Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 970 juta orang di seluruh dunia bersamaan dengan satu daripada setiap lapan individu mengalami gangguan mental pada tahun 2019.
Walaupun rawatan ada, sikap masyarakat yang tidak memahami, diskriminasi dan akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan mental menyukarkan mereka untuk pulih.
Kesihatan mental merupakan elemen penting dalam memastikan keharmonian keluarga, khususnya bagi pasangan muda yang sedang membina asas kehidupan bersama. Hal ini disebabkan masalah kesihatan mental bukan sahaja menjejaskan individu, tetapi turut memberi kesan kepada struktur keluarga.
Konflik yang tidak diuruskan dengan baik berpotensi merosakkan hubungan suami isteri dan menyumbang kepada perpecahan keluarga. Dalam era moden, cabaran ini semakin mendesak, memerlukan pendekatan yang lebih terancang dan sokongan yang lebih komprehensif.
Cabaran era digital dan ekonomi moden
Baru-baru ini, sebuah forum kolaborasi anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengetengahkan isu tekanan yang dihadapi oleh pasangan muda dalam membina keluarga.
Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr. Kamaliah Nordin, menegaskan bahawa asas keluarga sejahtera adalah hubungan suami isteri yang harmoni, dibina atas persefahaman, keseimbangan dan penerimaan terhadap perbezaan.
Menangani cabaran ini sebelum menerima cahaya mata akan memperkukuh hubungan, sekali gus mempersiapkan pasangan untuk menghadapi tekanan kehidupan dengan lebih matang dan berdaya tahan.
Kajian menunjukkan bahawa pengalaman menguruskan tekanan adalah elemen penting dalam membina daya tahan keluarga. Pengetahuan dan kemahiran semata-mata tidak mencukupi jika individu tidak berupaya mengendalikan tekanan secara efektif.
Tekanan yang dihadapi, walaupun mencabar, harus dilihat sebagai peluang untuk mengembangkan daya tahan (resilience). Ia akan membantu keluarga menangani dugaan masa depan dengan lebih baik.
Namun, terdapat situasi tekanan menjadi terlalu berat untuk ditanggung sendiri. Dalam keadaan ini, mendapatkan bantuan daripada pakar adalah langkah penting. Terapi keluarga, contohnya, boleh membantu ahli keluarga memahami dan menyokong satu sama lain dengan lebih baik.
Selain itu, setiap anggota keluarga perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga kesejahteraan mental dan spiritual.
Dalam al-Quran, ayat 19 Surah al-Ma’arij menyatakan bahawa manusia secara fitrah diciptakan dengan sifat resah-gelisah, terutama apabila menghadapi kesusahan. Hakikat ini menunjukkan bahawa sokongan daripada keluarga amat diperlukan dalam saat-saat sukar.
Peranan keluarga besar sebagai sistem sokongan amat penting, terutamanya dalam membantu pasangan muda mengharungi cabaran awal perkahwinan dan membesarkan anak-anak. Dr. Kamaliah menyarankan perbincangan terbuka sebagai kaedah utama untuk memperkukuh hubungan keluarga.
Kualiti perbincangan amat penting kerana jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh membawa kepada salah faham, konflik atau merenggangkan hubungan. Oleh itu, mendalami ilmu mengenai kesihatan mental seperti memahami gejala kemurungan dan cara mengatasinya adalah langkah awal yang penting.
Trend generasi resah
Sejak tahun 2010, peningkatan ketara isu kesihatan mental dalam kalangan orang muda telah diperhatikan. Faktor seperti tekanan ekonomi, perubahan sosial dan pengaruh media sosial memainkan peranan penting.
CEO Arba Foundation, Ustaz Azlan Shah menjelaskan fenomena “all or nothing” merupakan pola pemikiran yang mempengaruhi generasi muda, iaitu apabila kelemahan dianggap sebagai kekalahan.
Konsep ini menggambarkan mentaliti yang menilai kebahagiaan atau kejayaan dalam satu dimensi sempurna, tanpa menerima kewujudan kelemahan atau ketidaksempurnaan sebagai sebahagian daripada realiti.
Media sosial sering mencetuskan sentimen persaingan yang tidak sihat sehingga individu suka membandingkan kehidupan mereka dengan apa yang dilihat secara maya.
Dalam konteks ini, ramai individu memasuki alam perkahwinan dengan keresahan atau jangkaan tidak realistik, sama ada melalui pengalaman negatif yang dilihat atau fantasi tentang perkahwinan yang sempurna.
Malah, ada pasangan yang lebih banyak merancang majlis perkahwinan berbanding merancang perkahwinan itu sendiri.
Tekanan ekonomi untuk memenuhi jangkaan masyarakat seperti pelamin mewah atau videografi umpama istana sering menyebabkan pasangan memulakan kehidupan berkeluarga dengan beban hutang. Keadaan ini menjejaskan asas perkahwinan sejak awal serta menambah tekanan yang sudah sedia ada.
Membina keluarga berlandaskan sakinah
Dalam al-Quran, Allah menyebut konsep sakinah (ketenangan) dalam hubungan suami isteri, sepertimana dalam Surah al-Furqan dan ar-Rum. Ketenangan ini sepatutnya menjadi sumber kekuatan di rumah, memberikan perasaan selamat dan bahagia kepada pasangan.
Namun, realitinya kini, tekanan kehidupan sering membawa ketenangan keluar dari rumah, menjadikan keluarga sebagai medan konflik, bukan tempat perlindungan.
Ustaz Azlan menjelaskan, teknologi komunikasi yang semakin canggih turut memberi kesan kepada hubungan keluarga. Walaupun memudahkan hubungan jarak jauh, ia mengurangkan komunikasi berkualiti dalam kalangan ahli keluarga.
Generasi muda hari ini sering menghadapi kesukaran untuk berbincang secara terbuka kerana kebiasaan berinteraksi melalui skrin telah menggantikan komunikasi bersemuka.
Membina komunikasi dan sokongan yang kukuh
Menurut beliau, kunci membina keluarga yang harmoni adalah komunikasi yang tulus dan berkualiti. Rasulullah SAW memberikan contoh komunikasi yang penuh kasih sayang, baik kepada isteri, anak mahupun cucu.
Misalnya anak baginda, Fatimah az-Zahra digelar Ummu Abiha (ibu kepada ayahnya) kerana kasih sayang dan perhatian yang ditunjukkannya kepada Rasulullah. Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan kasih sayang dalam membina keluarga yang seimbang dan sejahtera.
Menurut Dr. Nadzirah Ahmad Basri, Penolong Profesor di Kulliyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), pasangan muda sering terperangkap dalam kitaran kehidupan moden yang sibuk sehingga mengabaikan keperluan emosi mereka sendiri. Akibatnya, komunikasi antara pasangan dan dengan anak-anak menjadi semakin renggang.
Mengesan dan mengurus tanda awal masalah mental
Jelasnya, tanda awal masalah kesihatan mental boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku seperti kesukaran meluahkan perasaan atau kecenderungan untuk berdiam diri.
Malangnya, kebanyakan pasangan muda hanya mencari bantuan apabila masalah sudah mencapai tahap kritikal seperti ketika menghadapi konflik besar atau selepas mempunyai anak dengan keperluan khas.
Langkah pencegahan adalah penting dalam memastikan kesejahteraan mental keluarga. Pasangan perlu meluangkan masa berkualiti bersama untuk berbincang mengenai matlamat dan misi keluarga. Islam mengajarkan konsep qurrata a’yun (penyejuk mata), iaitu keluarga yang diikat dengan kasih sayang dan komunikasi yang baik.
Anak-anak juga memerlukan perhatian yang seimbang. Dr. Nadzirah menasihatkan, walaupun ibu bapa sibuk memenuhi keperluan material, namun aktiviti bermain, berbual dan menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak adalah penting untuk perkembangan emosi mereka.
Menjadi pendengar yang baik
Salah satu elemen penting dalam sokongan keluarga ialah kemampuan menjadi pendengar yang baik.
Ramai antara kita cenderung untuk segera memberikan nasihat atau berkongsi pengalaman sendiri tanpa memberikan ruang kepada individu lain untuk meluahkan perasaan mereka. Sikap ini sering menghalang proses pemulihan emosi dan memperburuk tekanan yang dialami.
Sebaliknya, mendengar tanpa prejudis dan menyediakan ruang untuk individu meluahkan perasaan adalah tanda sokongan yang sebenar. Ia juga membantu mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental, seterusnya membuka jalan kepada individu untuk mendapatkan bantuan profesional jika perlu.
Memperkuat sistem sokongan
Sistem sokongan seperti kaunseling keluarga atau terapi pasangan perlu mudah diakses oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, waktu menunggu yang panjang untuk mendapatkan bantuan sering menjadi penghalang.
Oleh itu, sokongan awal boleh bermula di rumah, dengan ahli keluarga mengambil peranan aktif dalam menyediakan persekitaran yang selesa dan menyokong.
Membina keluarga yang sejahtera memerlukan usaha berterusan untuk mencapai keseimbangan antara tuntutan kerjaya, tanggungjawab keluarga dan keperluan emosi setiap ahli.
Pendekatan berasaskan kasih sayang, komunikasi terbuka dan sokongan bersama adalah kunci utama untuk membina keluarga yang mampu menghadapi cabaran dan kekal utuh dalam dunia yang penuh tekanan ini.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia