Resolusi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji

Resolusi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji | IKRAM

 

3 September 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor
Melindungi Institusi • Menegakkan Amanah • Menyempurnakan Islah

MUKADIMAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Kami, para peserta Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji, yang berhimpun pada 3 September 2026, Khamis bersamaan 20 Rabiul Awal 1448 setelah mengikuti pembentangan, perbincangan dan pandangan daripada pimpinan Lembaga Tabung Haji, pakar kewangan dan syariah, tokoh profesional serta pemegang taruh berkaitan;

MENYEDARI bahawa Lembaga Tabung Haji merupakan sebuah institusi strategik umat Islam yang mempunyai kedudukan istimewa dalam membantu umat Islam Malaysia membuat persediaan dan menunaikan ibadah haji serta mengurus simpanan dan pelaburan pendeposit;

MENGINSAFI bahawa amanah menguruskan harta umat Islam merupakan suatu tanggungjawab besar yang hendaklah dilaksanakan berlandaskan prinsip syariah, integriti, profesionalisme, ketelusan dan akauntabiliti;

MENGAMBIL MAKLUM bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji telah mengenal pasti beberapa kelemahan berkaitan kedudukan kewangan, amalan perakaunan, pengurusan pelaburan, tata kelola, konflik kepentingan serta struktur pengurusan yang memerlukan pembetulan dan pembaharuan institusi;

MENGAMBIL MAKLUM bahawa RCI turut berpandangan bahawa Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji pada tahun 2018 merupakan langkah penting dalam memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut;

MENYAMBUT BAIK perkembangan semasa yang menunjukkan kedudukan Tabung Haji semakin kukuh, termasuk peningkatan dana pendeposit, prestasi pendapatan pelaburan serta agihan keuntungan kepada pendeposit sebagaimana dibentangkan dalam bahan program;

DAN MENEGASKAN bahawa pendedahan kelemahan masa lalu tidak boleh dilihat sebagai usaha merendahkan atau melemahkan institusi Tabung Haji, sebaliknya hendaklah menjadi asas kepada proses muhasabah, islah, pemulihan dan pengukuhan institusi.

Maka dengan ini, Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji mengemukakan dan menyepakati lima resolusi berikut:

[RESOLUSI PERTAMA]
MEMPERTAHANKAN TABUNG HAJI SEBAGAI AMANAH STRATEGIK UMAT

Dialog Ummah MENEGASKAN bahawa Tabung Haji merupakan amanah besar umat Islam yang wajib dipertahankan, diperkukuhkan dan dipelihara daripada sebarang bentuk salah urus, penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan atau tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit.

Sebarang pendedahan mengenai kelemahan terdahulu hendaklah dibezakan dengan jelas daripada kedudukan institusi Tabung Haji pada masa kini.

Institusi Tabung Haji mesti dilindungi, manakala sebarang kelemahan atau salah laku dalam pengurusannya mesti diperbetulkan dan dipertanggungjawabkan.

Bahan program menunjukkan dana pendeposit meningkat daripada RM70.2 bilion pada 2017 kepada RM93.4 bilion pada 2025, sementara pendapatan pelaburan bagi 2025 dicatatkan sebanyak RM4.64 bilion dan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus.

Kejayaan pemulihan tersebut hendaklah diperkukuhkan agar keyakinan masyarakat dan pendeposit terhadap Tabung Haji terus dipertahankan.

Prinsip: AMANAH UMAT • KEYAKINAN PENDEPOSIT • KELANGSUNGAN INSTITUSI

[RESOLUSI KEDUA]
MENYEMPURNAKAN ISLAH TADBIR URUS DAN PEMBAHARUAN INSTITUSI

Dialog Ummah MENYERU supaya proses pembaharuan Tabung Haji diteruskan secara menyeluruh berdasarkan syor RCI agar kelemahan yang pernah berlaku tidak berulang.

  • Pengukuhan Akta Lembaga Tabung Haji dan pemantapan struktur, kuasa serta fungsi lembaga.
  • Pelantikan anggota lembaga berasaskan kepakaran dalam bidang kewangan, ekonomi, perbankan dan syariah.
  • Pengurangan risiko campur tangan politik dalam pengurusan institusi dan pengukuhan mekanisme pelantikan yang bebas.
  • Pengukuhan kawalan konflik kepentingan serta pemantauan lebih ketat terhadap penglibatan anggota lembaga dan pengurusan dalam anak syarikat.
  • Pelaksanaan audit forensik terhadap pelaburan tertentu yang dikenal pasti bermasalah.

Bahan program menyatakan bahawa lebih 75 peratus syor RCI telah dan sedang dilaksanakan oleh Tabung Haji. Dialog Ummah menyambut baik perkembangan tersebut dan menyeru agar proses berkenaan diteruskan sehingga terbentuk satu sistem tata kelola yang kukuh, profesional dan berdaya tahan.

Daripada pemulihan kewangan kepada kecemerlangan tata kelola.

Prinsip: ISLAH • GOOD GOVERNANCE • PROFESIONALISME • KEBEBASAN INSTITUSI

[RESOLUSI KETIGA]
MENEGAKKAN AKAUNTABILITI DAN MEMASTIKAN SETIAP SALAH LAKU DIAMBIL TINDAKAN

Dialog Ummah MENEGASKAN bahawa setiap dapatan RCI yang mempunyai asas untuk siasatan lanjut hendaklah ditangani melalui proses audit forensik, penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.

RCI telah membangkitkan persoalan berkaitan kedudukan sebenar aset dan liabiliti, pengiktirafan rosot nilai, amalan perakaunan, pembayaran hibah, pengurusan dan pemantauan pelaburan, tata kelola serta konflik kepentingan dalam struktur pengurusan dan anak syarikat.

“Wrongdoing” mesti dikenal pasti dan “wrongdoers” mesti dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang yang adil.

Dalam masa yang sama, prinsip presumption of innocence dan proses keadilan hendaklah dihormati. Sebarang dakwaan terhadap individu atau pihak tertentu hendaklah ditentukan melalui proses penyiasatan dan kehakiman yang sah.

Prinsip: INTEGRITI • AKAUNTABILITI • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG • KEADILAN

[RESOLUSI KEEMPAT]
MENJADIKAN SYARIAH, INTEGRITI DAN KETELUSAN SEBAGAI TERAS PENGURUSAN HARTA UMAT

Dialog Ummah MENEGASKAN bahawa pengurusan Tabung Haji sebagai institusi umat Islam hendaklah melampaui sekadar pematuhan formal kepada peraturan. Ia mesti dibina di atas prinsip syariah, amanah, profesionalisme, ketelusan dan akauntabiliti.

RCI antara lain membangkitkan persoalan berhubung kedudukan aset dan liabiliti, pembayaran hibah ketika syarat tertentu tidak dipenuhi, penggunaan Realisable Asset Value (RAV) serta isu pematuhan kepada standard perakaunan.

Hal ini menunjukkan bahawa tata kelola sebuah institusi Islam hendaklah dinilai bukan hanya berdasarkan matlamat pelaburannya, tetapi juga melalui proses, struktur, ketelusan dan integriti keputusan yang dibuat.

Dalam kerangka Maqasid al-Shariah, menjaga Tabung Haji merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Hifz al-Mal – pemeliharaan harta.

Menjaga Tabung Haji bermakna menjaga harta umat.

Setiap keputusan pelaburan, pembayaran keuntungan, pengurusan anak syarikat dan penggunaan sumber pendeposit hendaklah mengambil kira kepentingan jangka panjang pendeposit dan generasi umat Islam yang akan datang.

Prinsip: HIFZ AL-MAL • SYARIAH • AMANAH • KETELUSAN

[RESOLUSI KELIMA]
MENJADIKAN RCI TABUNG HAJI SEBAGAI AGENDA MUHASABAH DAN REFORMASI, BUKAN PERTEMBUNGAN KAUM ATAU AGAMA

Dialog Ummah MENOLAK sebarang usaha untuk mengheret persoalan RCI Tabung Haji menjadi polemik perkauman atau pertentangan agama.

RCI hendaklah difahami melalui persoalan asas: siapa diberikan amanah, bagaimana amanah tersebut diurus, apakah kelemahan yang berlaku, apakah terdapat salah laku yang memerlukan tindakan, dan apakah perubahan yang mesti dilakukan supaya perkara sama tidak berulang.

RCI Tabung Haji bukan persoalan Melayu melawan bukan Melayu atau Islam melawan bukan Islam. Ia merupakan persoalan amanah, integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan harta umat Islam.

Pendekatan tersebut penting untuk memastikan masyarakat tidak dialihkan daripada persoalan sebenar RCI, di samping memulihkan keyakinan terhadap Tabung Haji dan memperkukuh budaya akauntabiliti.

Prinsip: MUHASABAH • ISLAH • INTEGRITI • KESATUAN UMAT

Maka KAMI : DEKLARASI DIALOG UMMAH

1. Kami mempertahankan Tabung Haji sebagai amanah strategik umat Islam dan menegaskan bahawa segala usaha memperbaiki institusi ini hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada tuntutan islah dan tanggungjawab kepada umat.

2. Kami menyokong usaha memperkukuh tata kelola, profesionalisme, ketelusan serta integriti Tabung Haji dan menyeru agar syor-syor RCI yang relevan disempurnakan bagi memastikan kelemahan masa lalu tidak berulang.

3. Kami menegaskan bahawa setiap salah laku yang mempunyai asas bukti hendaklah disiasat dan pihak yang bertanggungjawab hendaklah dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang yang adil.

4. Kami menolak sebarang percubaan menjadikan persoalan ini sebagai konflik perkauman atau keagamaan. Bagi kami, persoalan Tabung Haji adalah persoalan amanah, integriti dan perlindungan harta umat.

5. Kami percaya muhasabah terhadap masa lalu bukan bertujuan meruntuhkan institusi, tetapi membolehkan institusi diperbaiki dan diwariskan dalam keadaan yang lebih kukuh kepada generasi akan datang.

DARIPADA KRISIS KEPADA PEMULIHAN
DARIPADA PEMULIHAN KEPADA ISLAH
DARIPADA ISLAH KEPADA INSTITUSI UMAT YANG LEBIH KUKUH

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia