Pada hari ini terbaca satu berita di portal Free Malaysia Today yang bertajuk ‘HKL Doctors raise red flag over Covid-19 Crisis.’ Hati terasa sedih dan sayu.
Berita itu juga memuatkan gambar sepasukan petugas hospital yang sedang membuat CPR kepada seorang pesakit di atas lantai Hospital Kuala Lumpur kerana tiada katil yang kosong. Gambar itu amat memilukan.
Berita tersebut menyatakan bahawa kapasiti di Hospital Kuala Lumpur sudah penuh. Pesakit-pesakit terpaksa di rawat di atas kerusi toda dan jika terpaksa berbaring, di atas lantai hospital.
Maka terfikirlah penulis, kenapakah sampai begitu keadaannya? Adakah kapasiti puluhan hospital swasta di Lembah Klang juga sudah penuh?
Atau tidak ada kepemimpinan (leadership) untuk menyatukan segala sumber, termasuk sumber pihak swasta bagi menangani keadaan kritikal ini?
Kepemimpinan ini harus diambil oleh Menteri Kesihatan, jika tidak pun Perdana Menteri sendiri. Menteri mempunyai kuasa dan pengaruh untuk memanggil semua pimpinan hospital swasta bagi sama-sama menangani situasi yang kritikal ini.
Namun apa yang kita perhatikan, kepimpinan KKM seolah-olah diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Norhisham Abdullah.
Semasa kepimpinan negara bertukar pada awal tahun 2020, apabila Menteri Kesihatan tidak mengambil peranan utama dalam krisis Covid-19 ini, sebaliknya menyerahkan kepada KP KKM, ramai yang fikir itu hanya bersifat sementara.
Sangkaannya selepas sebulan dua, Menteri akan kembali sebagai peneraju utama. Namun selepas lebih satu tahun, tidak muncul-muncul juga Menteri, masih memainkan peranan di belakang tabir.
Perdana Menteri pun seperti membiarkan sahaja Menteri Kesihatannya tidak berperanan.
Persoalan yang ingin ditanya: Tidak malukah Menteri yang mengambil gaji Menteri tetapi tidak membuat kerja Menteri?
Perdana Menteri boleh selamba sahaja membiarkan menterinya tidak buat kerja dan makan gaji buta?
Kabinet boleh sahaja tengok KP KKM bergelut berseorangan bersama dengan pegawai-pegawainya?
Tidak hairan rakyat tularkan tanda pagar #KerajaanGagal.
Wahai Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, di manakah kamu? Kamu nak tunggu khidmat kesihatan jadi bagaimana baru nak sedar dan ‘jengoi’ (munculkan) muka?
Tidak malukah makan gaji buta?
Kepimpinan seorang Menteri Kesihatan yang berfungsi amat diperlukan ketika perkhidmatan kesihatan berada pada keadaan yang amat kritikal.
Jika tidak mampu memimpin KKM, maka wahai Perdana Menteri, carilah Menteri Kesihatan lain yang punyai kemampuan dan kewibawaan.
Jika tiada perubahan yang bermakna, kemungkinan kempen kibar bendera hitam akan mendapat momentum serta sokongan rakyat.
Rakyat sudah lama sangat menderita!
Nahar Md Nor
Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM
(Seorang akauntan bersara yang cintakan negaranya dan ingin melihat ia diperintah secara adil dan rahmah)