Demokrasi, Cengkaman Junta dan Masa Depan Myanmar

Demokrasi, Cengkaman Junta dan Masa Depan Myanmar | IKRAM

Myanmar berkemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2025, menurut seorang pegawai kanan dari Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan yang menjadi jurucakap bagi pihak tentera.

Akhbar Global New Myanmar yang disokong kerajaan melaporkan, PRU hanya boleh dilakukan selepas bancian kebangsaan pada 2024. Sehubungan itu, Ketua Junta, Min Aung Hlaing menggesa bancian kebangsaan perlu dilakukan segera. 

Beliau mengatakan bahawa bancian kebangsaan penting untuk memastikan senarai pengundi di negara itu ‘tepat’ dan pemilihan baharu hanya boleh diadakan apabila negara berada dalam keadaan stabil. 

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) berkata, sebarang pilihan raya di bawah junta adalah sandiwara palsu. Segelintir penganalisis menyifatkan pilihan raya ini hanya adalah persembahan semata-mata bagi tujuan meneruskan pegangan kuasa oleh junta.

Beberapa kali keputusan PRU negara tersebut yang telah memenangkan pihak pembangkang, namun tidak direstui oleh pihak tentera Myanmar hingga membawa kepada rampasan kuasa tentera yang tidak asing di negara ASEAN itu. 

Myanmar (dahulu dikenali sebagai Burma) memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1948 sebagai negara demokrasi berparlimen, namun dilanda ketidakstabilan politik apabila perang saudara berlarutan.

Pertempuran antara kerajaan pusat yang didominasi majoriti Bamar dan pertubuhan bersenjata etnik (EAO) di tujuh negara etnik tidak pernah berhenti sepenuhnya sejak negara itu mencapai kemerdekaan.

Sekitar tahun 1958 hingga 1960, pihak tentera membentuk kerajaan sementara atas perintah perdana menteri negara ketika itu.

U Nu yang dipilih secara demokratik bagi menyelesaikan pertikaian politik. Tentera secara sukarela melakukan usaha memulihkan kerajaan awam setelah mengadakan PRU pada tahun 1960. 

Bagaimanapun, pada tahun 1962 tentera merampas kuasa kerajaan di bawah pimpinan Ne Win dan Myanmar berada di bawah pemerintahan tentera selama 26 tahun.

Kemenangan besar oleh Aung San Suu Kyi dan parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan beliau dalam PRU 1990 juga dinafikan oleh tentera, yang memegang kuasa selama 25 tahun lagi sehingga NLD menang sekali lagi dalam pilihan raya umum 2015.

Walau bagaimanapun, tentera masih mengekalkan kuasa besar, termasuk hak untuk melantik seperempat anggota Parlimen.

Rampasan kuasa pada tahun 2021 berlaku setelah PRU pada 8 November 2020. NLD memenangi 396 dari 476 kerusi di parlimen iaitu kemenangan yang lebih besar berbanding pada pilihan raya 2015.

Parti proksi tentera, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan hanya memenangi 33 kerusi. Tentera membantah keputusannya dengan mendakwa bahawa pengundian itu palsu sebagai alasan mewajarkan tindakan rampasan kuasa. 

Myanmar terus bergolak dan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 yang menyaksikan pemimpin dipilih rakyat Aung San Suu Kyi digulingkan dan ditahan tentera Myanmar.

Ia sekali gus menamatkan demokrasi di negara itu dan mencetuskan bantahan di seluruh negara selain masyarakat antarabangsa.

Lanjutan daripada itu, darurat diisytiharkan dan berlangsung selama dua tahun. Berdasarkan perlembagaan 2008, darurat hanya boleh dilanjutkan sebanyak dua kali. 

Ini bermakna tempoh darurat sepatutnya berakhir pada 31 Januari 2023 dan pilihan raya umum negara mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas itu iaitu menjelang 1 Ogos 2023. 

Pada Februari lalu, pihak tentera Myanmar mengumumkan tentang lanjutan enam bulan darurat yang membawa kepada penangguhan pilihan raya yang sepatutnya dijadualkan pada Ogos ini. Nampaknya PRU negara itu dilengahkan sekali lagi.

Penentangan terhadap pemerintahan junta Myanmar semakin memuncak dan berkemungkinan PRU akan mencetuskan lebih banyak pertumpahan darah.

Pilihan raya sentiasa menjadi perkara yang sangat kontroversi dan menambah ketidakstabilan di negara itu.

Ketika berlaku penentangan untuk menolak pilihan raya, tersebar spekulasi berlaku serangan pusat mengundi dan pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang orang ramai daripada turun mengundi. 

Sejak melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar telah bertindak melakukan kekejaman di seluruh negara terhadap berjuta-juta orang yang menentang pemerintahannya.

Pasukan keselamatan junta telah melakukan pembunuhan besar-besaran, penangkapan sewenang-wenangnya, penyeksaan, keganasan seksual dan penderaan lain yang menyamai jenayah terhadap kemanusiaan. Kebebasan bersuara dan berhimpun akan menghadapi tindak balas yang buruk.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) melaporkan bahawa operasi ketenteraan memusnahkan sehingga 30,000 infrastruktur awam, termasuk sekolah di Magway dan Wilayah Sagaing, serta di Kachin, Shan, Karen, dan Karenni States. 

OHCHR berkata, sejak rampasan kuasa, sekurang-kurangnya 382 kanak-kanak telah dibunuh.

Terdapat 266 kematian lain yang dilaporkan berikutan serbuan dan penangkapan di kampung dan 111 lagi dilaporkan kes di mana mangsa dibakar hidup-hidup atau berlaku pembunuhan di luar undang-undang, dalam percubaan nyata untuk memusnahkan bukti jenayah.

Konflik di Myanmar telah menyebabkan hampir sejuta orang kehilangan tempat tinggal sejak rampasan kuasa dengan beratus-ratus ribu orang menjadi pelarian di negara jiran.

Junta turut menyekat bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh berjuta-juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal.  Tindakan junta menghalang bantuan kemanusiaan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pasukan keselamatan mengenakan sekatan perjalanan baharu ke atas pekerja kemanusiaan, menyekat jalan masuk dan konvoi bantuan, memusnahkan bekalan yang bukan untuk tentera, menyerang pekerja bantuan dan menutup perkhidmatan telekomunikasi. 

Tentera bukan sahaja telah menyerang kemudahan kesihatan dan pekerja perubatan, tetapi merampas penghantaran makanan dan bekalan perubatan dalam perjalanan ke tapak perpindahan serta menangkap orang yang disyaki menyokong usaha bantuan.

Rantaian bekalan yang terganggu, peningkatan harga, kekurangan bekalan barangan dan kehilangan akses kepada mata pencarian pertanian telah menambah lagi krisis kekurangan makanan di seluruh negara. 

Myanmar telah menghadapi ketidaktentuan yang melampau sejak rampasan kuasa. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan 11 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk.

Junta telah memperkenalkan peraturan baharu yang memerlukan penerima bantuan mengemukakan kad pengenalan sebagai syarat menerima bantuan tunai. 

Myanmar terus-menerus diselubungi konflik bersenjata, pemberontakan, huru-hara dan anarki yang semakin teruk. 

Walaupun seruan berulang kali dilakukan oleh ASEAN, PBB serta negara-negara lain bagi menghentikan keganasan, melindungi hak asasi manusia dan menghormati proses demokrasi, pihak junta Myanmar tidak menunjukkan tanda untuk melakukan konsesi politik atau rundingan.

Kemelut di Myanmar seperti belum nampak lagi penghujungnya. 

Sumber:

  1. https://www.brookings.edu/articles/the-civil-war-in-myanmar-no-end-in-sight/
  2. https://reliefweb.int/report/myanmar/civil-war-myanmar-2023-conflict-diagnostic
  3. https://www.hrw.org/world-report/2023/country-chapters/myanmar

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia