Daurah ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan mereka serta meningkatkan komitmen para murabbi dalam proses tarbiah di SRI-SMI . Peranan dan tanggungjawab para murabbi sangat penting dalam konteks membangun serta membina generasi rabbani yang akan mewarisi kesinambungan kelangsungan ketamadunan Islam pada masa hadapan.
Pegawai Tarbiah IKRAM, Ust Abdul Muhaimin Mohd Sahar menyampaikan pengisian utama dalam daurah tentang usaha-usaha pentarbiahan SRI-SMI, kaedah penentu keberkesanan proses pentarbiahan serta kewajipan dan kemahiran murabbi contoh. Sesi perkongsian pemerkasaan tarbiah dan bengkel-bengkel turut diadakan bagi memberi pendedahan, berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengendalian program tarbawi di SRI-SMI di kalangan murabbi.
Daurah ini berakhir dengan beberapa resolusi untuk dilaksanakan oleh para murabbi SRI-SMI. Antara resolusi tersebut ialah para murabbi hendaklah berusaha sedaya upaya untuk membangunkan dan mengaktifkan program tarbiah Islamiah yang berpandukan Modul Tarbiah IKRAM-MUSLEH sekaligus menjadi qudwah kepada pelajar.
Selain itu, para murabbi diminta mempelajari secara serius kaedah serta pendekatan tarbiah Islamiah yang berkesan dan seterusnya mengaplikasikan kaedah tersebut kepada mutarabbi untuk mempercepatkan hasil penerimaan dakwah di kalangan pelajar. Para murabbi juga seharusnya memahami serta menguasai dengan cekap kemahiran-kemahiran ilmu dakwah sebagai wasilah yang berkesan untuk menyebarluaskan dakwah Islamiah di kalangan pelajar.