Dakwah bil hal, bukan buat hal!

Dalam usaha menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat majmuk, salah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah ialah kita bukan sahaja ingin menang hujah, tetapi yang lebih utama adalah memenangi hati orang yang kita dakwahkan.

 

Di sini kita memahami betapa pentingnya aspek akhlak dalam pelaksanaan dakwah. Walaupun mungkin hujah kita tidak sehebat mana, namun jika kita mempamerkan akhlak yang mulia, itu pun sebenarnya sudah boleh menjadi senjata ampuh untuk menambat hati mereka.

 

Lazim kita mendengar bahawa orang bukan Islam tidak melihat agama Islam melalui al-Quran, tetapi mereka melihat Islam melalui akhlak orang Islam. Pernyataan ini mungkin ada kebenarannya.

 

Malah antara punca utama salah tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam adalah kerana amalan dan tingkah laku orang Islam sendiri yang tidak mencerminkan ajaran Islam.

 

Kata mereka, “Saya lihat ramai orang Melayu hisap dadah, jadi mat rempit, buang anak, beri dan terima rasuah, minum arak, malah guna kata-kata yang kasar dan biadap. Bagi saya Islam bukan agama yang baik…”

 

Beberapa tahun dahulu pernah juga saya bertemu dengan seorang bukan Islam yang ingin bersyahadah. Saya bertanya kepada beliau, “Apa yang menyebabkan tuan berminat untuk memeluk Islam?”

 

Beliau menjawab, “Saya sebenarnya mempunyai beberapa orang pekerja Muslim di syarikat saya. Saya melihat akhlak mereka begitu baik dan mereka juga taat melaksanakan ibadah agama mereka. Saya dapat rasakan Islam adalah agama yang baik untuk saya. Sebab itu hati saya terbuka untuk menerima agama Islam…”

 

Apa itu dakwah bil hal?

 

Segala pengalaman ini menambah keyakinan kita betapa pentingnya aspek akhlak dalam berdakwah. Malah dakwah bil hal adalah salah satu pendekatan yang efektif untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada agama Islam. Apakah itu dakwah bil hal?

 

Secara biasa dakwah bil hal boleh difahami sebagai dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik. Pada hakikatnya dakwah bil hal adalah pelaksanaan dakwah bil qudwah (keteladanan) dan dakwah bil amal (perbuatan).

 

Dengan kata lain, dakwah bil hal adalah dakwah yang dilakukan melalui penampilan kualiti peribadi dan aktiviti-aktiviti yang secara langsung menyentuh keperluan masyarakat.

 

Dalam hal ini, kita boleh menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan. Dengan usaha dakwah baginda melalui akhlak jualah yang kemudiannya telah menarik ramai orang-orang di sekeliling baginda pada waktu itu untuk memeluk agama Islam.

 

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah insan terbaik pilihan Allah kerana baginda mempunyai akhlak yang sangat mulia, sama ada kepada kawan mahupun lawan baginda.

 

Malah sebelum menjadi rasul, baginda mendapat gelaran ‘Al-Amin’ kerana sifat amanah yang terdapat pada diri baginda. Menariknya gelaran ini tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum dan selepas baginda.

 

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

 

“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar mempunyai akhlak yang agung.” (Al-Qalam 68 : 4)

 

Malah antara tujuan Rasulullah SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dalam kalangan manusia.

 

Daripada Abu Hurairah RA, baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan al-Hakim).

 

Hisyam bin Amir pula pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Rasulullah SAW menjawab bersin

 

Melalui sirah, kita boleh dapati beberapa kisah yang memaparkan kebaikan tingkah laku Rasulullah SAW terhadap orang bukan Islam. Sebagai contoh, pada suatu ketika orang-orang Yahudi pernah bersin di hadapan baginda.

 

Mereka berharap supaya baginda mengucapkan “Yarhamukumullah” (semoga Allah merahmatimu). Namun baginda mengucapkan perkataan yang lebih baik kepada mereka iaitu “Yahdikumullah wayuslihu baalakum” (semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperbaiki urusanmu).

 

Kisah ini diceritakan oleh Abu Musa al-Asy’ari RA dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud dan Tirmidzi.

 

Rasulullah SAW ziarah budak Yahudi

 

Nabi Muhammad SAW turut memberikan layanan baik kepada orang bukan Islam seolah-olah mereka adalah ahli keluarga baginda. Melalui Anas bin Malik RA, pernah ada seorang budak Yahudi yang menjadi pembantu kepada Nabi SAW yang kemudiannya jatuh sakit.

 

Kemudian baginda pun pergi menziarahi budak Yahudi tersebut dan duduk di sisi kepalanya sambil berkata, “Terimalah Islam.” Lantas budak itu memandang ke arah ayahnya yang berada di sisinya.

 

Si ayah pun berkata, “Taatlah kepada kata-kata Abu al-Qasim!” Lalu budak itu pun memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW pun keluar seraya berkata, “Segala pujian itu adalah untuk Allah yang telah menyelamatkannya daripada api neraka.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

 

Rasulullah SAW dan jenazah Yahudi

 

Dalam hadis riwayat Muslim pula, pernah satu ketika satu jenazah orang Yahudi diusung berdekatan Nabi SAW, lalu baginda bangun. Ada sahabat berkata kepada baginda, “Ia adalah jenazah orang Yahudi.” Maka baginda menjawab, “Bukankah dia juga seorang manusia?”

 

Nah, kita lihat begitu tinggi akhlak Nabi SAW yang memuliakan orang bukan Islam, walaupun mungkin orang Yahudi itu sewaktu hidupnya adalah seorang yang membenci Islam, malah mungkin pernah menyakiti baginda!

 

Akhlak Nabi Muhammad SAW yang memuliakan sesama manusia ini bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah sendiri memuliakan manusia ciptaan-Nya, tidak kira orang itu beragama Islam mahupun bukan beragama Islam.

 

Kemuliaan ini adalah dalam konteks pemberian rezeki yang baik-baik dan kelebihan-kelebihan lain yang diberikan kepada mereka dalam kehidupan di dunia. Firman Allah yang bermaksud:

 

“Dan sungguh, Kami telah MEMULIAKAN anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.” (Al-Israa’ 17 : 70)

 

Rasulullah SAW dan musuh

 

Rasulullah SAW turut menunjukkan akhlak yang mulia kepada individu bukan Islam yang memusuhi baginda. Sebagai contoh, dalam satu kisah daripada Anas bin Malik r.a., seorang Yahudi melalui depan Rasulullah SAW lalu dia berkata, “Assamu’alaikum” (maut ke atas kamu).

 

Lalu Rasulullah SAW bertanya sahabat, “Adakah kamu dengar apa yang dia kata?” Sahabat baginda menjawab, “Dia berkata ‘assamu’alaika’, adakah kami perlu membunuhnya wahai Rasulullah?”

 

Baginda berkata, “Jangan. Jika ahli kitab memberi salam ke atas kamu, maka kamu jawablah sahaja ‘wa’alaikum’ (dan ke atas kamu juga).” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.

 

Rasulullah SAW dan wanita Yahudi

 

Dalam peristiwa lain, seorang wanita Yahudi telah datang bertemu Rasulullah SAW dengan membawa daging biri-biri yang beracun, lalu baginda pun memakannya. Kemudian wanita itu dibawa bertemu baginda, maka baginda bertanya tujuan wanita tersebut berbuat demikian.

 

Wanita Yahudi tersebut menjawab, “Aku mahu membunuhmu.” Rasulullah SAW menjawab, “Allah tidak akan mengurniakan kekuatan kepadamu untuk melakukannya.” Para sahabat bertanya kepada baginda, “Perlukah kita membunuhnya?” Baginda menjawab, “Tidak.” Kisah ini juga diceritakan oleh Anas bin Malik RA dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

 

Rasulullah SAW dan penduduk Taif

 

Akhlak mulia Rasulullah SAW bukan sahaja kepada individu, malah juga kepada kaum yang menentang dakwah baginda.

 

Dalam kisah yang masyhur, selepas kematian Khadijah RA dan Abu Talib (isteri dan bapa saudara Rasulullah SAW) pada tahun ke-10 kenabian, Rasululllah SAW dengan ditemani oleh Zaid bin Haritsah RA pergi berdakwah kepada Bani Thaqif di Taif.

 

Selama 10 hari di sana, baginda bukan sahaja dicerca dan dihina, malah akhirnya baginda dibaling batu sehingga mendapat kecederaan oleh budak-budak yang diupah oleh pemuka Bani Thaqif untuk menyakiti baginda.

 

Kemudian datang malaikat gunung yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Muhammad, sekiranya engkau mahu, aku akan timpakan dua gunung itu (dua bukit yang terdapat di Mekah) ke atas mereka.” Baginda menjawab dengan sabdanya:

 

“Bahkan aku berharap agar Allah akan melahirkan daripada kalangan mereka itu seorang hamba yang hanya akan menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Begitu lembut hati Nabi SAW Baginda tidak sedikit pun ada rasa ingin membalas dendam terhadap orang-orang yang menyakitinya. Walaupun baginda mendapat tawaran daripada malaikat untuk menghancurkan Bani Thaqif, namun baginda tetap mendoakan kebaikan dan hidayah untuk mereka.

 

Rasulullah SAW pasca perang Uhud

 

Kita lihat pula dalam peristiwa Perang Uhud. Umat Islam mengalami kekalahan dan ramai sahabat mati syahid. Antara mereka ialah bapa saudara Rasulullah SAW yang sangat baginda kasihi iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib.

 

Dalam keadaan kesedihan, baginda tetap mendoakan kebaikan untuk kaum kafir Quraisy yang sangat memusuhi baginda dan tidak menaruh dendam terhadap mereka. Baginda SAW memohon kepada Allah:

 

“Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Riwayat al-Baihaqi)

 

Pengiktirafan akhlak Rasulullah SAW

 

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW ini diakui oleh orang bukan Islam termasuk mereka yang pernah menentang dakwah baginda.

 

Dalam satu kisah yang panjang yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, seperti yang diceritakan oleh Ibnu Abbas RA, pernah berlaku dialog di antara Abu Sufyan bin Harb, seorang tokoh kafir Quraisy dengan Heraklius, pemerintah kerajaan Rom setelah berlakunya peristiwa Perjanjian Hudaibiah.

 

Mereka berbincang tentang pengakuan Muhammad sebagai utusan Allah. Setelah mendengar penerangan daripada Abu Sufyan, Raja Heraklius akhirnya berkata, “Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia perintahkan kepada kamu, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kamu untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri daripada perbuatan buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah. Ini adalah antara sifat-sifat seorang Nabi.”

 

Pengiktirafan terhadap ketinggian akhlak Rasulullah SAW turut diberikan oleh tokoh-tokoh bukan Islam pada zaman moden. Pierre Montet, seorang profesor di Geneve University pernah menulis di dalam bukunya bertajuk Muhammad seperti berikut, “Dia (Muhammad) seorang yang mulia budi pekertinya, baik pergaulannya, manis tutur katanya, adil pertimbangannya dan benar ucapannya.”

 

Edward Gibbon (1737-1794) yang dianggap sebagai sejarawan Inggeris terbesar pada zamannya pula menulis di dalam bukunya History of the Saracen Empire, “Kejayaan hidup Muhammad yang luar biasa disebabkan oleh kekuatan akhlak semata-mata, tanpa pukulan pedang.”

 

Manakala Clement Huart (1854-1927), seorang orientalis berbangsa Perancis menulis di dalam salah satu bukunya, “Peribadi Muhammad mempunyai martabat yang tinggi dan sangat terkenal kejujurannya. Baginda merupakan teladan tertinggi dalam segala perkara, khususnya dalam soal kesabaran, ketabahan dan kemantapan tekadnya.”

 

Contoh akhlak baginda

 

Maka sebagai umat Nabi Muhammad SAW, menjadi tanggungjawab kita untuk mencontohi akhlak baginda, bukan sekadar terhadap saudara seagama, malah lebih utama lagi akhlak mulia kita adalah kepada mereka yang berlainan agama dengan kita jika kita ingin menarik mereka kepada agama Islam.

 

Telah terbukti bahawa dengan akhlak yang mulia, ia boleh mendatangkan imej yang baik terhadap agama Islam. Jika akhlak buruk yang kita pamerkan walau sebijak mana kita berkata-kata, sudah tentu ia boleh pula menjejaskan reputasi agama Islam di mata mereka.

 

Pendek kata, kita dakwah bil hal, bukan buat hal!

 

Sampaikan Islam, Perkasakan Mualaf.

 

Wan Muhammad Wan Ibrahim

Hidayah Centre Foundation

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia