan orang dilakukan terhadap orang ramai kerana sebab semata-mata berbeza pendapat sahaja, atau perbezaan uslub, atau hendakkan pencapaian yang cepat tanpa mengukur sebesar mana masalah yang dihadapi oleh negeri ini, yang mana hasil mahsulnya dicuri dan disedut habis-habisan, sumber-sumbernya diperas oleh puak perosak puluhan tahun, perosak yang telah mengaku sendiri bahawa mereka telah membuat kerosakan sampai ke tahap maksimum yang tidak pernah ada bandingannya di dalam sejarah umat.

Sesungguhnya kita yakin bahawa penggunaan cara kekerasan ini merupakan sesuatu yang asing daripada tabiat bangsa Mesir yang penyabar dan suka kepada perdamaian. Kita yakin bahawa di sana ada tangan-tangan tersembunyi yang cuba untuk menggagalkan thaurah, memusnahkan hasilnya, memburukkan wajahnya dan menghasut manusia agar tidak mengiktiraf thaurah dan menyesalinya.

Di sana ada orang yang tidak suka Mesir dan semua negara yang terlibat dengan Arab Spring mendapat kebaikan dan bangkit dari kemunduran. Di sana ada harta yang disogokkan, ada perancangan yang diatur, perancangan jahat untuk menggagalkan semua langkah-langkah thaurah dalam mencapai kebebasan, mengembalikan pembangunan, melawan kerosakan dan menghalau orang-orang yang membuat kerosakan. Di sana ada orang yang ingin mengembalikan keadaan ke zaman kezaliman dan kerosakan, mereka terdiri dari musuh-musuh dari dalam yang mendokong rejim lama, yang mempunyai kepentingan, yang sama-sama makan daripada hidangan yang haram. Juga terdiri dari musuh-musuh luar yang tidak suka kita jadi kuat dan mulia. Mereka menganggap thaurah yang diberkati itu sebagai ancaman paling besar buat mereka kerana mereka kehilangan perbendaharaan strategik, bahkan kita dapati ada serangan yang terancang dihalakan ke arah tentera Mesir yang hebat, yang merupakan perisai dan pedang bukan saja untuk Mesir, malah untuk umat seluruhnya di sepanjang sejarahnya. Maka siapakah sebenarnya yang mempunyai kepentingan dalam hal ini?

Siapakah yang menaja samseng-samseng itu? Siapakah yang merekrut mereka? Siapakah yang menolak mereka untuk menimbulkan kekeliruan bahawa mereka adalah para pendokong thaurah? Ketika berlaku thaurah bulan Januari, semua penunjuk perasaan berhimpun secara aman. Mereka berhadapan dengan kebatilan dengan dada mereka yang tidak bersenjata. Di kalangan mereka ada yang gugur sebagai syuhada’. Mereka tidak menyerang, tidak merosakkan harta benda. Berjuta-juta berhimpun di medan, tidak berlaku satupun serangan atau tindakan yang menyakitkan. Tidak ada kacau bilau. Semuanya bersatu, berkasih sayang, bekerjasama, berkongsi serpihan roti. Mereka berada dalam keadaan teratur, berdisiplin, menjaga kebersihan, mematuhi undang-undang. Matalamat mereka suci, wasilah juga suci. Seluruh dunia melihat wajah-wajah pemuda yang bersih suci membersihkan medan dengan tangan-tangan mereka sendiri selepas thaurah berjaya dan sistem batil tersungkur. Hanya Allah jua yang menumbangkan rejim itu. Demikian laungan para pemuda di Medan Tahrir. Allah jua yang menolong rakyat Mesir menyempurnakan thaurah mereka.

Di manakah semua itu sekarang? Yang berlaku sekarang adalah percubaan untuk meruntuhkan institusi kerajaan dan membakarnya dengan molotov, menghalang lalu lintas, mengganggu urusan manusia, melepaskan peluru ke arah rakyat yang tidak berdosa. Di samping itu mereka mengambil arak, dadah, membuat kekacauan dan merogol. Kita wajib membezakan antara pemuda yang bersih yang terlibat dengan thaurah yang inginkan kebaikan, walaupun mungkin ada yang ingin melihat kesan yang cepat. Kita harus bezakan mereka dengan puak-puak asing yang dipergunakan untuk menggagalkan sistem yang sah, yang dipilih oleh rakyat dengan sabar berlandaskan semangat juang yang tinggi demi kebaikan semua.

Kita mesti faham bahawa perbincangan, perkongsian, kejujuran, keikhlasan, membersihkan jiwa daripada hasutan nafsu atau kepentingan individu yang gopoh, mesti melihat kepada masa depan umat dan masa kini, menyatukan tenaga, itulah satu-satunya jalan untuk pembangunan dan kemajuan, untuk menjayakan percubaan, memberikan harapan dan contoh kepada rakyat di kawasan ini dan alam seluruhnya bagaimana bangsa-bangsa bangkit, bagaimana tamadun dibina, yang dibuat oleh Mesir.

Adapun menggunakan keganasan, tipu muslihat dan perancangan jahat, maka menurut sunnah Allah natijahnya satu. Kami yakin dengan natijah itu.

“Rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan ke atas orang yang menjalankannya.” (Fatir:43)

Daripada celah-celah peristiwa dan dugaan akan terserlah manusia yang membuat pembaikan daripada yang membuat kerosakan. Adapun Mesir, maka sesungguhnya Allah telah pelihara dengan kurnia-Nya jua, dan akan sentiasa memeliharanya dengan kekuasaanNya, dan dengan berkat pujian kepada Rasulullah s.a.w. yang benar lagi dibenarkan.

“Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.” (Ar-Ra’d:17)

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf:21)

Dr Muhammad Badi’

Mursyid Am Ikhwan Muslimin

21 Februari 2013

Olahan dari blog: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/ (Blog Ustazah Maznah Daud)

Sumber asal: http://www.alamatonline.net/l3.php?id=52382

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia