Keberkatan ialah kebaikan yang melimpah serta terus-menerus dan keberkatan bersahur itu sungguh banyak. Maka sewajarnya pada bulan mulia ini, kita berusaha meraihnya. Rasulullah Salallahualaihiwasallam bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.” (HR Bukhari [1923] dan Muslim [1095])
Antara keberkatan makan sahur yang boleh kita gapai ialah:
1. Ibadah kepada Allah Subhanahuwataala.
2. Menghidupkan sunnah Rasulullah Salallahualaihiwasallam.
3. Lebih menguatkan orang yang berpuasa untuk dapat berpuasa sehingga terbenam matahari dan tetap melakukan ibadah-ibadah yang lain.
4. Memudahkan solat subuh berjemaah kerana itulah disunatkan bersahur mendekati waktu subuh.
5. Membezakan puasa kita dengan Yahudi dan Nasrani. Rasulullah Salallahualaihiwasallam bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahlul kitab adalah bersahur.” (HR Muslim [1096])
6. Memanfaatkan waktu terbaik untuk berdoa dan memohon keampunan kepada Allah pada waktu sahur.
Ini kerana sepertiga malam yang terakhir adalah waktu terbaik dan mustajab untuk berdoa dan makan sahur itu adalah ibadah. Maka merugilah orang yang membiarkan waktu sahur itu berlalu begitu sahaja.
7. Mendapat selawat daripada Allah Subhanahuwataala dan malaikat sebagaimana sabda Rasulullah Salallahualaihiwasallam:
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
“Sahur adalah makan yang penuh berkat, maka janganlah kamu tinggalkan walau seorang daripada kamu hanya meminum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah Azzawajalla dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang yang makan sahur.” (HR Ahmad [11396] dan Ibnu Hibban [3467])
Selawat Allah Subhanahuwataala kepada para hamba-Nya merangkumi kemaafan-Nya, rahmat-Nya dan ampunan-Nya dicurahkan untuk mereka.
Adapun selawat malaikat kepada manusia adalah dengan mendoakan dan memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahuwataala untuk mereka.
8. Mendapat pahala ibadah makan sahur kerana meneladani Rasulullah Salallahualaihiwasallam.
9. Menambahkan kekuatan, semangat dan menghilangkan kemalasan yang disebabkan oleh rasa lapar.
Ayuh kita bersama-sama bersahur dan meluangkan masa untuk beribadah, berzikir dan berdoa agar kita dapat meraih keberkatannya.
Rujukan:
[1] Syarhu Riyadhis Shaalihin, 5/284-285
[2] Fathul Baari. 4/140
[3] Kitab Fiqh Puasa