‘Detoks’ Mental Yang Sering Dikesampingkan

‘Detoks’ Mental Yang Sering Dikesampingkan | IKRAM

Kita sering mendengar tentang azam baharu setiap kali menjelang tahun baharu. Tidak kurang juga tentang laungan perubahan yang selalunya muncul ketika menjelang awal tahun Hijrah. Hakikatnya, menyandarkan perubahan kepada faktor luaran adalah sesuatu yang rapuh.

Muhammad al-Ghazali, pengarang buku “Jaddid Hayatak” (Perbaharuilah Hidupmu) menyifatkan perubahan disebabkan faktor luaran semata-mata sebagai sebuah ‘ilusi.’

Kata-kata pengarang yang kritis tentang isu-isu yang dihadapi umat Islam ini ada benarnya. Perubahan seseorang perlu datang dari dalam diri sendiri. Lazimnya, perubahan yang berlaku atas kehendak sendiri akan lebih konsisten dan berterusan.

Ketika melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda di Jordan lebih 20 tahun yang lalu, saya telah membeli buku tersebut di kota Amman. Tajuknya yang berbentuk motivasi telah menarik perhatian. Saya masih ingat, Muhammad al-Ghazali menyatakan dalam buku beliau:

“Saya telah membaca buku ‘How to Stop Worrying and Start Living’ karya Dale Carnegie pada tahun 1948. Usai membacanya, saya bertekad mengembalikannya kepada prinsip-prinsipnya yang Islami.”

Penjelasan beliau ini mengujakan saya pada ketika itu untuk membaca dan meneroka asimilasi ilmu antara Barat dan Timur, antara Islam dan selainnya.

‘Detoks’ Mental

Akhir-akhir ini, amalan detoksifikasi (detoks/nyahtoksin) kesihatan makin menjadi pilihan. Pengambilan makanan-makanan atau minuman tertentu dilakukan untuk mengeluarkan toksin dari badan.

Sama ada bermotifkan kesihatan atau kecantikan, seseorang sanggup melakukan apa sahaja. Malah, minuman detoksfikasi telah menjadi amalan popular bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Sementelah, memiliki kesihatan yang baik adalah naluri manusia. Maka, untuk meneruskan kehidupan yang sihat dan memiliki tubuh badan yang sejahtera serta umur yang panjang, ia akan diusahakan sedaya mungkin.

Namun, kesejahteraan fizikal sahaja tidak mencukupi.  Elemen jiwa atau mental juga sangat penting dijaga kesejahteraannya. Malah, hari ini, isu kesihatan mental makin meruncing.

Tekanan hidup dalam pelbagai aspek terutamanya pascapandemik Covid-19 sangat mencabar hingga menyebabkan kesihatan mental masyarakat perlu diberikan perhatian yang sama pentingnya dengan kesihatan fizikal mereka.

Masalah kesihatan mental boleh melanda sesiapa sahaja, tidak kira umur mahupun agama, apalagi bangsa atau jantina. 

Bebanan yang ada di atas bahu boleh dinampak dengan mata, namun bebanan yang ada dalam fikiran dan minda, tiada siapa yang nampak melainkan ada simptom yang menunjukkan kewujudannya.

Oleh itu, ‘detoks’ mental sangat penting untuk diamalkan. Masalah-masalah silam berbentuk persengketaan atau kebencian, pengalaman-pengalaman buruk seperti kecewa, sedih dan kemurungan adalah contoh toksin mental yang menyesakkan. Maka, perkara-perkara inilah yang perlu disingkirkan.

Hal-hal yang berlaku ini mengingatkan saya kepada konsep memperbaharui hidup sebagaimana yang dibincangkan oleh Muhammad al-Ghazali di dalam buku yang dinyatakan sebelum ini.

Menurut beliau, memperbaharui hidup bukan bererti banyak melakukan amal kebaikan sedangkan pada masa yang sama masih meneruskan dengan amalan-amalan yang bersifat toksik.

Pembaharuan hidup yang dimaksudkan oleh Muhammad al-Ghazali adalah penambahbaikan yang dilakukan seseorang untuk jiwanya, mengingat kembali misi dan visi hidupnya, berusaha membangunkan kembali hubungan dengan Allah SWT yang lebih baik disertai amal ibadah yang lebih sempurna.

Hal ini adalah selari dengan maksud kandungan hadis Rasulullah SAW yang boleh dijadikan doa ikrar setiap hari:

“Ya Allah, Engkau adalah Rabku. Tiada ilah selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepada-Mu dengan segenap kekuatan yang aku miliki. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku. Aku mengakui betapa besar nikmat-nikmat-Mu yang tercurah kepadaku; dan aku tahu dan sedar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Maka, ampunilah aku. Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau.”

Kesejahteraan Seimbang

Mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT sahaja tidak cukup, hablumminannas (hubungan dengan manusia) adalah pelengkap kepada hubungan baik dengan Allah SWT. Perkara inilah yang mencantikkan keseimbangan sejahteranya seorang manusia. Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita: 

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ 

 “Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskan (keburukan). Dan pergauilah manusia dengan akhlak yang mulia.” (HR Tirmidzi (1987) dan dia berkata: Hadis Hasan Sahih)

Hidup Untuk Hari Ini

Sebagai sebuah syariat yang dinamis, berkembang dan mampu menyantuni keperluan semasa dan setempat, anjuran untuk umatnya memperbaharui hidupnya adalah sesuatu yang logik dan relevan.

Memperbaharui hidup bermaksud bertaubat dan menginsafi dosa dan kesalahan lalu, percaya dan yakin akan sifat Allah SWT Yang Maha Pengampun dan Penyayang.

Memperbaharui hidup juga bermaksud menenangkan kebimbangan akan masa depan. Kebimbangan pada tahap biasa adalah lumrah.

Pada tahap biasa, kebimbangan boleh menjadi faktor motivasi untuk bertindak ke arah yang lebih baik. Namun, kebimbangan yang berlebihan adalah satu penyakit.

Masyarakat hari ini dilanda dengan penyakit bimbang yang kronik atau dikenali sebagai anxiety. Mungkin disebabkan tekanan hidup yang serba mencabar, sesetengah orang menjadi bimbang dan risau yang tidak boleh dibendung.

Rasulullah SAW pernah berpesan yang bermaksud: 

“Sesiapa daripada kamu yang pada waktu paginya merasakan ketenteraman hati, sihat pada jasmaninya, dia memiliki makanan untuk hari itu, maka sungguh, seakan dunia telah dikumpulkan untuk dirinya.” (HR Tirmidzi, No. 2346, Hadis Hasan)

Dengan kata yang lain, Islam mengajar kita untuk fokus kepada kehidupan hari ini kerana ia adalah yang pasti.

Rasa bimbang dan risau perlu dikawal dengan kefahaman yang jelas tentang konsep kehidupan, hakikat keterbatasan manusia dan yang paling utama ialah kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam mengatur urusan manusia.

Ini bermakna, rasa bimbang akan masa depan merupakan sifat manusiawi yang ada pada setiap orang. Namun, rasa bimbang yang berlebihan akan menjadi racun dan toksik kepada fikiran dan tindakan. 

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW berpesan agar kita memperbetulkan persepsi tentang hakikat kehidupan:
“Wahai manusia, sesungguhnya kaya yang sebenarnya bukanlah banyak/tamak harta, tetapi kaya sejati adalah kaya jiwa. Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan rezeki kepada hamba-Nya sesuai dengan yang telah ditetapkan baginya. Kerana itu, carilah rezeki dengan jalan yang baik. Ambillah yang halal dan tinggalkanlah yang haram.” (HR Abu Ya’la, No. 6583, Hadis Hasan)

Dari Bimbang Kepada Doa

Sebuah kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Kanada mendapati purata bilangan fikiran yang dihasilkan oleh manusia ialah melebihi 6,000 sehari. 

Banyak bukan? Mari renung sejenak, berapa banyak yang kita fikirkan dalam sehari. Yang paling penting, berapa banyakkah fikiran yang berupa kebimbangan dan perkara-perkara yang negatif?

Hakikatnya, manusia ialah hasil fikirannya sendiri. Kalau kita fikirkan kita boleh, maka kita boleh melakukan. Kalau kita fikir kita susah, susahlah yang akan bertamu dalam hidup. Bila kita mahukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, segala usaha akan bergerak ke arah pencapaiannya tanpa bertangguh-tangguh.

Fikiran yang positif dan berasas akan menghasilkan personaliti yang memandang hidup pada sudut yang positif. Namun, positif yang keterlaluan juga boleh merosakkan. 

Rasulullah SAW pernah menziarahi seorang lelaki yang sedang terbaring sakit. Lelaki tersebut merintih kerana demamnya yang tinggi. Kemudian Rasulullah berkata kepada lelaki itu untuk menghiburkan sekali gus memberikan semangat: “Tidak apa-apa, semoga atas izin Allah penyakitmu akan hilang!” Lelaki ini segera menjawab: “Tetapi demam ini sangat kuat, menimpa lelaki tua (pula) dan sebentar lagi aku akan masuk kubur!” Lalu, Rasulullah SAW menjawab: “Jika fikiranmu begitu, maka ia akan terjadi” (HR Bukhari, No. 3616)

Cerita dalam hadis ini memberikan mesej kepada kita tentang kepentingan cara berfikir dan menanggapi sesuatu. Dale Carnegie pernah menyantuni hal ini dengan nukilan berikut:

“Fikiranlah yang membentuk diri kita, lintasan fikiran dalam minda yang pertama kali akan membentuk diri kita.” Ini bermakna, tanggapan kita terhadap diri mahupun orang lain akan membentuk cara kita bertindak.

Satu kebenaran yang tidak dapat disangkal bahawa tidak ada manusia yang sempurna yang seratus peratus baik, begitu juga dengan diri sendiri. Dalam banyak waktu, kita perlu berdamai dengan kekurangan diri, apatah lagi orang lain.

Pada waktu-waktu kegagalan, terimalah keterbatasan diri yang tidak mampu melakukan segalanya. Pada waktu-waktu kekecewaan dengan orang lain, terimalah hakikat bahawa dia juga adalah manusia yang bersifat lemah.

Islam Agama Kesegaran, Pembaharuan

Islam agama yang menganjurkan kesegaran dan pembaharuan. Jika dianalogikan dengan teori dalam ilmu fizik, pergerakan yang konsisten akan mengekalkan keseimbangan. Begitu juga dengan kehidupan manusia.

Dari sudut akidah dan keimanan, seorang Muslim hendaklah selalu mentajdidkan (memperbaharui) keimanannya kepada Allah, sebagaimana yang dikupas oleh Muhammad al-Ghazali tersebut.

Pensyariatan solat lima waktu dan ibadah-ibadah khusus yang lain, tujuannya ialah untuk menyegarkan keimanan dengan kesyukuran dan ikhlas. Kesemuanya menjurus ke arah kesegaran iman kepada Allah SWT.

Dalam konteks hubungan sesama manusia pula, tajdid atau kesegaran bertambah penting. Ini adalah kerana manusia bersifat lemah dan terbatas.

Komunikasi yang menjadi medium utama perhubungan manusia sesama manusia hendaklah sentiasa disegarkan dengan kejelasan, pengulangan dan pemberitahuan.

Rata-rata kita dapati masalah yang timbul sama ada sesama keluarga atau rakan-rakan berpunca daripada komunikasi yang tersasar. Salah tanggapan dan salah faham kadang-kadang boleh merosakkan hubungan sesama manusia.

Maka, apa yang dirasa, diharap atau diinginkan perlulah diulang-ulang kepada yang berkenaan.

Sama ada ucapan syukur, sayang, kasih mahupun harap, ia perlu dibudayakan supaya maklumat tersebut sentiasa segar dan hidup dalam kehidupan sesama manusia.

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) dan Penasihat ILMAN

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia