Buta itu di mata atau di hati?

Firman Allah dalam Surah an-Naml ayat 40 bermaksud: 

..berkatalah ia (Nabi Sulaiman): “Ini ialah limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”

 

Nikmat satu ujian

 

Segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya adalah semata-mata untuk menguji mereka.

 

Yang miskin diberi kemiskinan untuk diuji sejauh mana dia tetap meyakini kewujudan Allah Yang Maha Kaya memberikan rezeki.

 

Yang kaya diberi kemewahan untuk diuji sejauh mana dia tetap bersyukur dan bermurah hati untuk menginfakkan sebahagian daripada rezeki kepada orang yang memerlukan.

 

Ada dua kisah yang ingin saya kongsikan berkenaan dua orang anak muda yang memperjuangkan hidupnya dengan al-Quran walau dalam serba kekurangan.

 

Kisah pertama diambil daripada seorang kanak-kanak perempuan yang buta di Indonesia, manakala yang kedua adalah tentang seorang pemuda Syria yang mengalunkan ayat al-Quran saat sedang di bilik pembedahan.

 

Hafizah buta

 

Pernahkah kalian mendengar cerita tentang seorang peserta yang bernama Kayla dalam pertandingan Hafiz Indonesia 2018?

 

Kisah perjuangan anak kecil berumur sembilan tahun itu menjadi inspirasi buat semua juri dan penonton termasuk saya sendiri yang menyaksikannya di YouTube. Kayla disahkan buta sejak kecil, tetapi kuasa Allah, adik-adiknya yang lain normal. 

 

Setiap hari dia akan bertanya kepada ibunya, “Adakah adik-adik boleh melihat?” Perjalanan Kayla dalam mempelajari dan menghafaz al-Quran tidak mudah. Dia terpaksa tinggal dengan neneknya di Makassar berjauhan dengan kedua-dua orang tua dan adik-adiknya.

 

“Mataku memang tidak boleh melihat, tapi hatiku boleh melihat kerana Allah.”

 

“Jika saya di syurga, saya mahu memakaikan mahkota di kepala ibu dan ayah.”

 

Ini kata-kata yang keluar daripada mulut seorang anak kecil yang masih berumur sembilan tahun. Allah SWT mengangkat darjatnya dengan al-Quran.

 

Kemuliaannya dengan al-Quran telah membuka mata semua anak-anak Indonesia tentang kepentingan mempelajari kalam itu walau dalam keadaan dan kesulitan apa pun.

 

Daripada Anas bin Malik RA beliau berkata, “Aku telah dengar Nabi SAW bersabda: ”Sesungguhnya Allah telah berfirman: Apabila Aku menguji seorang hamba-Ku dengan dua perkara yang menjadi kesayangannya kemudian ia bersabar, aku akan gantikan kepadanya dengan pembalasan syurga.” Ia maksudkan dengan dua perkara yang menjadi kesayangannya ialah dua biji matanya.” (HR Bukhari, No. 5653)

 

Adik Kayla buta, janji Allah dia akan masuk syurga, tapi Kayla tetap mahu hafaz al-Quran sehingga bergelar hafizah. Tidak sesempurna jiwa seorang hamba seperti kekasih Allah, tetapi terkadang ada jasad yang tidak sempurna di luar, namun di dalamnya bercahaya bagai kilauan permata di syurga.

 

Tenang saat cemas

 

Dari Indonesia kita terbang ke Syiria. Siapa yang tidak mengenali Syiria sebagai sebuah negara Arab yang sedang bergolak. Jet-jet pejuang sering berkeliaran di udara, gugusan bom menunggu masa untuk diletupkan, iman digoncang hebat oleh manusia yang bertopengkan syaitan.

 

Tatkala sebuah daerah itu dimusnahkan, penduduknya syahid dengan senyuman seorang syuhada. Mangsa letupan itu salah satunya adalah seorang pemuda penghafaz Al-Quran.

 

Pemuda itu mengalami kecederaan yang teruk di bahagian tangan, lalu dihantar segera oleh pasukan kecemasan ke hospital.

 

Dalam serba kekurangan peralatan perubatan, doktor-doktor cuba menyelamatkan tangannya yang sudah hampir putus. Suasana cemas menjadi tenang apabila pemuda itu mengalunkan ayat-ayat al-Quran dalam keadaan separa sedar. Maha Suci Allah.

 

Bahkan bukan itu sahaja, hati kanak-kanak Syria juga sangat kaya dengan kemuliaan al-Quran. Apabila bersua dengan sukarelawan Malaysia, apa yang pertama kali ditanya mereka adalah, “Kamu ada al-Quran?”, “Boleh berikan kami al-Quran?”

 

Mereka tidak memiliki al-Quran untuk dibaca tetapi mereka sangat rindukannya. Bahkan ramai anak-anak Syria yang menghafaz al-Quran menggunakan senaskhah al-Quran lusuh yang dikongsi ramai atau mereka mengulang-ulang hafalan daripada lantunan orang lain yang sudah dahulu menghafalnya.

 

Jangan hairan jika kalian pergi ke sana nanti, anak-anak ini akan berebut-rebut untuk membacakan surah-surah pendek hafalan mereka untuk diperdengarkan. 

 

Namun tidak semua yang diberikan peluang untuk sempat mengenal ayat-ayat al-Quran. Ada sesetengah daripada mereka yang langsung tidak kenal ayat-ayat al-Quran kerana keadaan perang yang sungguh dahsyat sehingga menyebabkan sekolah musnah ranap dan guru-guru juga syahid sujud ke bumi.

 

Allah Maha Kasih akan hamba-hamba-Nya. Walaupun anak-anak ini tidak sepenuhnya mengenali ayat-Nya, tetapi Allah memberikan mereka ingatan yang cukup berharga dengan mengetahui kalimah Allah dan Surah al-Fatihah. 

 

Sahabat al-Quran

 

Kedua-dua insan ini jelas menunjukkan kemuliaan al-Quran itu benar dan kemuliaan yang Allah beri kepada orang yang menjadikan hidupnya sahabat kepada al-Quran juga benar.

 

Umar bin Al-Khattab RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat darjat oleh sebab al-Quran ini bagi beberapa kaum, dan dengan al-Quran ini pula Dia (Allah) merendahkan kaum yang lainnya.” (HR Muslim, No. 817 & Ibnu Majah, No. 218)

 

Erti sebuah hati yang hidup apabila hatinya masih tetap mengingati Allah walau sejauh mana jasadnya berlayar, hatinya masih tetap rindu dengan Rasulullah SAW walau tidak pernah bersua.

 

Mata mereka mungkin buta tetapi hati mereka sangat celik sehingga dapat membezakan yang mana jalan untuk mendapat keredaan Allah dan yang mana jalan untuk menerima kemurkaan Allah. Bagaimana pula kita yang celik sejak lahir? 

 

Diriwayatkan daripada Abu Umamah RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi  pembacanya.” (HR Muslim, No. 1910)   

 

Kita masih berimpian untuk mendapat syafaat daripada al-Quran tetapi hubungan kita dengan al-Quran semakin lama semakin jauh. Dengan hujah apa yang boleh membantu kita dalam mendapatkan pertolongan itu?

 

Hannani Juhari

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia