BANDAR BARU BANGI – Hasil daripada program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji hari ini telah mengemukakan lima resolusi bagi memulih dan memperkukuh kedudukan kewangan institusi tersebut.
Resolusi tersebut berjaya diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang turut hadir ke dialog itu sebagai ahli panel bersama Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tn. Mustakim Mohamad, dalam slot pertama bertajuk Tabung Haji: Pencapaian dan Strategi Masa Depan.

Secara ringkas, berikut ialah lima Resolusi Dialog Ummah yang dikemukakan:
Resolusi Pertama
Mempertahankan Tabung Haji Sebagai Amanah Strategik Umat
Resolusi Kedua
Menyempurnakan Islah Tadbir Urus dan Pembaharuan Institusi
Resolusi Ketiga
Menegakkan Akauntabiliti dan Memastikan Setiap Salah Laku Diambil Tindakan
Resolusi Keempat
Menjadikan Syariah, Integriti dan Ketelusan Sebagai Teras Pengurusan Harta Umat
Resolusi Kelima
Menjadikan RCI Tabung Haji Sebagai Agenda Muhasabah dan Reformasi, Bukan Pertembungan Kaum atau Agama
Dialog Ummah berkaitan isu Tabung Haji ini dihadiri kira-kira 600 peserta, yang dianjurkan oleh Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM), gabungan empat NGO Islam terbesar iaitu Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Slot kedua Dialog Ummah bertajuk Islah Tadbir Urus: Tata Kelola Syariah dan Integriti Kewangan menampilkan Dato’ Khalid Ahmad (Mantan Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia), Dr. Mohamed Hadi Abd Hamid (Penasihat Syariah Bertauliah) dan En. Faiz Ahmad (Pempengaruh Kewangan), yang dihoskan oleh Ustaz Nu’man Hani Jamal.
Slot ketiga Dialog Ummah pula dihoskan oleh bekas pengacara terkenal, Nizal Mohammad, yang membicarakan tajuk Tabung Haji: Muhasabah dan Masa Depan bersama Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Tn. Nurhisham Hussein.
Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji turut disiarkan secara langsung oleh TV AlHijrah, dan boleh ditonton melalui pautan https://www.facebook.com/share/v/1EGrZvLNs1/.




