Bagaimana memupuk cinta Ramadan kepada anak-anak

Pepatah Melayu ada menyebut bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang bermaksud, mendidik anak, biarlah bermula sewaktu mereka masih kecil lagi. Begitu jugalah apabila kita ingin memupuk rasa suka dan cinta anak-anak kepada bulan Ramadan. 

 

Sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi, ibu bapa seharusnya mengambil peranan memperkenalkan bulan Ramadan kepada anak-anak melalui pelbagai aktiviti secara santai.

 

Antara yang boleh dilakukan bersama-sama dengan anak-anak adalah aktiviti bercerita, menonton video berkaitan Ramadan bersama dan aktiviti kraftangan Ramadan bersama anak-anak.

 

Malah aktiviti seharian seperti memasak juga boleh diolah oleh ibu dan ayah bagi memperkenalkan bulan Ramadan kepada mereka dalam suasana yang ceria. 

 

Ramadan tetamu agung

 

Apabila Ramadan semakin mendekat, gambarkan kepada anak-anak bahawa Ramadan adalah tetamu istimewa keluarga kita. Bangkitkan rasa ternanti-nanti anak-anak kepada bulan yang dalamnya terkandung pelbagai kelebihan ini.

 

Ceritakan kepada mereka apakah ciri-ciri bulan Ramadan yang sangat istimewa dan tiada pada bulan-bulan yang lainnya seperti Malam al-Qadar (Lailatulqadar)  yang mana lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang Allah lipat gandakan pahala kepada hamba-Nya yang beribadah serta 1,001 kebaikan lagi yang boleh diceritakan. 

 

Lazimnya apabila kita bakal menerima tetamu, sudah pasti perkara pertama yang terdetik dalam benak kita adalah untuk merapikan rumah agar sedap mata memandang dan selesa sewaktu kehadiran mereka nanti.

 

Ambil peluang ini untuk mengajak anak-anak mengemas rumah bersama-sama dan dan berbincang serta rancang bersama mereka bagaimana untuk menghias rumah bagi menyambut tetamu agung ini.

 

Apabila kita memberi tanggungjawab kepada mereka dan mengambil kira pandangan mereka, anak-anak akan merasakan mereka penting dan diperlukan oleh kedua-dua ibu bapa. Ini dapat meningkatkan self esteem (harga diri) mereka dan mengeratkan lagi hubungan antara ibu ayah dan anak-anak. 

 

Selain membangkitkan rasa ternanti-nantikan Ramadan dalam kalangan keluarga kita, boleh juga kita mengajak anak-anak untuk menyediakan cenderahati untuk diberikan kepada jiran-jiran, kawan-kawan mahupun kepada guru-guru mereka.

 

Dengan ini, kita dapat memberi galakan kepada anak-anak kita untuk menyebarkan kebaikan yang kita tanamkan dalam diri mereka kepada orang sekeliling mereka juga. Untuk lebih menarik, titipkan juga dengan nota atau kad ucapan bersama cenderahati yang kita ingin berikan. 

 

Ramadan bulan al-Quran

 

Sungguh istimewa bulan Ramadan kerana Allah SWT telah menurunkan al-Quran pada bulan tersebut. Ini dapat kita lihat dalam firman Allah yang bermaksud: 

 

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu ada pada bulan itu, maka berpuasalah. Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

 

Mari kita ambil peluang ini untuk memberikan motivasi kepada anak-anak kita untuk lebih dekat dengan al-Quran bermula dari bulan Ramadan. Mudah-mudahan tabiat melazimi bertilawah dalam bulan Ramadan boleh mereka teruskan pada bulan-bulan selainnya.

 

Galakkan mereka dengan bertilawah, bertadarus dan mentadabbur al-Quran bersama-sama sebagai satu keluarga. Tentu suasananya lebih meriah jika kita lakukan bersama-sama berbanding jika kita hanya menyuruh mereka membaca al-Quran secara sendirian. 

 

Letakkan sasaran kepada anak-anak kita mengikut kemampuan mereka. Jika ada di antara anak-anak kita yang sudah lancar dan mampu membaca al-Quran satu juz sehari, maka beri mereka galakan untuk berbuat demikian.

 

Jika ada yang belum mampu, berbincang bersama mereka untuk sama-sama dapatkan persetujuan sebelum sasaran ditetapkan.

 

Ini memberi peluang kepada anak-anak untuk berasa bertanggungjawab akan keputusan yang bakal mereka ambil. Kita sebagai ibu bapa hanya sebagai pendorong. Apabila mereka melakukan dengan rela, insya-Allah mereka akan rasa lebih seronok dan bersemangat. 

 

Ibu dan ayah juga boleh mengambil peluang mentadabbur ayat-ayat al-Quran bersama anak-anak setiap hari atau pada masa yang sesuai. Ini bagi meningkatkan lagi kefahaman anak-anak serta membangkitkan rasa suka kepada al-Quran dalam diri mereka.

 

Biarlah sesi yang berlaku secara santai dan dalam keadaan gembira. Bagi anak-anak yang lebih kecil, boleh disetkan tema-tema tertentu untuk mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dan diterjemahkan pula dalam bentuk ‘art and craft’. 

 

Ramadan bulan bersedekah

 

..Baginda SAW ditanya, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: “Sedekah pada bulan Ramadan.” (HR Tirmidzi, No. 663, Status: Daif)

 

Sepotong hadis ini cukup untuk memberikan motivasi agar terus bersedekah pada bulan Ramadan. Tiada digariskan bahawa nilainya mesti sedikit atau banyak. Apa yang pasti, semua orang dianjurkan untuk bersedekah, sama ada sedikit mahupun banyak. 

 

Galakan ini boleh juga kita terapkan dalam diri anak-anak kita agar dapat kita suburkan rasa ingin memberi serta membantu orang lain yang memerlukan. Melalui amalan bersedekah, secara tidak langsung kita mengajar anak-anak kita untuk berkongsi dan mengikis perasaan tamak dalam diri mereka. 

 

Tunjukkan kepada anak-anak kita bahawa amalan memberi atau bersedekah ini mudah dan tidak menyusahkan. Setiap hari apabila ibu-ibu memasak, lebihkan sedikit. Apabila hampir tiba waktu berbuka, mohon anak-anak kita berikan kepada jiran sebagai juadah berbuka.

 

Mungkin berikan sehari satu rumah. Apabila cukup 30 hari berpuasa, telah ada 30 buah rumah yang telah kita santuni. Secara tidak langsung, kita dapat mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga.

 

Antara lain yang boleh dilakukan bersama anak-anak di rumah adalah, sediakan tabung untuk setiap anak menderma setiap hari atau mengikut kemampuan mereka.

 

Perkara ini boleh dirancang bersama dan apabila tiba penghujung Ramadan, duit yang terkumpul boleh diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

 

Sangat banyak amal kebaikan yang dapat kita suburkan dalam diri kita dan anak-anak kita bermula pada bulan Ramadan ini. Semoga ia menjadi amal berterusan setelah Ramadan berlalu pergi. 

 

Ramadan pengerat kasih

 

Bulan Ramadan boleh digunakan oleh kedua-dua ibu bapa untuk mengeratkan kasih sayang antara keluarga. Aktiviti berbuka puasa bersama boleh dijadikan momen indah bagi meraikan anak-anak yang baharu belajar berpuasa dengan memberi ganjaran kepada mereka dengan memasak makanan kegemaran mereka umpamanya.

 

Bagi anak-anak yang sudah remaja, galakkan mereka membantu di dapur agar momen berbuka puasa lebih seronok kerana mereka dapat sama-sama menghidangkan juadah hasil air tangan mereka kepada ahli keluarga yang lain. Ini juga suatu peluang buat mereka untuk meraih sebanyak-banyak pahala dalam bulan yang mulia ini. 

 

Bulan Ramadan adalah bulan untuk kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT, namun kita tidak mahu mendapatkan takwa dalam keadaan berseorangan. Kita mahu membawa seluruh ahli keluarga kita bersama-sama dengan kita.

 

Jika kita tidak mulakan hari ini,pada Ramadan kali ini, tiada siapa pun yang mampu memberikan kita jaminan bahawa kita bakal berjumpa Ramadan sekali lagi pada tahun hadapan. 

 

Akhirnya, sama-sama kita terus berdoa agar Allah izinkan Ramadan menjadi tetamu kita lagi pada tahun ini.

 

“Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan.”

 

Roselinee Mohammad Radzi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia