Saya fikir mereka yang cepat-cepat mengatakan pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas sebagai tidak matang dan cepat-cepat pula ingin meminda semula usia 18 tahun naik ke usia 23 tahun, harus membaca semula situasi Undi18 ini dengan sikap yang adil.
Mereka harus membaca semula garis masa dan cermati permasalahan yang membelenggu keberkesanan yang ingin dicapai daripada kelulusan akta ini.
Jika kita lihat dari waktu kelulusan Undi18 hingga ke hari mengundi pada PRU15, kita punyai tempoh waktu kira-kira selama tiga tahun empat bulan untuk lakukan sesuatu terhadap pengundi baharu ini.
Dampak Krisis Covid-19, Politik
Namun demikian, dalam tempoh tiga tahun berkenaan, lebih dua tahun kita berdepan dengan krisis Covid-19 yang memberi dampak sangat besar terhadap keutamaan pihak yang berkaitan.
Ini berlaku khususnya kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan yang merupakan pemegang taruh utama untuk membina kesedaran, pengetahuan dan sikap generasi ini terhadap politik dan demokrasi.
Waktu itu keutamaannya bukan lagi literasi politik, akan tetapi pada akses pendidikan buat pelajar-pelajar yang berkurung di dalam rumah dengan serba kurang peranti dan data Internet. Ini tidak termasuk soal makan minum yang entah cukup atau tidak.
Kita juga jangan terlepas pandang terhadap tindakan elit politik yang tidak bertanggungjawab dalam peristiwa Langkah Sheraton hingga mewujudkan kekacauan politik nasional dalam tempoh waktu yang cukup memenatkan kita.
Waktu ini, yang dikira tidak lagi jumlah pelajar miskin yang mesti segera dibantu, tapi yang dikira adalah berapa jumlah kerusi lagi perlu didapatkan untuk kekal berkuasa.
Gara-gara peristiwa inilah iltizam politik daripada para pembuat dasar telah berubah keutamaannya. Yang menjadi mangsa adalah rakyat terbanyak. Dalam konteks pendidikan politik, para pelajar di usia seawal 15 tahunlah yang menjadi mangsa!
Maka, tempoh tiga tahun yang seharusnya diisi dengan proses-proses pendidikan dan pembentukan tentang kesedaran dan kefahaman terhadap politik dan demokrasi, semuanya gagal berlangsung dengan baik daripada pihak yang sepatutnya.
Didik Pengundi Baharu
Untuk rekod, pada PRU16 yang akan berlangsung pada 5 tahun akan datang (jika tiada lagi krisis politik yang berlanjutan), mereka yang sedang belajar di sekolah menengah berusia 13 tahun ke atas akan menjadi pengundi baharu nanti.
Maka, ruang ini harus kita manfaatkan sebaiknya untuk memberikan pendedahan dan kesedaran terhadap ruang politik dan demokrasi.
Jujurnya saya optimis peranan dan pengaruh yang dapat dimainkan oleh generasi muda ini pada masa akan datang. Namun soalnya, peranan dan pengaruh ini akan membawa negara ini ke mana?
Adakah menjadi sebuah negara yang dikenali kerana kepimpinan yang berintegriti dan hasil mahsul negara yang diagihkan secara saksama?
Atau ia dikenali sebagai sebuah negara yang diketuai oleh pemimpin yang penuh kes korupsi dan perbelanjaan negara yang penuh ketirisan?
Di sinilah menjadi beban besar buat pemegang taruh daripada yang paling dekat dengan pengundi baharu iaitu ibu bapa, keluarga, kawan dan guru mahupun yang jauh jaraknya seperti parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Saya fikir, meletakkan beban semata-mata kepada pak menteri untuk menyelesaikan masalah ini adalah sikap yang sempit dan tidak membawa generasi baharu ke keadaan yang lebih baik, terutamanya mereka yang masih lagi ketinggalan sudut akses dan kualiti pendidikan.
Bukankah ada pepatah yang sebutkan, “It’s take a village to raise a child?” (Ia memerlukan sebuah kampung untuk membesarkan anak)
Maka, ambillah tanggungjawab untuk kita saling berperanan berdasarkan kemampuan yang kita ada dengan bertanggungjawab.
Kita wajar merenung semula pertanyaan yang ditimbulkan oleh Saudara Amin Mubarak, pengarah Ajar Demokrasi, “Bagaimana pihak bertanggungjawab dapat memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial mampu mendapat pendidikan politik ini secara adil dan saksama?”
Jawapannya, ada di tangan kita semua – yang membaca tulisan ini.
Usaid Asmadi
Ketua Penerangan
IKRAM Muda Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.